Memaparkan catatan dengan label aktiviti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aktiviti. Papar semua catatan

20 Jun 2011

Program Kembara Ilmu SAMTTAJ bangkitkan motivasi pelajar

Para pelajar SAMTTAJ yang penuh semangat

Shah Alam, 18 JUN - Pihak Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam sekali lagi bersama para remaja di Shah Alam untuk membina motivasi, iltizam dan jatidiri. Bertempat di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), seramai 130 orang peserta dari pelajar tingkatan 1 sekolah ini telah bersama dalam program Kembara Ilmu SAMTTAJ 2011.


Dengan lagu 'Menuju Wawasan' sebagai tema, program ini bertujuan untuk para pelajar terus bermotivasi dalam mengejar kecemerlangan di samping membina sahsiah diri yang mantap. Bermula pada hari Sabtu, 17 Jun, pebagai aktiviti telah dijalankan. Dimulakan dengan sesi 'ice breaking' pada petang Sabtu para pelajar didedahkan dengan cara kreatif untuk lebih mengenali kawan. Pada sesi malam berlangsungnya ceramah motivasi yang disampaikan oleh Ustaz Azhari yang menerangkan tujuan hidup dan bagaimana untuk menguruskannya dengan baik. Disusuli dengan sesi LDK yang menitikberatkan kerjasama yang baik untuk mencapai kejayaan.


Seterusnya pada pagi Ahad selepas para peserta membaca mathurat tazkirah berbentuk tayangan diadakan, disertai dengan ulasan oleh para fasi. Para peserta kemudiannya dihidangkan dengan 'talk show' oleh Cikgu Asmadi yang memberi perkongsian untuk pelajar terus cemerlang dan mumtaz untuk ummah. Acara diteruskan dengan 'treasure hunt' oleh pelajar lelaki dan LDK2 oleh pelajar perempuan. Usai solat Zohor, majlis penutup telah diadakan dengan dirasmikan oleh PK Pentadbiran SAMTTAJ, Puan Nor Azuin. Para peserta dan fasi juga telah menerima hadiah sebagai tanda penghargaan dari pihak sekolah.


Pihak KRIM sangat berharap akan dapat meneruskan usahasama bersama SAMTTAJ dan juga mana-mana sekolah yang berminat dalam misi kami untuk membimbing para remaja.


MediaKRIM Shah Alam


Siri Futsal Reunion mengisi cuti remaja

Futsal Reunion 1

Futsal Reunion 2

Alhamdulillah cuti sekolah yang lalu pihak KRIM Shah Alam telah berjaya mengadakan siri Futsal Reunion di Sports Planet Shah Alam. Tujuan utamanya adalah untuk merapatkan lagi ikatan antara ahli-ahli KRIM dan remaja-remaja sekitar Shah Alam. Selain dari menunaikan hak jasadi pihak KRIM juga mengambil inisiatif ini untuk mengumpulkan remaja supaya tidak terlibat dengan aktiviti yang kurang berfaedah. Dalam pengisian yang diberikan abang Muntaziri dan Amar Ismat juga ditekankan supaya para remaja bijak merancang agenda terutama sewaktu cuti sekolah.

29 Mei 2011

KJD4 mendidik remaja menjadi hebat dengan hidup bersyariat


Hulu Langat, 28 Mei
- Cara hidup bersyariat bukanlah konservatif. Itulah kata-kata yang sesuai dalam mencerminkan program baru-baru ini. Pada tarikh 28 Mei 2011, telah berlangsung perkhemahan yang dinamakan Kem Jati Diri 4 bertempat di Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, Selangor. Kem anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam ini telah berjaya mengumpulkan hampir seramai 58 orang peserta yang berumur antara 13 hingga 17 tahun.


