Memaparkan catatan dengan label puteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label puteri. Papar semua catatan

23 Mac 2011

Puteri KRIM berukhuwwah sambil mentadabbur alam di SBP


SHAH ALAM, 19 Mac - Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam telah mengadakan sebuah program untuk pelajar-pelajar puteri yang berumur dalam lingkungan umur 13 tahun – 17 tahun. Program tersebut yang dinamakan ‘School Break Picnic’ adalah bersempena cuti sekolah pada minggu lepas. Seramai 21 orang peserta dan dipimpin oleh 5 orang fasi hadir memeriahkan program tersebut. Syukur ke hadrat Ilahi kerana program berjalan dengan baik dan lancar.



Program yang berkonsepkan program riadah ini dijalankan di Taman Tasik PKNS, Shah Alam. Objektif program adalah untuk mengetengahkan imej muslimah success disamping merapatkan hubungan silaturrahim antara peserta yang datang dari sekolah-sekolah yang berlainan.

Pendaftaran bermula pada pukul 8.00 pagi, diikuti sarapan dan setelah itu pengarah memberi sedikit taklimat mengenai program serta pengenalan tentang Kelab Remaja ISMA terhadap peserta-peserta yang hadir. Program diteruskan dengan aktiviti jogging mengelilingi Taman Tasik PKNS & menaiki bot mengelilingi tasik. Semasa di dalam bot, Fasi memberikan sedikit tazkirah ringkas kepada peserta mengenai kejadian alam semula jadi yang Allah ta’ala jadikan begitu indah dan teratur.

Selesai menaiki bot, aktiviti game dan kuiz yang menguji minda dimulakan diteruskan dengan pengisian mengenai ‘Muslimah Succsess’ oleh ukhti Hafizah Ismail. Tepat jam 11.30 pagi semua peserta dan fasi menikmati hidangan satay bersama-sama. Majlis bersurai pada pukul 12.00 tengahari.



Program ini bukan sekadar mengajak peserta melakukan aktiviti menyihatkan badan tetapi juga untuk mendidik peserta untuk memerhati keindahan alam ciptaan Allah ta’ala serta mengajak mereka untuk sentiasa mengingati Allah ta’ala.

13 Mac 2011

SCHOOL BREAK PICNIC!!


Assalammualaikum,
Sempena cuti sekolah ini KRIM Shah Alam akan mengadakan Program SCHOOL BREAK PICNIC.

Tarikh : 19/03/2011 (Sabtu)
Waktu : 8.00 pagi - 12.00 tengah hari

Tempat : Taman Tasik PKNS,
Shah Alam.
Yuran : RM 5

Berkumpul di parking kereta tasik, hadapan PKNS
untuk pendaftaran

Jika berminat boleh hubungi,
Rita: 0137548791
@ Munirah: 0192296808

- Program terbuka untuk pelajar puteri sahaja yang berumur 13-18 tahun -

JOM SERTAI!!




07 Mac 2011

Muslimah Breakfast mengeratkan ukhuwwah remaja muslimah Shah Alam

SHAH ALAM, 27 Februari - Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam telah mengadakan sebuah program Muslimah Breakfast bagi remaja berumur lingkungan umur 13-17 tahun. Program ini terbuka hanya kepada remaja perempuan. Seramai 17 orang peserta dan dipimpin oleh 4 orang fasi hadir memeriahkan program tersebut. Syukur ke hadrat Ilahi kerana program berjalan dengan baik dan lancar.

Lokasi bagi program Muslimah Breakfast ini ialah Taman Tasik PKNS Shah Alam. Objektif utama program ini ialah bagi mengeratkan ukhwah adik-adik dan kakak-kakak fasi. Program bermula pada jam 8 pagi, dimulai dengan tazkirah ringkas oleh ukhti Hafizah Ismail seterusnya diikuti dengan pembahagian kumpulan. Aktiviti dimulakan dengan game pertama iaitu ‘Deco Sandwiches’, seterusnya game kedua, game belon amanah, dan game terakhir, lihat dan lukis.


Game pertama : Deco Sandwiches

Game kedua : Belon Amanah

Game terakhir : Lihat dan lukis


Setelah selesai semua game, semua fasi memberi sedikit pengisian pada adik-adik sebagai resolusi terhadap aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan. Sebelum bersurai, adik-adik tersebut membuat pendaftaran serta menjamu selera bersama. Semoga Allah ta’ala memberkati program ini dan memberi kesempatan pada kita untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang. Diharap juga adik-adik yang hadir pada program Muslimah Breakfast ini akan kembali bersama kita pada program-program KRIM yang seterusnya.

22 Februari 2011

Muslimah Breakfast!!



Assalamualaikum, apa khabar adik-adik puteri di luar sana?
Ingin sertai aktiviti menarik serta menambah kenalan dan merapatkan ukhuwwah?
Mari bersama-sama sertai program Muslimah Breakfast yang dianjurkan Kelab Remaja ISMA Shah Alam. Maklumat lanjut tertera di bawah; -

Jom sertai!!


