12 Mei 2009

Al-Qur'an yang mendidik jiwa


Generasi sahabat mengenal iman dengan penat lelah dan keringat, perjuangan yang berterusan dan tanpa henti. Maka turunnya Al-Quran secara beransur-ansur menjadi pengubat kepada kelelahan mereka dalam dakwah dan menambat kuat keimanan dalam jiwa mereka.

Kehidupan mereka adalah ‘Kehidupan Al-Quran’. Oleh kerana itu mereka sangat menghargai Al-Quran lebih dari segala yang lain. Segala persoalan mereka dijawab, segala kesalahan mereka ditegur, dan segala amal soleh mereka dijanjikan ganjaran. Mereka hidup dalam makna dan pengertian yang ingin disampaikan oleh Al-Quran.

Al-Quran sangat dekat di hati para sahabat. Bilal r.a pernah bertanya kepada muslimin, “Bagaimanakah kamu dapati Umar?”, mereka menjawab, “Padanya banyak kebaikan, melainkan jika beliau marah, maka itu adalah perkara yang sangat besar”. Kemudian Bilal r.a menjawab, “Jika kamu berada bersamanya ketika beliau sedang marah, maka bacakanlah padanya Al-Quran sehingga hilang marahnya”. Inilah generasi terpilih yang telah dilembutkan hati mereka oleh Al-Quran. Iman telah menguasai diri mereka. Emosi, perasaan, apatah lagi nafsu dan syaitan tidak dapat menundukkan jiwa yang melimpah dengan roh keimanan.

Peranan Membina Akidah

Al-Quran berperanan dalam pembentukan generasi sahabat sebagai sumber utama dalam membentuk akidah yang betul dan bersih. Tetapi dengan berlalunya zaman, dan semakin jauhnya kita dari memahami nilai sebenar Al-Quran, serta kurangnya mengambil manfaat dari Al-Quran, peranan ini telah berkurang. Akidah berubah menjadi perbahasan teori yang panjang dan kompleks sehingga melebihkan aspek pengetahuan semata-mata tanpa penekanan yang sama dalam aspek iman. Iman yang hidup di hati dan mampu merubah manusia.

Realiti ini menolak kita lebih kuat untuk kembali menjadikan Al-Quran sebagai pembina akidah. Wahyu yang mampu membuatkan akal yakin dan hati beriman. Keimanan ini pasti akan terpancar dalam akhlak dan tingkah laku melalui ketaatan serta ibadah. Semua ini boleh kita perolehi melalui tilawah dan tadabbur Al-Quran dengan cara yang betul. Membaca Al-Quran dan menjadikannya sebagai proses peningkatan iman merupakan perkara yang mudah dan kesannya berperingkat.

Cadangan Dalam Tilawah

1. Meletakkan fokus dalam bacaan. Sebagai contoh, kita ingin menanam aspek keesaan Allah dalam jiwa kita. Maka di dalam bacaan kita, kita akan menemui pelbagai bentuk ayat dan bukti yang meyakinkan akal dan jiwa kita tentang keesaaan Allah. Pembacaan yang berterusan dengan fokus akan menguatkan keimanan dan menggerakkan jiwa. Pada waktu lain mungkin kita boleh fokus pada item ‘Nikmat-nikmat Allah’ dan sebagainya.

2. Mengamalkan Al-Quran dengan segera. Satu kefahaman yang disertai dengan amal akan terapasak kuat di jiwa kita. Contohnya ketika tilawah kita membaca ayat tentang Infaq atau Sedekah. Maka kita segera meletakkan azam untuk bersedekah dan melaksanakannya. Begitu juga ayat yang memuji kebesaran Allah, maka kita bersegera bertahmid memuji Allah.

3. Mengulang-ulang ayat yang dibaca ketika membaca Al-Quran pasti kita akan menemui beberapa ayat yang memberi kesan kuat kepada hati kita. Maka ulangilah ayat-ayat tersebut dengan tadabbur dan khusyuk. Kerana sesungguhnya hidayah datang dalam pelbagai sudut dan bentuk.Semoga Al-Quran menjadi teman hidup kita sentiasa. Menjadi pengubat kesedihan dan penenang keresahan.

0 komentar:

Catat Ulasan

 
Powered by Blogger