Objektif utama KJD 4 ialah untuk memartabatkan jati diri seorang muslim dalam individu remaja selari dengan tema “Remaja Hebat, Hidup Bersyariat”. Walaupun seorang remaja itu memegang nama muslim dalam dirinya, itu bukanlah menjadi penghalang untuk mereka berseronok, mencabar diri melakukan aktiviti lasak serta melontarkan idea-idea kritis dalam mengasah potensi mental dan fizikal. Malah, aktiviti-aktiviti yang dilakukan tidak melanggar syariat, tetapi masih mengujakan.

Ketibaan peserta pada pukul 11 pagi telah disambut dengan hidangan makan tengahari sebelum diteruskan dengan aktiviti-aktiviti yang lain. Khemah didirikan dalam setiap kumpulan selepas aktiviti berkenal-kenalan sesama peserta dijalankan. Pada jam 2.30 petang, peserta lelaki mengambil posisi masing-masing untuk aktiviti eksplorasi hutan. Perjalanan ke lokasi itu sendiri yang jaraknya hampir 2 km sudah cukup memberikan warm up kepada peserta. Peserta seterusnya meluangkan masa melakukan aktiviti air di sungai.


Dalam waktu yang sama, peserta perempuan pula tidak kurang hebatnya. Mereka melakukan aktiviti “wargame”. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan. Salah seorang dari setiap kumpulan, secara rahsia dilantik menjadi perisik. Mereka ditugaskan untuk mengintip strategi kumpulan mereka dan membocorkan informasi yag diperolehinya kepada pihak lawan. Dalam aktiviti ini, peserta bukan sahaja memerlukan operasi yang tersusun serta bijak, malah kerjasama yang mantap juga memainkan peranan. Sebagai senjata, beberapa biji bola digunakan.

Selepas makan malam dan solat berjemaah Maghrib dan Isyak, tibalah masa untuk peserta mengisi hati dan minda mereka dalam slot motivasi bertajuk “Selamat Tinggal Cintaku” oleh Ustaz Rizal Sabran. Slot ini bertujuan untuk membaiki mentaliti remaja yang hanya memandang keseronokan dalam hidup. Sedangkan usia muda yang hanya sementara ini, patut diisi dengan agenda yang bukan sekadar meghiburkan tetapi juga berfaedah. Kemudian, dengan bantuan fasilitator yang berkaliber, peserta diminta untuk membincangkan masalah remaja yang kini terjadi, kesannya kepada masyarakat dan negara, serta penyelesaian yang terbaik bagi masalah tersebut.

Malam itu, peserta diuji untuk merasai kekurangan yang terpaksa dihadapi sekiranya mereka tidak memiliki rumah. Walaupun tidur didalam khemah kelihatan penuh kekurangan, tetapi itulah yang perlu dihadapi oleh segelintir manusia, dan mereka melaluinya setiap hari. Tepat pukul 4.30 pagi, peserta diminta untuk bangun dan pergi ke dewan. Tujuannya ialah untuk melakukan solat malam secara berjemaah. Walaupun dalam kepenatan, peserta akur apabila rohani mereka diuji , setelah fizikal mereka dicabar pada siang hari.

Keesokan harinya, selepas sarapan, aktiviti diteruskan. Tidak adil jika peserta lelaki sahaja yang dapat merasa naik ke hutan dan melakukan aktiviti air. Maka pagi itu, peserta perempuan pula mengambil posisi melakukan jungle trekking, Mereka kelihatan begitu teruja sewaktu aktiviti air terjun tanpa mengabaikan aspek-aspek keselamatan. Peserta lelaki pula melakukan aktiviti di kem seperti permainan inovasi halangan dan “wargame”. Selepas itu, peserta di arah supaya mengemas barang-barang dan khemah, untuk sama-sama dalam aktiviti terakhir. Slot “Siapa Aku” mengajak peserta untuk mencari identiti mereka, untuk diteliti dan diperbaiki. Penyampaian yang menarik dari penceramah jemputan, Ustaz Pathan Hussin mendapat maklum balas positif daripada peserta.