MUSLIMAH BREAKFAST

Tarikh:
27 Februari 2011 (Ahad)

Tempat:
Taman Tasik PKNS
(bersebelahan Wet World)

Aktiviti:

8.00 pagi - Berkumpul
8.30 pagi - Pengenalan KRIM & Pembahagian kumpulan
9.30 pagi - Deco Sandwich
10.00 pagi - Makan sandwich
10.15 pagi - Game Belon
10.45 pagi - Lukis Potret
11.15 pagi - Resolusi dan penyampaian hadiah
11.30 pagi - Makan!



Mari bersama-sama memeriahkan pagi Ahad ini!


10 Februari 2011

Say No To Valentine Day!!


PERNAHKAH anda berjalan-jalan pada bulan Februari di pusat beli-belah, kedai-kedai buku, atau ke mana-mana sahaja dan cuba perhatikan di sekeliling anda, di dinding-dinding atau langit-langit terpampang gambar warna merah jambu, ada yang berbentuk dua buah hati jambu dan sebagainya yang pastinya akan mengundang pelbagai perasaan dalam hati.

Memangnya, ada apa dengan bulan Februari ini, sehinggakan banyak terpampang gambar hati merah jambu? Di antara meriahnya warna merah jambu terpampang tulisan besar-besar ‘Happy Valentine Day’, di televisyen dan radio, majalah mahupun akhbar juga seolah-olah tidak ingin ketinggalan menampilkan iklan Hari Valentine, memanfaatkan isu ‘valentine day’ dengan menyelenggarakan pelbagai acara yang kebanyakkannya boleh merosakkan akhlak muda mudi dan para remaja.

Apa yang jelas, Valentine Day bukan saja diraikan oleh para remaja, tetapi juga oleh para ibu bapa terutama di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur ini. Maka penuh sesaklah restoran-restoran mewah, hotel-hotel mewah dan ruang-ruang mewah dengan acara memperingati kekasih dengan cara yang di luar batas-batas kehendak Islam.

Pandangan Islam terhadap perayaan Valentine Day telah jelas haram dan terkeluar dari syariat Islam. Juga jelas haram dan membelakangkan syariat Islam mengenai aktiviti para remaja yang ikut-ikutan merayakan ‘valentine day’ dengan membabi buta, disertai aktiviti campur baur antara lawan jenis, dan perbuatan maksiat lain.

Islam adalah akidah dan syariah, di dalamnya terkandung aturan seluruh kehidupan manusia.Tidak ada satu pun kehidupan yang tidak diatur oleh Islam, dan setiap Muslim wajib ‘mengikat’ seluruh perbuatannya dengan hukum syarak, diharamkan ia melakukan perbuatan tanpa mengetahui status hukumnya, sebagaimana kaedah fekah, mengatakan ‘al aslu fi al af’al ataqiyudu li al hukmi syar’i’ yang bermaksud ‘Asal (pokok/hukum) perbuatan itu terikat dengan hukum-hukum syarak.’

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (An-Nisa: 65).

Sumber: KRIM JOHOR

10 Disember 2010

X Race KRIM




Shah Alam, 7 Sep – Kelab Remaja ISMA ( KRIM ) Shah Alam & Klang telah berjaya mengadakan Explorace Hijrah di Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam bagi remaja puteri berumur 12 hingga 17 tahun. Seramai 74 orang remaja puteri harapan ummah telah terlibat dengan penuh semangat dan keazaman yang tinggi dalam meniti kehidupan sebagai seorang remaja.

Dengan objektif utama program ini iaitu menghidupkan kesan hijrah di dalam setiap individu, explorace dimulakan dengan tazkirah hijrah khas daripada Ukhti Ummi Kalthum. Para peserta juga dibekalkan sebuah hadith untuk dihafal, difahamkan serta diamalkan sepanjang explorace di dalam kumpulan.

Program yang berkonsepkan menghayati keindahan alam dengan zikrullah dalam menyelesaikan persoalan dan permasalahan di setiap check point berjaya membuka minda para peserta terhadap kebesaran Allah SWT serta mengetuk pintu hati mereka mengenai kewujudan Allah yang sentiasa akan membantu hambaNya dalam apa jua keadaan.

Beberapa aktiviti mencabar seperti puzzle tokoh, musang berjanggut, ujian hati dan tahsin al-fatihah mampu menguji semangat, ketahanan jati diri serta kerjasama para peserta walaupun mereka baru di fasa perkenalan antara satu sama lain. Kemahiran berfikir para peserta diuji dengan beberapa soalan mengenai hijrah di setiap check point yang memerlukan perbincangan antara mereka mengikut masa yang ditetapkan.

