19 Julai 2009

Berjuang di Bumi Kenyalang


Salam perjuangan dan tahniah diucapkan kepada saudara kita Muhammad Yusof bin Azhar yang telah menaiki penerbangan ke Miri, Sarawak pada 17 Julai 2009 bagi menyambung pelajarannya di Curtin University of Technology, Sarawak.

Bersama ikhwah di saat terakhir

Beliau merupakan ikhwah yang telah banyak menyumbang dalam menjayakan aktiviti-aktiviti KRIM dan juga kerja-kerja pentarbiyahan ummah. Kami doakan agar ikhwah terus tabah dan maju meneruskan perjuangan di Bumi Kenyalang.

الموءمن كالغيث اين وقع نفع
"Seorang Mukmin ibarat hujan, di mana ia berada bermanfaat"

Ilal liqa' ya akhi.

Menghayati Isra' Mi'raj dengan Qiamullail


Jumaat, 17 Julai - KRIM Shah Alam Klang telah mengadakan mabit di Masjid Al-Azhariah, Seksyen 18 dan bersama-sama penduduk setempat membuat qiamullail. Program ini telah disertai lebih 35-40 orang dan turut disertai penduduk sekitar termasuk juga pihak perempuan.

Program dimulakan dengan kuliah Isra' Mi'raj yang bermula selepas solat Maghrib anjuran ISMA Shah Alam Klang. Selepas solat Isya' dan menikmati juadah disediakan pihak masjid, para peserta telah dikumpulkan dan mendengar sedikit pengisian dari Akh Asyraf. Usai pengisian para peserta duduk dalam kumpulan kecil dan bersama-sama membuat tilawah dan tadabbur sebelum melabuhkan tirai malam.

Pada pukul 4.15 pagi qiam jam'ie telah dimulakan dengan kehadiran penduduk setempat mengimarahkan lagi suasana. Selepas solat Subuh, semua jemaah bersama-sama mendengar kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Najib Sulaiman yang turut menyentuh mengenai Isra' Mi'raj bagi menambah penghayatan. Majlis tamat setelah sarapan pagi di masjid.

Ust Najib Sulaiman menyampaikan pengisian

Para peserta dan jemaah masjid mendegar dengan fokus

Media KRIMSAK

17 Julai 2009

MABIT- Malam Bina Iman dan Taqwa

MABIT - Malam Bina Iman dan Taqwa merupakan antara aktiviti Kelab Remaja ISMA dan Ikatan Muslimin Malaysia(ISMA) bertujuan untuk melahirkan pemuda-pemudi bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan pembelajaran malah cemerlang juga dari segi sahsiah dan keterikatan hubungan seseorang dengan Tuhan.

Justeru, Kelab Remaja ISMA cawangan Shah Alam menyeru para pemuda untuk bersama-sama memeriahkan lagi program ini. Tiada rugi hanya manfaat. Butirannya seperti berikut:-

Tempat : Masjid Al-Azhariah, Seksyen 18, Shah Alam

Masa : 17 Julai 2009 Jumaat (Qiamulail)

Semua pemuda/remaja juga dijemput menghadiri riadhah bola di padang surau taqwa Seksyen 7, Shah Alam.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada:-

Akh Hardi - 0192039390
Akh Fairul
- 0136616676


16 Julai 2009

Pemuda Hari Ini Pemimpin Hari Esok

Perlunya Kepada Kelahiran 'Pemuda'

Pemuda Tiang Negara, Pemudi Harapan Bangsa”, istilah yang sudah sinonim dan menjadi klise di dalam masyarakat kita. Tidak dinafikan sepanjang babak sejarah kebangunan dan kebangkitan sesuatu bangsa ia dimulai dengan hamasah as-syabab (semangat kepemudaan).

Dalam sejarah bangsa, pemuda sentiasa mengambil peranan sebagai agen perubah. Pada era penjajahan, generasi muda dari pelbagai daerah di Nusantara telah menyemai bibit persatuan dan kesatuan dalam bingkai “Sumpah Pemuda” (1928 – Indonesia). Para pemuda tampil sebagai generasi pembebas dan menolak penjajahan pada era kemerdekaan.


Nama-nama seperti Syeikh Tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi dan Dr. Burhanuddin al-Helmy adalah para pemuda yang telah mempelopori gerakan pembebasan dan pencerahan minda umat Islam di rantau Melayu. Maka lahirlah tulisan-tulisan mereka di akhbar dan majalah yang terkenal seperti al-Imam, Neracha dan Pengasuh sebagai agenda reformasi dan transformasi minda. Mereka menyaran idea-idea pembaharuan, menyematkan sikap anti-kolonial, menyemai bibit-bibit patriotisme, mengkritik raja dan pemerintah yang gagal memajukan dan mengangkat harakat bangsa sendiri


Gerakan pembaharuan ini turut diikuti oleh Zainal Abidin Ahmad (Zaaba), Abdul Rahim Kajai, Ahmad Boestaman, Pak Sako, Ibrahim Yaakob dan lain-lain lagi melalui tulisan dan penerbitan mereka. Persoalan kepedulian nasib bangsa, perpaduan, kemunduran ekonomi, politik dan pendidikan menjadi inti perjuangan mereka. Ini tidak lain dan tidak bukan ialah bagi menyedarkan dan memajukan bangsa mereka sendiri. Maka lahirlah persatuan, kesatuan dan gerakan menuntut kemerdekaan dan pemulihan nasib bangsa sama ada dari haluan kanan atau haluan kiri. Muncullah nama-nama seperti Kesatuan Melayu Singapura, API, AWAS, Pekembar, Kesatuan Melayu Muda dan lain-lain lagi. Kemuncaknya ialah dengan mengadakan Kongres Melayu pada tahun 1939 bagi membangkitkan satu kesedaran menyeluruh terhadap nasib bangsa Melayu.