Peserta terbaik lelaki, Muhammad Azwan bin ahmad Zaidi

Pada jam 4.30 petang, majlis perasmian dan penutup di laksanakan oleh pengarah KRIM Shah Alam, Cikgu Nuzhardinata dan diteruskan dengan penyampaian anugerah. Empat anugerah dipertandingkan sepanjang perkhemahan iaitu, peserta paling disiplin, inovatif, kreatif, dan terbaik keseluruhan. Bagi Peserta Lelaki Terbaik Keseluruhan disandang oleh Muhammad Azwan bin ahmad Zaidi dan Peserta Perempuan Terbaik Keseluruhan pula ialah Fathiah Solehah binti Ismail. Diharapkan mereka menjadi inspirasi kepada peserta-peserta lain.

Peserta terbaik perempuan, Fathiah Solehah binti Ismail

Selepas Solat Asar berjemaah, peserta dibawa pulang ke Shah Alam. Pesanan kami kepada pelajar-pelajar yag telah terlibat dalam KJD 4 ini agar dapat menggarap seberapa banyak pengajaran dan pengalaman daripada program ini dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kami dari KRIM megucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh setiap peserta. Semoga berjumpa lagi di aktiviti akan datang!!

Gambar penuh di Facebook KRIM Shah Alam

MediaKRIM Shah Alam



25 Mei 2011

Bersedia, KEM JATI DIRI 4!!


Debaran semakin hampir, KEM JATI DIRI 4 tinggal beberapa hari sahaja lagi!

Di sini disenaraikan barang-barang keperluan yang perlu dibawa oleh peserta :

1. Al-quran
2. Peralatan mandi
3. Pakaian sukan + kasut sukan
4. Pakaian 2 hari
5. Ubatan
6. TIDAK digalakkan bawa hp
7. Stokin panjang

Juga dilampirkan peta kem Nur Lembah Pangsun


JUMPA DI SANA!!


23 Mac 2011

Puteri KRIM berukhuwwah sambil mentadabbur alam di SBP


SHAH ALAM, 19 Mac - Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam telah mengadakan sebuah program untuk pelajar-pelajar puteri yang berumur dalam lingkungan umur 13 tahun – 17 tahun. Program tersebut yang dinamakan ‘School Break Picnic’ adalah bersempena cuti sekolah pada minggu lepas. Seramai 21 orang peserta dan dipimpin oleh 5 orang fasi hadir memeriahkan program tersebut. Syukur ke hadrat Ilahi kerana program berjalan dengan baik dan lancar.



Program yang berkonsepkan program riadah ini dijalankan di Taman Tasik PKNS, Shah Alam. Objektif program adalah untuk mengetengahkan imej muslimah success disamping merapatkan hubungan silaturrahim antara peserta yang datang dari sekolah-sekolah yang berlainan.

Pendaftaran bermula pada pukul 8.00 pagi, diikuti sarapan dan setelah itu pengarah memberi sedikit taklimat mengenai program serta pengenalan tentang Kelab Remaja ISMA terhadap peserta-peserta yang hadir. Program diteruskan dengan aktiviti jogging mengelilingi Taman Tasik PKNS & menaiki bot mengelilingi tasik. Semasa di dalam bot, Fasi memberikan sedikit tazkirah ringkas kepada peserta mengenai kejadian alam semula jadi yang Allah ta’ala jadikan begitu indah dan teratur.

Selesai menaiki bot, aktiviti game dan kuiz yang menguji minda dimulakan diteruskan dengan pengisian mengenai ‘Muslimah Succsess’ oleh ukhti Hafizah Ismail. Tepat jam 11.30 pagi semua peserta dan fasi menikmati hidangan satay bersama-sama. Majlis bersurai pada pukul 12.00 tengahari.



Program ini bukan sekadar mengajak peserta melakukan aktiviti menyihatkan badan tetapi juga untuk mendidik peserta untuk memerhati keindahan alam ciptaan Allah ta’ala serta mengajak mereka untuk sentiasa mengingati Allah ta’ala.

18 Mac 2011

KASRIM 2011 disambut meriah!