Explorace yang berjalan selama 2 jam ini telah berakhir dengan secebis resolusi serta penyampaian hadiah dan cenderahati untuk setiap peserta. Tahniah dan syabas buat para peserta di atas kesungguhan dan semangat adik-adik dalam aktiviti ini. Semoga adik-adik tidak berputus asa merealisasikan azam tahun baru hijrah pada tahun ini. Sekalung penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa program dan barisan fasilitator daripada Persatuan Belia Islam Nasional ( PEMBINA ).


إن الله ليعجب من الشباب الذي ليست له صبوة

“ Sesungguhnya Allah takjub kepada pemuda yang tidak ada padanya sifat keremajaan
( kelalaian, bersuka ria sentiasa, membuang masa )



Oleh :
Penggerak KRIM SAK

22 September 2010

Laman blog untuk puteri-puteri seluruh negara

Layari laman sesawang khas untuk remaja-remaja puteri di seluruh negara......
www.kelabremajaputri.blogspot.com

08 Jun 2010

Anda Sedang Bercouple?

Sumber : www.iLuvislam.com

Kami tidak berzina !
Maaf, saya tidak menuduh awak berzina, tetapi awak menghampiri zina.

Kami hanya barbual-bual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum di kafe. Adakah itu menghampiri zina?
Ya, perbuatan itu boleh menjerumuskan pelakunya ke lembah penzinaan.

Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.
Hari ini ya. Esok mungkin kamu kecundang.Iblis akan memerangkap kamu. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama,Adam dan Hawa. Iblis amat licik. Ingat, pesanan Rasulullah : Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali yang ketiganya, syaitan(Tabrani) . Kita lemah menghadapi tipu daya Iblis.

Tidak semestinya semua orang bercinta* menjurus kepada penzinaan. Ada yang bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tidak pernah bersua muka pun!
Betul .Tetapi itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka. Tapi perasaan pasti bergelora, lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja.Percayalah, ia akan berlanjutan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya?

Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itupun zina ke?
Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi. Zina hati iaitu dengan khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah: Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan zinanya menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita melalui mana-mana jalan perzinaan.

Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!(bagi kes belajar berdua-duaan SAHAJA)* Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba-hambaNya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati oleh Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup di dunia tidak bahagia,akhirat lagi lah. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan ditulis oleh malaikat Raqib dan Atid.

Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni Study Group.(bagi kes berdua-duaan SAHAJA)
Study Group...? nampak lain macam saja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Kemana-manapun berdua. Kalau yea pun, carilah group study ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni... betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu... banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.
Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan menafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.

Kami berdua sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.
Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula .

Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam Islam untuk bercinta?
Adakah Islam membunuh terus naluri cinta? Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam tidak suruh membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma tudukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya. Jangan jadi malaikat! Kerana Allah jadikan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri atau nafsu.

Islam takde ke couple-cople ni?
Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab kabul, cinta selepas kahwin. Itulah cinta sacral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih baik. Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia telalu mulia. Kalau begitu, cinta* remaja semua menghampiri kepada penzinaan? Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam bukankah mereka semakin hampir dengan penzinaan? Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!

Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat tidak sampai berzina. Kami tahan diuji. Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya jauhi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang. Jadi manusia itu tidak tahan diuji? Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak dari awal penciptaan manusia. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya tidak memakan buah khuldi dalam syurga. Buah yang lain boleh makan. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tidak tahan diuji. Oleh itu Allah berpesan kepada Adam dan Hawa, jangan menghampiri pokok khuldi itu. Firman Allah: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa yang kamu sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini. (jika kamu menghampirinya) maka kamu adalah orang-orang yang zalim. (al-Araf:19) Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah khuldi. Jika menghampiri perkara tegahan, takut nanti mereka akan memakannya. Demikianlah dengan zina. Ditegah berzina. Maka jalan ke arah penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan zina, kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.

Tetapi cinta selepas kahwin banyak masalah.
Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenal hati budi pasangan sebelum buat keputusan berkahwin. Bolehkah percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing- masing akan berlakon dengan watak terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai- bagai lagi. Masa bercinta merajuk ada yang pujuk. Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan ada yang pujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang, penyabar, sabar tunggu pasangan terlambat sampai berjam-jam. Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit, dah kena tengking. Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah suatu kepuraan atau hipokrit. Percayalah, kami bercinta demi merancang kebahagian hidup nanti. Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu, jika jalan mencapai kebahagiaan itu tidak diredhai Allah. Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan bercinta begini, Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah mula sudahpun canggung, bagaimana kesudahannya?

Tanya sikit,.. adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? Ganti bercinta....
Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya adalah sama. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya angkat ini sebenarnya telah masuk dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan. Namakan apa nama sekalipun, abang angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina. Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri? Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh Pencipta manusia.Orang yang sedang mabuk bercinta akan mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan maruah dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak adalah ditentukan oleh Allah.

Adakah orang yang bercinta hilang maruah?
Antara kemuliaan manusia adalah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka menghampiri perzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina. Allah berfirman: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.(Surah An-Nur: 3)

Jadi, orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan? Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang pernah bercinta juga?
Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

Kami telah berjanji sehidup semati.....
Apa ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

Si dia ini lain dari yang lain. Dia lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab.
Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki, apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.

