16 Julai 2011

Kelebihan Syaaban & Malam Nisfu Syaaban

 Artikel ini diambil dari blog www.ismaweb.net

Sempena bulan Syaaban dan malam Nisfu Syaaban, saya nukilkan beberapa hadis dari kitab Sahih Al-Bukhari dan kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty. “Nisfu” bermakna separuh atau 14hb. Kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah rujukan paling utama dalam Islam selepas Al-Quran.

Abdullah bin Yusuf menyampaikan kepada kami, dari Malik, dari Abi An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah r.a. dia berkata (bermaksud), “Adalah Rasulullah s.a.w. berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Baginda s.a.w. berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w. berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadhan. Aku tidak pernah melihat baginda s.a.w. berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Hadis Sahih No. 1969 riwayat Imam Al-Bukhari).

Muaz bin Fadhalah menyampaikan kepada kami, dari Hisyam bin Yahya, dari Abi Salamah, bahawa Aisyah r.a. meriwayatkan kepadanya dengan berkata, “Nabi s.a.w. tidak pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak dari bulan Syaaban. [Nabi s.a.w. berpuasa bulan Syaaban semuanya - lafaz Al-Bukhari]. Nabi s.a.w. bersabda, “Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu yang jemu (dulu – pent)”. Aisyah r.a. menyambung, “Solat yang paling disukai Nabi s.a.w. ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi s.a.w. apabila solat, dia mengerjakannya secara konsisten” (Hadis Sahih No. 1970 riwayat Imam Al-Bukhari).

 
Powered by Blogger