SHAH ALAM, 13 Mac
- Bertempat di Sport Planet Shah Alam, Kelab Remaja ISMA (KRIM) cawangan Shah Alam telah menganjurkan sebuah kejohanan futsal yang diberi nama Karnival Sukan Remaja Muslim (KASRIM). Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Dr Amiruddin Abd Wahab, YDP ISMA Shah Alam yang sentiasa memberi sokongan terhadap aktiviti remaja sekitar Shah Alam.



Kejohanan tersebut mendapat sambutan yang hebat daripada golongan remaja berumur lingkungan 13-18 tahun. Kejohanan yang berbentuk liga ini terbahagi kepada dua kategori iaitu bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun. Sebanyak 28 kumpulan menunjukkan persaingan yang sengit bagi merebut gelaran juara dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai dan plak kejohanan.



Kejohanan ini berorientasikan untuk memupuk amalan bersukan bagi menjana kesihatan tubuh badan dan minda di kalangan peserta disamping mengeratkan lagi hubungan persaudaraan islam di kalangan peserta. Pelbagai peraturan telah diperketatkan seperti pemakaian menutup aurat dan tiada pergaduhan untuk menjana semangat kesukanan selari dengan pandangan islam.

Walaupun kelihatan kepenatan diakhir perlawanan, namun para peserta tetap berpuas hati dengan perlawanan masing-masing. Johan dan naib johan bagi setiap kategori telah berjaya menjulang piala pusingan dan dan membawa pulang wang tunai yang lumayan dan plak kejohanan. Tambahan pula, setiap peserta diberi sijil penyertaan sebagai penghargaan. Pihak KRIM Shah Alam berharap remaja-remaja di Shah Alam akan terus mengikuti aktiviti-aktiviti KRIM yang seterusnya.

Lebih banyak gambar di www.facebook.com/krimshahalam


08 Mac 2011

KRIM D'REUNION mengeratkan ukhuwwah remaja Shah Alam


SHAH ALAM, 5 Mac - Bertempat di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam telah menganjurkan program KRIM D'REUNION yang telah dihadiri seramai 40 remaja sekitar Shah Alam. Kebanyakan peserta adalah dari sekolah SM Hira' Shah Alam, SAMTS Hisamuddin, SAMTTAJ dan lain-lain. Aktiviti bertema riadah santai ini bertujuan merapatkan lagi ukhuwwah antara ahli KRIM Shah Alam bersama remaja-remaja sekitar Shah Alam, di samping beriadhah bersama dan menikmati juadah istimewa di akhir program.



Program dimulakan pada awal pagi dengan aktiviti street soccer yang dimainkan secara liga oleh 6 buah kumpulan. Peserta telah bermain dengan bersungguh-sungguh dalam keadaan mesra antara setiap kumpulan walaupun matahati agak terik di waktu pagi. Perlawanan telah berlangsung sehinggalah tengah hari. Walaupun dalam keadaan penat, peserta tetap berwajah ceria dan seronok dengan permainan masing-masing.

Setelah penat menonjolkan aksi dan bakat, para peserta berkumpul di pondok sekitar kawasan permainan untuk mendengar sedikit pesanan dari Cikgu Hardi, pengarah KRIM Shah Alam. Cikgu Hardi mengingatkan para remaja supaya membetulkan niat agar tidak hanya bermain untuk berseronok bahkan untuk mendapat keredhaan Allah dengan menguatkan jasmani dan mengeratkan ukhuwwah. Beliau juga mengingatkan agar para remaja pandai mengisi masa dengan perkara berfaedah.



Akhir sekali para peserta dihidangkan dengan jamuan istimewa iaitu makan satay. Mereka dilihat sungguh berselera lebih-lebih lagi setelah penat beriadhah sepanjang pagi. Pihak KRIM Shah Alam berharap agar remaja-remaja sekitar Shah Alam dapat terus bersama kami untuk memanfaatkan masa dengan aktiviti berfaedah di samping membina motivasi, iltizam dan jatidiri. Jangan lupa untuk sertai KASRIM 2011 pula selepas ini!