Jadi, perempuan yang bercinta, jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?
Tentu! Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang yang second hand sedangkan barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di bilik pameran sahaja. Tapi ada orang yang boleh test drive. Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan? Itulah hakikatnya!

Masih adakah orang yang tidak bercinta di zaman ini?
Ya! Masih ada orang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah: Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya dari melakukan zina)... Allah telah menyediakan bagi mereka segala keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Ahzab: 35 )

Bagaimana kami?
Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redha-Nya. Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkanlah bagaimana taubat nasuha. Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya.Taubat yang memenuhi tiga syarat: i) Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini. ii) Menyesal. Menginsafi diri diatas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan. iii) Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah selepas ijab kabul.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik…"
(Surah An-Nur : 26)

23 April 2010

Slot motivasi di SMK(P) KAPAR, Klang

Pada 17 April 2010 (SAbtu), terlerai sudah satu pertemuan slot ceramah dan aktiviti di SMK(P) KAPAR, Klang. Slot selama 2 jam yang diamanahkan untuk KRIM SAK berjaya dilaksanakan oleh penggerak2 KRIM SAK yang melibatkan seramai hampir 400 orang pelajar perempuan tingkatan 3 dan 5.

Progtram dibuat di dalam dewan yang padat, beserta sistem audio yang agak baik, tetapi sistem visual pula kurang 'çantik' namun segalnya bukan halangan bagi kami dan berjaya disempurnakan dengan baik.



Tajuk ceramah motivasi, Selamat Tinggal Jahiliyah disampaikan oleh Cikgu Hardi...di selang selikan dengan video klip lagu dan informasi...nyata berjaya mempertahankan minda dan mental pelajar selama sejam setengah..walaupun pada hakikatnya, masa yang diberikan tidak mencukupi.....

Selepas itu, slot di ambil alih oleh Ustazah Noraisyah bagi sesi aktiviti yang cukup menarik....Mudah-mudahan permulaan ini membuka seribu peluang lagi kepada KRIM SAK untuk melebarluaskan aktiviti ke sekolah-sekolah yang lain.

Jazakallah di ucapkan sekali lagi kepada semua yang terlibat. Hanya Allah swt sebaik-baik pemberi balasan.....

Gambar2 lain boleh dilayari dalam laman web http://www.temansejatimu.blogspot.com/

10 Mac 2010

Cerpen Remaja : Bonda



“ Hari yang dilalui kini, tak seindah semalam, bintang yang bersinar sudah tiada lagi…mentari yang memancar kini semakin suram bayangan wajahmu kini tiada lagi…”
Demikianlah lirik lagu Bonda nyanyian kumplan Wildan mengalun menyapa lembut kedinginan malam itu melalui corong Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (ikim.fm). Aku tidak dapat melelapkan mata. Entah mengapa sunyi bertandang di kala kegelapan malam yang semakin menghimpit. Aku menghayati senikata lagu itu hingga tak sedar ada air jernih, laju, menghujani pipiku ini. Terasa sayu dan sedih menggamit di hati.
“ Kini bonda tiada lagi,
Apa yang ada hanyalah secebis kenangan,
Di tabir seribu penyesalan,
Kerana belum sempatku menabur budi,
Kau pergi mengadap Ilalhi.”

Alunan lirik lagu itu menyapa lagi telingaku: Apalah gunanya ditangisi, penyesalan sudah tiada gunanya,. Biarpun air mata yang ku tumpahkan, tak bisa mengundur masa. Pusara bonda masih lagi merah menjadikan aku terasa amat kehilangannya. Masih terngiang lagi kata-kata semangat, dorongan dan nasihat di telingaku ini. Bondalah penawar hati kala diri berputih mata, bondalah permata dikala diri ini bergembira. Hati kadang-kadang hiba kerana terpaksa melihat bonda yang membanting tulang demi sesuap nasi untuk keluarga. Ayah tidak meninggalkan sebarang harta apatah lagi tanah berekar-ekar, bukanlah aku meminta, namun bagaimana harus kami teruskan hidup ini tanpa apa-apa. Namun aku tahu bonda tabah dan cekal orangnya. Berbekalkan semangat dan tulang empat keratnya, digagahi juga kehidupan yang penuh ranjau berduri ini demi melihat anak-anaknya berjaya.