Kalau di Indonesia, pada tahun 1966, generasi muda inilah yang telah mempelopori peralihan kekuasaan dari Order Lama ke Order Baru. Mereka juga telah membentuk arus reformasi meluruskan perjalanan bangsa lewat “Gerakan Reformasi 1998“.


Fakta di atas menunjukkan bahawa peranan pemuda menempati posisi dan strategi. Semua bangsa di dunia mengakui semangat pemuda sebagai sumber daya bangsa yang mampu mengerjakan hal-hal luar biasa termasuk faktor perubahan yang fundamental. Justeru pelaburan terbesar yang harus dilakukan oleh mana-mana bangsa demi kemajuan dan kejayaan pada masa depan ialah memberdayakan generasi muda.


Sahabat Nabi, Umar r.a. pernah mengungkapkan: “Barangsiapa ingin menggenggam nasib sesuatu bangsa, maka genggamlah para pemudanya.” Sesiapa yang memiliki pemuda, maka ia akan menguasai masa depan hingga kata-kata “Pemuda Tiang Negara, Pemudi Harapan Bangsa” bukan hanya mitos dan retorik, melainkan akan menjadi satu lakaran sejarah. Sesungguhnya di tangan pemuda terletak nasib umat dan di dalam keperwiraan mereka terletak survival bangsa.


Tetapi, amat malang sekali, dewasa ini ramai generasi muda kehilangan jati diri, tidak punya identiti dan hanyut dalam arus globalisasi tanpa ada kemampuan untuk menyaring mana yang baik dan mana yang buruk. Anak-anak muda diseret jauh ke lembah hedonistik, jauh dari produktiviti dan kapasiti sebagai pembangun negara. Manakala pendidikan sebagai wahana melahirkan pemimpin masa depan sudah kehilangan arah tuju. Sekolah-sekolah hanya sekadar menjadi pusat pengajaran dan pembelajaran bukan pentarbiahan, guru-guru tidak berperanan sebagai murabbi, murid-murid sesat matlamat kehidupan. Pemikiran mereka disumbat dengan minda picisan, hiburan menjadi berhala kehidupan, akhirnya keseronokan membawa kesesatan.

Ditambah pula dengan krisis ekonomi masa kini telah meningkatkan kadar pengangguran generasi muda termasuk graduan lepasan pengajian tinggi. Masalah sosial di kalangan pemuda pun meningkat seperti jenayah, penyalahgunaan dadah, penyebaran HIV/AIDS, kanser prostat dan keruntuhan akhlak dan moral. Kesan globalisasi yang mengusung kepelbagaian teknologi dan informasi dengan akses mudah, cepat dan murah menjadi indikator utama meningkatnya kenakalan pemuda dan keruntuhan moral.

Sewajarnya agenda membina pemuda sebagai pilar pembangunan bangsa dalam mengatasi kebejatan sosial dan moral, menjadikan mereka bersikap mandiri dan berdaya guna serta mempersiapkan mereka sebagai calon pemimpin bangsa di peringkat lokal atau nasional haruslah diberi keutamaan dan tumpuan.

Untuk melahirkan pemuda tiang negara dan pemudi harapan bangsa, negara ini haruslah mewujudkan polisi-polisi nasional yang mampu memberdayakan tenaga muda dan meningkatkan modal insan mereka. Antara penumpuan pemberdayaan generasi pemuda yang boleh dilaksanakan ialah:

Pertama: mengatasi masalah sosial dan moral generasi muda dengan melakukan kepelbagaian aktiviti sosial dan mengembangkan inovasi dalam kegiatan dakwah


Kedua: mengguna tenaga para pemuda dalam pembangunan masyarakat dengan membentuk ketrampilan berdikari dalam keusahawanan, keupayaan memimpin komuniti setempat dan organisasi, membina kreativiti dan prestasi para pemuda.


Ketiga: mempersiapkan kader-kader pemuda untuk memimpin bangsa Malaysia dengan melakukan pelbagai latihan kepemimpinan (softskill dan hardskill) dan mendorong mereka dalam interaksi yang konstruktif di dalam badan-badan belia di Malaysia.

Sudah tiba masanya negara memberikan perhatian khusus kepada kelompok pemuda bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang. Bangsa yang melalaikan potensi kepemudaannya akan segera menempa kehancuran. Cukuplah sejarah peradaban dunia menjadi saksi, betapa bangsa-bangsa besar akhirnya runtuh dan rebah dek rendahnya kualiti generasi pemuda mereka. Ini kerana sudah menjadi aksioma sejarah, pemuda hari ini adalah pemimpin hari esok (masa depan)




Ustaz Azizee bin Hasan

http://maalimfitariq.wordpress.com/

 
Powered by Blogger