Boleh lihat lebih banyak gambar di sini!

07 Mac 2011

Muslimah Breakfast mengeratkan ukhuwwah remaja muslimah Shah Alam

SHAH ALAM, 27 Februari - Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam telah mengadakan sebuah program Muslimah Breakfast bagi remaja berumur lingkungan umur 13-17 tahun. Program ini terbuka hanya kepada remaja perempuan. Seramai 17 orang peserta dan dipimpin oleh 4 orang fasi hadir memeriahkan program tersebut. Syukur ke hadrat Ilahi kerana program berjalan dengan baik dan lancar.

Lokasi bagi program Muslimah Breakfast ini ialah Taman Tasik PKNS Shah Alam. Objektif utama program ini ialah bagi mengeratkan ukhwah adik-adik dan kakak-kakak fasi. Program bermula pada jam 8 pagi, dimulai dengan tazkirah ringkas oleh ukhti Hafizah Ismail seterusnya diikuti dengan pembahagian kumpulan. Aktiviti dimulakan dengan game pertama iaitu ‘Deco Sandwiches’, seterusnya game kedua, game belon amanah, dan game terakhir, lihat dan lukis.


Game pertama : Deco Sandwiches

Game kedua : Belon Amanah

Game terakhir : Lihat dan lukis


Setelah selesai semua game, semua fasi memberi sedikit pengisian pada adik-adik sebagai resolusi terhadap aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan. Sebelum bersurai, adik-adik tersebut membuat pendaftaran serta menjamu selera bersama. Semoga Allah ta’ala memberkati program ini dan memberi kesempatan pada kita untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang. Diharap juga adik-adik yang hadir pada program Muslimah Breakfast ini akan kembali bersama kita pada program-program KRIM yang seterusnya.

30 Disember 2010

KRIM Shah Alam sertai JIRIM 2


Ulu Yam, 24 – 26 Disember 2010 - Bertemakan ‘Impact 2 Perfect’, seramai hampir 600 orang remaja dari seluruh negara telah menyertai dengan jayanya program Jambori Remaja Muslim Nasional kali ke-2 (JIRIM2) yang telah diadakan di Nur Laman Bestari, Ulu Yam, Selangor. Program ini yang merupakan anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Pusat telah diadakan selama tiga hari dua malam.

Pihak KRIM Shah Alam Klang telah menghantar peserta seramai 70 orang dengan menaiki dua bas bersama 7 orang pengiring. Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan antaranya War Game, Kembara Quran, Cergas JIRIM, Jungle Trekking, Water Games dan banyak lagi. Ini merupakan kali yang ke-2 diadakan setelah diadakan pada tahun lepas dan mendapat maklumbalas yang baik daripada ibu bapa.

Salah seorang peserta JIRIM2 dari Shah Alam yang dinobatkan sebagai Peserta Lelaki Terbaik bagi JIRIM 2 ini, adik Suria Iskandar bin Amiruddin, 19, berkata, “ Banyak input yang saya dapat melalui kem ini dan berharap agar ia diadakan lagi pada tahun-tahun akan datang supaya saya boleh mengajak sama rakan – rakan yang lain untuk menyertainya”. KRIM Shah Alam Klang mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak KRIM Pusat di atas kejayaan menganjurkan program ini. Jumpa lagi untuk program akan datang!

Sumber: www.ismashahalam.net


10 Disember 2010

X Race KRIM




Shah Alam, 7 Sep – Kelab Remaja ISMA ( KRIM ) Shah Alam & Klang telah berjaya mengadakan Explorace Hijrah di Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam bagi remaja puteri berumur 12 hingga 17 tahun. Seramai 74 orang remaja puteri harapan ummah telah terlibat dengan penuh semangat dan keazaman yang tinggi dalam meniti kehidupan sebagai seorang remaja.