Suatu hari aku terpaksa memberanikan diri bercakap dengan bonda mengenai yuran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah lama aku pendamkan sejak beberapa bulan yang lalu. Kalau tidak kerana bebelan Cikgu Latifah tempoh hari, nescaya tidak akan aku buka mulut mengenainya kerana aku tahu bonda pasti gusar dengan permintaanku.
“Kenapa Along tak bagi tahu bonda siang-siang. Bertuah betul anak aku ni. Tak apalah, beritahu cikgu seminggu lagi dapatlah bonda usahakan duitnya.”
Tenang saja jawapan yang meluncuri bibir bonda. Tidak langsung mempamerkan air muka amarahnya. Sejurus selepas itu bonda terus berlalu ke dapur. Aku sudah lali. Dia bonda yang melahirkan aku dan membesarkan aku. Segalanya dipendamkan dalam hati untuk tidak merunsingkan anak-anaknya. Namun aku tahu bonda tentu sedang berfikir cara untuk mendapatkan wang yang harus dibayar itu. Aku menjadi serba salah. Bonda akan tetap melarang aku bekerja apabila setiap kali aku suarakan keinginanku untuk membantunya.
“Along belajar baik-baik, biarlah bonda yang susah asalkan anak-anak bonda berjaya.”
Begitulah ucapannya acap kali menasihatiku dan kerana itulah aku berazam untuk mencapai cita-citaku agar dapat menyenangkan bonda suatu hari nanti.
Berkat doa bonda dan usaha aku selama ini, aku berjaya dalam SPM dan mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Walaupun diberikan biasiswa, namun aku terpaksa menolak kerana berasa berat hati untuk meninggalkan bonda dan adik-adik. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti awam di ibukota. Walaupun diberikan biasiswa juga, namun itu masih tidak mampu untuk menampung segala kos pelajaran dan hidup di universiti. Maklum sajalah semuanya berbayar. Kadang-kala aku terpaksa mengikat perut dan sering berjimat-cermat untuk memastikan aku tidak meminta wang daripada bonda. Adik-adikku yang lain juga turut memerlukan wang yang banyak. Aku masih ingat, kesempitan duit ini juga yang meyebabkan bonda terpaksa menggadaikan satu-satunya gelang pusaka peninggalan nenek padanya. Tak cukup dengan itu, bonda juga akan mengambil upah membasuh pakaian dan bangun seawal terbit fajar sidiq untuk membuat kuih-muih untuk dijual.
Sedang aku mengulangkaji pelajaran di perpustakaan seminggu yang lalu, Syarina, rakan rapat merangkap teman sebilikku berlari-lari anak mendapatkan aku yang sedang tekun mentelaah. Syarina yang tercungap-cungap itu menenangkan dirinya terlebih dahulu. Aku hairan melihat kelakuannya pada hari itu. Dia merapati aku dan dalam nada sayu suaranya itu aku dapat menangkap dengan jelas butir-butir perkataan yang dilafazkannya.
“ Hanim, aku harap kau dapat bersabar. Kuatkan semangat.”
Terasa berlainan sekali bunyi pengucapannya. Aku dapat merakan sesuatu yang tidak enak sedang berlaku.
“Bonda kau baru saja kembali ke rahmatullah.”
Terkejut bukan kepalang, bagai direntap rasanya jantungku ini apabila kalimah itu selesai diungkapkannya. Baru sebentar tadi adikku Nadhirah, menelefon telefon bimbitnya yang sering menjadi medium perhubungan kami selama ini. Aku tanpa berlengah berkemas untuk pulang ke kampung. Syarina yang sejak mula aku memasuki universiti telah menjadi teman rapatku tidak pernah lokek untuk membantu. Syarina mempelawa untuk menghantarku pulang ke kampungku terletak di selatan tanah air.
Sesampai di halaman rumah aku lihat orang kampung sudah memenuhi perkarangan rumah. Aku tidak dapat menahan lagi air mata yang sudah lama bergenang di kelopak mata ini sejak tadi. Tanpa mempedulikan orang ramai yang memerhatikan aku, aku terus masuk ke dalam rumah dan mataku tertancap pada sekujur tubuh yang kedua tangannya sudah berdakap di ruang tamu rumah. Adik-adik mula mendapatkanku dan memelukku. Mereka menangis dalam dakapan aku. Adik bongsuku, Aiman yang bajunya sudah lencun dek air mata dengan tangisnya berkata, “Along, bonda dah tak ada, tinggallah kita sendiri.” Demi mendengar kata-katanya itu aku tidak dapat berkata apa-apa lagi kerana hatiku sendiri sarat dengan kesayuan dan kesedihan yang teramat. Aku rapati jasad bonda. Aku kucupi dahi bonda. Kelihatan bonda tenang seperti dalam tidurnya. Aku redha dengan pemergian bonda. Mungkin tuhan lebih menyayanginya.
“Along marilah bergambar, semua orang tunggu along dekat luar.”
Panggilan Nadhirah mengejutkan aku dari lamunan. Aku meletakkan gambar bonda di atas meja dan berlalu ke ruang tamu. Selepas bergambar, kami akan melawat ke pusara bonda. Walaupun aidilfitri kali ini agak istimewa berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana saudara-mara datang bertandang ke rumah kami, namun tidak seindah ketika bonda ada bersama kami seperti suatu ketika dulu. Alunan takbir raya itu sungguh menyentuh kalbu, mengingatkan aku pada bonda tercintaku. Aku telah berjaya menjadi seorang doktor. Bonda pergi semasa semester terakhirku di universiti. Itulah yang membuatkan aku begitu terkilan. Tak sempat bonda melihat aku menggengam ijazah dan berjubah konvokesyen. Adik-adik pula telah berjaya menempatkan diri di universiti dalam negara walaupun sebenarnya mereka layak mendapat biasiswa ke luar negara. Mahu mengikut jejak langkahku, kata mereka. Masing-masing berjaya dalam bidang kejuruteraan dan perniagaan. Aku menjadi tempat pergantungan mereka selepas ketiadaan bonda. Aku mengambil keputusan tekad untuk bekerja sambil belajar semasa hampir satu semester tempoh hari. Walaupun memang agak sukar bagiku untuk membahagikan masa pada ketika itu, tambah pula aku adalah pelajar perubatan. Namun aku kuatkan semangat demi adik-adik. Aku tidak dapat memberi kesenangan kepada bonda kerana Allah telah menjemputnya terlebih dahulu. Namun melihat kejayaan adik-adik, aku merasa gembira. Dapat aku merasa kesusahan yang dialami bonda serta pengorbanannya walaupun apa yang aku lalui mungkin tidaklah sepahitnya. Sekurang-kurangnya aku tahu pengorbanan bonda selama ini tidak aku persiakan.
Bait kata dalam puisi sasterawan negara, Allahyarham Dato’ Usman Awang yang menjadi lirik lagu kumpulan UNIC-Ke Maqam Bonda itu memang benar seperti rasaku…
“ Kini ku rasakan kasihnya lagi, meskipun jauh dibatasi bumi.”
Oh bondaku!

