29 Mei 2011

KJD4 mendidik remaja menjadi hebat dengan hidup bersyariat


Hulu Langat, 28 Mei
- Cara hidup bersyariat bukanlah konservatif. Itulah kata-kata yang sesuai dalam mencerminkan program baru-baru ini. Pada tarikh 28 Mei 2011, telah berlangsung perkhemahan yang dinamakan Kem Jati Diri 4 bertempat di Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, Selangor. Kem anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam ini telah berjaya mengumpulkan hampir seramai 58 orang peserta yang berumur antara 13 hingga 17 tahun.


Objektif utama KJD 4 ialah untuk memartabatkan jati diri seorang muslim dalam individu remaja selari dengan tema “Remaja Hebat, Hidup Bersyariat”. Walaupun seorang remaja itu memegang nama muslim dalam dirinya, itu bukanlah menjadi penghalang untuk mereka berseronok, mencabar diri melakukan aktiviti lasak serta melontarkan idea-idea kritis dalam mengasah potensi mental dan fizikal. Malah, aktiviti-aktiviti yang dilakukan tidak melanggar syariat, tetapi masih mengujakan.

Ketibaan peserta pada pukul 11 pagi telah disambut dengan hidangan makan tengahari sebelum diteruskan dengan aktiviti-aktiviti yang lain. Khemah didirikan dalam setiap kumpulan selepas aktiviti berkenal-kenalan sesama peserta dijalankan. Pada jam 2.30 petang, peserta lelaki mengambil posisi masing-masing untuk aktiviti eksplorasi hutan. Perjalanan ke lokasi itu sendiri yang jaraknya hampir 2 km sudah cukup memberikan warm up kepada peserta. Peserta seterusnya meluangkan masa melakukan aktiviti air di sungai.


Dalam waktu yang sama, peserta perempuan pula tidak kurang hebatnya. Mereka melakukan aktiviti “wargame”. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan. Salah seorang dari setiap kumpulan, secara rahsia dilantik menjadi perisik. Mereka ditugaskan untuk mengintip strategi kumpulan mereka dan membocorkan informasi yag diperolehinya kepada pihak lawan. Dalam aktiviti ini, peserta bukan sahaja memerlukan operasi yang tersusun serta bijak, malah kerjasama yang mantap juga memainkan peranan. Sebagai senjata, beberapa biji bola digunakan.

Selepas makan malam dan solat berjemaah Maghrib dan Isyak, tibalah masa untuk peserta mengisi hati dan minda mereka dalam slot motivasi bertajuk “Selamat Tinggal Cintaku” oleh Ustaz Rizal Sabran. Slot ini bertujuan untuk membaiki mentaliti remaja yang hanya memandang keseronokan dalam hidup. Sedangkan usia muda yang hanya sementara ini, patut diisi dengan agenda yang bukan sekadar meghiburkan tetapi juga berfaedah. Kemudian, dengan bantuan fasilitator yang berkaliber, peserta diminta untuk membincangkan masalah remaja yang kini terjadi, kesannya kepada masyarakat dan negara, serta penyelesaian yang terbaik bagi masalah tersebut.

Malam itu, peserta diuji untuk merasai kekurangan yang terpaksa dihadapi sekiranya mereka tidak memiliki rumah. Walaupun tidur didalam khemah kelihatan penuh kekurangan, tetapi itulah yang perlu dihadapi oleh segelintir manusia, dan mereka melaluinya setiap hari. Tepat pukul 4.30 pagi, peserta diminta untuk bangun dan pergi ke dewan. Tujuannya ialah untuk melakukan solat malam secara berjemaah. Walaupun dalam kepenatan, peserta akur apabila rohani mereka diuji , setelah fizikal mereka dicabar pada siang hari.

Keesokan harinya, selepas sarapan, aktiviti diteruskan. Tidak adil jika peserta lelaki sahaja yang dapat merasa naik ke hutan dan melakukan aktiviti air. Maka pagi itu, peserta perempuan pula mengambil posisi melakukan jungle trekking, Mereka kelihatan begitu teruja sewaktu aktiviti air terjun tanpa mengabaikan aspek-aspek keselamatan. Peserta lelaki pula melakukan aktiviti di kem seperti permainan inovasi halangan dan “wargame”. Selepas itu, peserta di arah supaya mengemas barang-barang dan khemah, untuk sama-sama dalam aktiviti terakhir. Slot “Siapa Aku” mengajak peserta untuk mencari identiti mereka, untuk diteliti dan diperbaiki. Penyampaian yang menarik dari penceramah jemputan, Ustaz Pathan Hussin mendapat maklum balas positif daripada peserta.

Peserta terbaik lelaki, Muhammad Azwan bin ahmad Zaidi

Pada jam 4.30 petang, majlis perasmian dan penutup di laksanakan oleh pengarah KRIM Shah Alam, Cikgu Nuzhardinata dan diteruskan dengan penyampaian anugerah. Empat anugerah dipertandingkan sepanjang perkhemahan iaitu, peserta paling disiplin, inovatif, kreatif, dan terbaik keseluruhan. Bagi Peserta Lelaki Terbaik Keseluruhan disandang oleh Muhammad Azwan bin ahmad Zaidi dan Peserta Perempuan Terbaik Keseluruhan pula ialah Fathiah Solehah binti Ismail. Diharapkan mereka menjadi inspirasi kepada peserta-peserta lain.

Peserta terbaik perempuan, Fathiah Solehah binti Ismail

Selepas Solat Asar berjemaah, peserta dibawa pulang ke Shah Alam. Pesanan kami kepada pelajar-pelajar yag telah terlibat dalam KJD 4 ini agar dapat menggarap seberapa banyak pengajaran dan pengalaman daripada program ini dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kami dari KRIM megucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh setiap peserta. Semoga berjumpa lagi di aktiviti akan datang!!

Gambar penuh di Facebook KRIM Shah Alam

MediaKRIM Shah Alam



0 komentar:

Catat Ulasan

 
Powered by Blogger