Dengan objektif utama program ini iaitu menghidupkan kesan hijrah di dalam setiap individu, explorace dimulakan dengan tazkirah hijrah khas daripada Ukhti Ummi Kalthum. Para peserta juga dibekalkan sebuah hadith untuk dihafal, difahamkan serta diamalkan sepanjang explorace di dalam kumpulan.

Program yang berkonsepkan menghayati keindahan alam dengan zikrullah dalam menyelesaikan persoalan dan permasalahan di setiap check point berjaya membuka minda para peserta terhadap kebesaran Allah SWT serta mengetuk pintu hati mereka mengenai kewujudan Allah yang sentiasa akan membantu hambaNya dalam apa jua keadaan.

Beberapa aktiviti mencabar seperti puzzle tokoh, musang berjanggut, ujian hati dan tahsin al-fatihah mampu menguji semangat, ketahanan jati diri serta kerjasama para peserta walaupun mereka baru di fasa perkenalan antara satu sama lain. Kemahiran berfikir para peserta diuji dengan beberapa soalan mengenai hijrah di setiap check point yang memerlukan perbincangan antara mereka mengikut masa yang ditetapkan.

Explorace yang berjalan selama 2 jam ini telah berakhir dengan secebis resolusi serta penyampaian hadiah dan cenderahati untuk setiap peserta. Tahniah dan syabas buat para peserta di atas kesungguhan dan semangat adik-adik dalam aktiviti ini. Semoga adik-adik tidak berputus asa merealisasikan azam tahun baru hijrah pada tahun ini. Sekalung penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa program dan barisan fasilitator daripada Persatuan Belia Islam Nasional ( PEMBINA ).


إن الله ليعجب من الشباب الذي ليست له صبوة

“ Sesungguhnya Allah takjub kepada pemuda yang tidak ada padanya sifat keremajaan
( kelalaian, bersuka ria sentiasa, membuang masa )



Oleh :
Penggerak KRIM SAK

15 November 2010

Kem Pemantapan Sahsiah di SMK Seksyen 27 Shah Alam






SHAH ALAM, 10 NOVEMBER – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia ( KRIM ) cawangan Shah Alam Klang telah meneruskan langkah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 27 bagi menunaikan amanah oleh pihak sekolah untuk melakasanakan Kem Pemantapan Sahsiah 2010.

Selari dengan usaha KRIM dalam merealisasikan agenda melahirkan remaja yang bermotivasi dan beriltizam seterusnya membina jatidiri remaja hebat, pemangku pengarah Kelab Remaja ISMA Shah Alam dan beberapa orang ahli jawatankuasa KRIM Shah Alam Klang telah turun bagi menjayakan program ini.

Tepat pukul 8.30 pagi, program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Kaunselor Rozilah Binti Damiri merangkap guru di bahagian unit Kaunseling dan kerjaya sekolah. Seusai ucapan aluan ringkas, sesi pengenalan KRIM telah disampaikan oleh pemangku Pengarah KRIM Shah Alam Klang. Taklimat tersebut dikaitkan dengan matlamat KRIM yang berusaha membantu memperbaiki peribadi dan akhlak khusus buat remaja masa kini.

Aktiviti pertama yang dijalankan setelah para pelajar diserahkan kepada pihak KRIM ialah ice breaking yang dikendalikan oleh barisan fasilitator daripada penggerak KRIM Shah Alam Klang. Para pelajar kelihatan seronok dan bersemangat untuk memecahkan tembok jurang antara mereka dengan aktiviti-aktiviti yang mempunyai objektif bermanfaat. Selesai slot “ice breaking” dan minum pagi, program diteruskan lagi dengan slot ceramah bertajuk “Hakikat Kehidupan” oleh Ustaz Pathan b. Hussin.