27 Jun 2009

Ikhtilat.


Pergaulan antara lelaki dan wanita "ikhtilat": Apa sempadannya? Realiti hari ini menyaksikan manusia lelaki dan wanita telah bolos daripada pegangan agamanya sebagaimana bolosnya anak panah dari busarnya. Sifat, sikap, adab dan disiplin pergaulan jauh sekali daripada ajaran Islam.

Dalam fenomena seperti ini perkataan ikhtilat "pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi" tentu sekali menjadi persoalan yang mengancam kesejahteraan masyarakat dan keutuhan agama. Oleh kerana itu ulama-ulama Islam satu masa dahulu secara tegas menghukumkan masalah ikhtilat di sekolah, di pasar dan di mana-mana tempat adalah haram. Wanita lslam pula dididik agar mengutamakan rumah daripada pekerjaan. Oleh kerana itu isu wanita bekerja dan apatah lagi berpolitik adalah satu isu yang ditegah pada satu masa dahulu. Sejajar dengan Firman Allah yang bermaksud: "Dan tetaplah kamu di rumah-rumah kamu."


Apakah ikhtilat itu haram? Fiqh semasa pada kali ini akan menghuraikan hukum pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam berbagai sempena dari segi dalil, skop perbincangan dan batas-batas pergaulan. Contohnya wanita di tempat kerja, di pasar, di pentas dan bergelut di bidang politik. Adakah ia harus melakukan kerja-kerja yang seperti itu padahal dia terpaksa bergaul, bercakap dan bersemuka dengan bukan muhram dan bukan kaum sejenis mereka. Fenomena seperti ini diistilahkan oleh ulama kini sebagai: "ikhtilat".

Oleh itu untuk menghurai persoalan ini kita perlu terlebih dahulu menghurai perkataan ikthilat dari segi bahasa dan syariat.

Dari segi bahasa, ikhtilat bererti: meramukan, menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya.

Istilah syariat yang dimaksudkan dalam perbahasan ini ialah:
Percampuran wanita dengan lelaki iaitu perkumpulan mereka pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau bersendirian.

Percampuran di satu tempat selalunya menyebabkan mereka bertemu antara satu sama lain, berpandangan dan bertegur sapa. Apa hukum ikhtilat dalam konteks yang seperti? Ikhtilat seperti yang dijelaskan pada asalnya adakah haram atau halal?

Untuk mengetahui jawapan, kita utarakan pertanyaan berikut: Adakah wanita sepenuhnya seperti lelaki dalam bercampur dengan lelaki ajnabi? Yakni adakah percampuran mereka dengan lelaki sama dengan percampuran lelaki dengan lelaki, tanpa ada perbezaan?Jawapannya ialah; Tidak, secara pastinya tidak. Tidak ada seorang pun yang mengatakan bahawa pergaulan wanita dengan lelaki sama dengan pergaulan lelaki dengan lelaki. Kerana asasnya pergaulan lelaki sesama lelaki adalah harus, tetapi pergaulan lelaki dengan wanita tidak begitu. Maka kalau itu asasnya, pergaulan lelaki dan wanita adalah haram, bukan harus.

Setelah kita mengetahui asal hukum pergaulan antara leiaki dan perempuan adalah haram, maka la adalah suatu perkara yang wajib dihindarkan kecuali dalam keadaan terpaksa atau keperluan yang mendesak. Syeikh Abd. Karim Zaidan dalam kitabnya `al-mufassat fi al-mar ah' yang masyhur menyebutkan contoh-contoh keadaan tersebut seperti di bawah:


Pertama: Harus kerana terpaksa (dhorurah)


Ikhtilat yang berlaku kerana tekpaksa seperti yang disebutkan oleh Imam Nawawi dengan katanya: Berkata ahli mazhab Syafei: Tidak ada perbezaan dalam pengharaman khulwah (berdua-duaan) sama ada dalam solat atau selainnya. Dikecualikan daripada hokum ini kedaaan-keadaan dhorurat, seperti jika seseorang lelaki ajnabi mendapati seorang wanita ajnabi bersendirian di jalan, jauh daripada kumpulan manusia tersebut jika dibimbangi keselamatannya, maka pada ketika itu wajib tanpa khilaf. Antara contoh dhorurah yang lain ialah seperti seorang lelaki ajnabi melarikan wanita dengan tujuan menyelamatkannya daripada diperkosa, jika itu adalah satu-satu jalan untuk menyelamatkan wanita tersebut.


Kedua: Harus kerana keperluan (hajat)

Ulama berkata, hajat mengambil peranan dhorurah dalam mengharuskan perkara yang haram. Di sana dicatatkan beberapa keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan.

1. Ikhtilat kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarak. Harus bagi wanita bercampur dengan lelaki semasa berjual-beli, melakukan tawar-menawar, memilih barang dengan syarat tidak berlaku khulwat (berdua-duaan) dan memelihara adab-adab pergaulan.

2. Ikhtilat kerana melakukan kerja kehakiman. Wanita harus menjadi hakim dalam perkara selain hudud di sisi Hanafiah dan dalam semua perkara di sisi az-Dzohiriah dan Imam at-Tobari. Sudah termaklum kerja sperti ini mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada pendakwa, tertuduh, saksi dan lain-lain.

3. Ikhtilat kerana menjadi saksi. Islam mengharuskan wanita menjadi saksi dalam kes berkaitan dengan harta dan hak-haknya. Seperti dinyatakan dalam ayat akhir surah al-Baqarah. Menjadi saksi akan mendedahkan diri kepada percampuran dengan lelaki ajnabi.

4. Ikhtilat kerana amar ma'ruf nahi munkar.
Ibnu Hazmin telah menyebutkan dalam kitabnya `al-Muhalla' bahawa Umar al-Khattab r.a. telah melantik al-Syifa' menjadi penguatkuasa perbandaran. Sudah tentu beliau akan bercampur dengan lelaki ketika menjalankan tugasnya.

5. Ikhtilat kerana melayan tetamu.
Harus bagi wanita melayan tetamu bersama suaminya dan jika ada alasaan yang syar'ie seperti tujuan memuliakan tetamu dan sebagainya walaupun terpaksa bercampur dengan tetamu. Dalam hadis Bukhari, ada diriwayatkan bahawa Ummu Usaid melayani Rasulullah s.a.w. dengan menghidangkan makanan dan menuangkan minuman untuk baginda.

6. Ikhtilat kerana memuliakan tetamu dan jika perlu makan bersamanya. Harus bagi wanita makan bersama tetamu kerana tujuan memuliakan tetamu atau tujuan lain yang syar'ie Muslim meriwayatkan kisah satu keluarga yang ingin memuliakan Rasulullah s.a.w dan bertamukan baginda. Oleh kerana makanan yang sedikit, mereka memadamkan api dan memperlihatkan bahawa mereka makan bersama-sama banginda. Ini bereri bahawa orang ansor dan isterinya itu duduk bersama tetamu untuk makan bersama, walaupun mereka tidak makan, kerana mengutamakan tetamu.

7. Ikhtilat dalam kenderaan awam. Harus bagi wanita keluar rumah kerana menunaikan kerja-kerjanya yang diharuskan, walaupun terpaksa bercampur dengan lelaki ajnabi, seperti keluar untuk menziarahi dua ibu-bapanya, membeli-belah dan ke hospital, meski pun ia terpaksa menaiki kenderaan awam yang menyebabkan berlaku percampuran dengan penumpang lain dari kalangan lelaki ajnabi, dia mungkin duduk atau berdiri ditepinya. Percampuran ini diharuskan oleh keperluan yang syar'ie.

8. Ikhtilat kerana kerja-kerja jihad. Antara contoh pergaulan sewaktu jihad ialah seperti membawa air, merawat pesakit dan seumpamanya. Semua perkara tersebut adalah harus dilakukan oleh wanita kerana maslahah syariah. Bukhari menyebut dalam sahihnya daripada Ar Rabei binti Muawwiz katanya: Kami bersama Nabi s.a.w. merawat pesakit, memberi minum dan menghantar jenazah yang terbunuh ke Madinah.