Melalui slot ini, para pelajar dapat mengenali diri, mengetahui tujuan hidup dan destinasi yang mereka akan tuju. Objektif slot Hakikat Kehidupan ini telah dikukuhkan lagi dengan perlaksanaan Latihan Dalam Kumpulan 1 ( LDK ) yang dikendalikan oleh fasilitator dengan aktiviti dan permainan yang berkait rapat dengan mengenal erti kehidupan.

Pada sebelah petangnya, program diteruskan lagi dengan slot ceramah ke 2 bertajuk “Selamat Tinggal Jahiliyyah” oleh Cikgu Asmadi b. Abd Samad. Slot yang dilaksanakan selepas menjalankan Latihan Dalam Kumpulan 2 ( LDK ) ini telah menyemarakkan lagi semangat para pelajar untuk mengetahui helah anasir-anasir jahiliyyah yang membelenggu remaja hari ini seterusnya membuka ruang pemikiran para pelajar langkah terbaik untuk dilakukan setelah mendapat penjelasan di dalam slot terakhir ini.

Dengan berakhirnya slot tersebut, maka berakhirlah Kem Pemantapan Sahsiah 2010 ini. Ucapan Perasmian telah disampaikan oleh Tuan Hj Baharudin Bin Hassan selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar SMK 27. Beliau mengucapkan terima kash kepada Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Shah Alam/Klang atas kesudian melaksanakan program tersebut di samping menekankan kepada para pelajar mengenai peri pentingnya sahsiah peribadi muslim yang perlu dipraktikkan oleh para pelajar. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada pihak penganjur dan para peserta.

07 September 2010

Rehlah Masyi Badar Kubro 1431H



SHAH ALAM 31 Ogos - Dalam meraikan Nuzul al-Quran pada17 Ramadhan yang lepas seramai 110 orang ahli ISMA dan juga KRIM cawangan Shah Alam & Klang sama-sama menjayakan program Rehlah Masyi Badar al-Kubro 2010 di Taman Tasik Shah Alam anjuran Biro Pembangunan Sumber Manusia Cawangan.

Lebih banyak gambar di GALERI ISMA SAK

19 Julai 2010

Kem Kasih Gemilang (E-Kasih)

Alhamdulillah pada 10 Julai 2010 yang lalu, KRIM SAK telah berjaya melaksanakan satu program khas untuk remaja tingkatan 1 hingga 5 yang merangkumi peserta seramai 110 orang. Program bertempat di SMK Telok Gadong, Klang adalah hasil usaha bersama Unit Kaunseling, SMK Telok Gadong dan Pusat Zakat Selangor.
Program yang bermula seawal jam 8 pagi hingga 5 petang dengna melibatkan 2 orang penceramah berbakat KRIM SAK dan 6 orang fasilitator remaja. Slot pertama dijayakan oleh Cikgu Asmadi abu Samad dengan tajuk "Mengenali Potensi Diri"dan slot kedua oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Fathan Hussin dengan tajuk pengisiannya "Mengenali Hakikat kehidupan". Pengisian mereka ini berjaya mencungkil potensi diri dan mengenali pencipta mereka hingga menitiskan air mata keinsafan.
Slot seterusnya selepas Zohor adalah berbentuk permainan yang dikendalikan oleh 6 orang fasilitator antaranya Atiqah Ayob, Mustaqim Razali, Izzuddin dan Fityatun Nawwar.

18 Julai 2010

Slot Ceramah di SMK Seksyen 18

Alhmadulillah, pada hari Jumaat lepas bersamaan 16 Julai 2010, KRIM SAK berjaya melakar satu kejayaan baru apabila berjaya menembusi sebuah lagi sekolah di Shah Alam, iaitu SMK Seksyen 18, dengan slot ceramah motivasinya kepada lebih 300 orang pelajar. Walaupun slot ceramah motivasi ini hanya melibatkan pelajar-pelajar asrama dari tingkatan 1 hingga 5, namun peluang yang diberikan ini oleh pihak sekolah dipergunakan sebaiknya untuk membantu dan membimbing para remaja di sekolah ini. Slot ceramah motivasi telah diisi oleh Ustaz Rizal Sabran yang juga merupakan Setiausaha KRIM SAK selama hampir 2 jam dan diakhiri program ini dengan alunan nasyid pelajar tingkatan 3 sekolah ini. Mudah-mudahan lebih banyak lagi peluang dan ruang untuk KRIM SAK berkembang dan memperluaskan misi kami di sekolah-sekolah lain. Nantikan laporan-laporan seterusnya mengenai program-program dan slot-slot kendalian KRIM SAK di sekolah-sekolah lain.