9. Ikhtilat untuk tujuan belajar atau mendengar nasihat. Antara suasana yang diharuskan , ikhtilat dengan tujuan mengajar agama kerana Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. keluar pada satu hari raya dan sembahyang dua rakaat. Setelah selesai solat baginda berpusing mengarah wanita. Baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka bersedekah, bersama baginda ialah Bilal.

10. Ikhtilat dalam suasana yang telah menjadi adat kebiasaan. Tersebut dalarn kitab Muwatta persoalan: Adakah harus bagi wanita makan bersama hamba atau lelaki bukan muhramnya? Berkata Malik: Tidak ada halangan pada perbuatan tersebut, jika dalam ruang uruf bahawa wanita makan bersama lelaki tersebut. Kadang-kadang wanita makan bersama suami dan mereka yang sering makan bersama suaminya. Antara contoh yang berlaku pada zaman ini ialah percampuran sewaktu menziarahi sanak saudara atau rakan taulan.Dalam suasana yang seperti ini akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu bilik, makan pada satu meja dan sebaginya. Ini semua diharuskan selama terpelihara adab-adab Islamiah.


Adab-adab dalam bergaulan antara lelaki dan wanita

Walaupun pergaulan dibenarkan oleh syariat dalam suasana terpaksa dan keperluan, namun Islam telah meletakkan adab-adab dan disiplin dalam pergaulan lelaki dan wanita. Perkara-perkara inilah yang akan mengekang sikap-sikap serong dalam pergaulan antara wanita ajnabi dan lelaki. Kita perlu mengukur adakah pergaulan kita sekarang ini, sama ada di tempat kerja, dalam kenderaan awam, ketika membeli belah, bersiar-siar, berpolitik, amal-amal sosial, aktiviti-aktiviti luar dan lain-lain bertepatan dengan ajaran dan prinsip agama kita Islam. Sikap yang tidak mengikut lunas-lunas Islam lambat laun akan mengundang akan kecelakaan.


Adab yang perlu dijaga oleh lelaki dan perempuan.

1. Ucapan yang makruf dan sopan. Firman Allah: Dan ucaplah kata-kata yang makruf. Maksudnya, mereka ditegah sama sekali mengucapkan kata-kata yang janggal pada pandangan susila atau berbentuk sendaan dan sia-sia.

2. Menundukkan pandangan. Dalam surah an Nur menyuruh lelaki dan wanita menundukkan pandangan masing-rnasing khususnya dalarn suasana takutkan fitnah.

3. Mengelakkan daripada berhimpit dan bersesak-sesak.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ummu Salamah bahawa Rasulullah (s.a.w.) setelah memberi salam beliau tidak terus bangun. Ini untuk memberi peluang kepada wanita keluar dahulu. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah (s.a.w. ) bersabda: Janganlah sekali-kali seseorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita kecuali jika ia mahramnya.

4. Menghindari tempat shubhat.
Sabda Rasulullah SAW: Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu.... (Riwayat Bukhari). Adab khas untuk wanita.

5. Iltizam dengan pakaian Islam.
Firman Allah: Wahai Nabi katakanlah kepada isteri dan anak-anak perempuan kamu supaya melabuhkan jilbab mereka. Dan firmannya lagi: Janganlah kamu bertabarruj (bersolek) sebagaimana kaum jahiliah bertabrruj.

6. Serius dalam ucapan. Tidak `mengada-ngada` atau bermanja-manja dalam percakapan.Firman Allah: Dan janganlah kamu merendahkan (melunak dan memanja-manjakan) percakapan, yang menyebabkan mereka yang sakit hatinya terdetik untuk menggodamu.

7. Menjaga pergerakan. Tidak harus mereka memperlihatkan liuk lituk dan lenggan lenggok yang menggoda. Firman Allah: Janganlah mereka menghentak kaki untuk menarik perhatian kepada perhiasan yang mereka sembunyikan. Daripada pembentangan di atas ternyata bahawa rnenjadi pengacara majlis, peragawati, penyanyi dan penari adalah haram kerana tidak menepati syarat-syarat yang telah di tetapkan oteh ulama lslam. Wallahua'lam.

28 Mei 2009

Smart Hafazan 2009

PROGRAM CUTI SEKOLAH
"SMART HAFAZAN
2009"

Tarikh : 1 & 2 Jun 2009
Umur : 12-16 Tahun

"Perempuan sahaja yang layak untuk menyertai"

TEMPAT : TADIKA TUNAS RIA BESTARI, SUNGAI UDANG, KLANG, SELANGOR



Tema :
"GENERASI AL-QURAN YANG UNGGUL"

Yuran Cuma RM 35 SAHAJA

(Bagi peserta dari Shah Alam, tambahan yuran RM 15 untuk pengangkutan)

HUBUNGI :

Ustazah Soleha (Shah Alam) - 013 369 8166

Ustazah Zaleha (Klang) - 016 674 9240


 
Powered by Blogger