02 Julai 2010

Program Motivasi di SMK Seksyen 27 berjaya!!

Shah Alam (23 Jun 2010) :

Alhamdulillah, dengan izin Allah, Sebuah program motivasi pelajar telah berjaya diadakan bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 27 Shah Alam yang dikendalikan oleh Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam/Klang. Antara objektif program ini ialah
1) Membantu pelajar membuat persediaan dari segala aspek agar dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan bersedia dari aspek mental dan fizikal.
2) Membantu pelajar menguruskan rutin harian agar tersusun dan pelajar dapat melakukannya dengan sistematik.
3)Membantu pelajar menangani tekanan yang akan dihadapi semasa menjelangnya peperiksaan.





Program bermula seawal jam 8.30pagi dengan pengisian ceramah oleh saudara Mohd Azmir b. Mohd Razli dari Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA). Program Motivasi ini khusus buat pelajar tingkatan 3 seramai 126 orang yang bakal menduduki peperiksaan PMR tahun ini. Selepas rehat, pelajar sekali lagi diberikan tip-tip tambahan oleh Ust. Mohammad Rizal Sabran (setiausaha KRIMSAK) yang menuuntut agar pelajar lebih bersemangat dan tidak mudah putus asa untuk terus belajar dan mencapai kejayaan yang diidamkan. Slot latihan dalam kumpulan (LDK) dipimpin oleh Saudara Mohd Azmir dan dibantu oleh beberapa orang ikhwah alumni sekolah tersebut.




Majlis penutup diserikan dengan kehadiran dan ucapan penutup oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid mewakili guru besar sekolah tersebut. Pelajar kemudiannya dipimpin untuk bersama menunaikan solat zohor berjemaah di surau sekolah. Semoga program ini dapat membuka pintu kerjasama antara KRIM dan pihak sekolah untuk mengadakan program-program di masa hadapan.

17 Jun 2010

JJR2 meriahkan Taman Tasik Shah Alam!


Pada hari Rabu bersamaan tarikh 16 Jun 2010, Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam Klang telah mengadakan sebuah program bagi remaja berumur lingkungan umur 11 tahun – 14 tahun. Program ini terbuka hanya kepada remaja lelaki. Seramai 16 orang peserta dan dipimpin oleh 8 orang fasi serta 3 orang ahli jawatankuasa. Syukur ke hadrat Ilahi kerana membenarkan program ini berjalan dengan baik.


Aktiviti utama program ini adalah aktiviti Islamic Explorace. Lokasi bagi aktiviti exploce tersebut ialah seluruh kawasan Taman Tasik Shah Alam. Objektif utama program ini ialah bagi memberi keyakinan dan mengenal potensi diri masing-masing. Selepas pendaftaran, kami meneruskan dengan agenda ‘ice-breaking’ yang disertakan dengan aktiviti-aktiviti menarik. Kemudiannya aktiviti explorace menyusul. Selesainya explorace, Ustaz Mohd Rizal bin Sabran bagi memberi sedikit pengisian serta tayangan kepada semua peserta.

Sebelum berakhirnya program, sesi penyampaian hadiah dijalankan telah disempurnakan En. Sanusi, AJK Surau At-Taqwa, Seksyen 7. Program pada hari ini telah berjalan dengan baik. Diharap para remaja akan terus bersama kami untuk menjalani pelbagai aktiviti menarik akan datang.

Lebih banyak gambar di Galeri ISMA SAK.


 
Powered by Blogger