08 Jun 2012

Asyiknya Bercinta

Zaman Remaja Yang Indah
Zaman remaja merupakan zaman yang indah. Kata orang, sekali sahaja kan kita lalui zaman ini. Di zaman inilah terkumpulnya segala jenis perasaan di dalam hati; perasaan ingin mencuba, perasaan mahu memberontak, semangat waja, kelincahan, kenakalan muda-mudi dan tidak ketinggalan, yang paling istimewa: cinta.
Masihkah anda ingat pada lirikan dan jelingan pertama ‘si manis’ di kelas sebelah tatkala dia melintasi kelas anda? Masihkah anda ingat pada nota pertama yang ditinggalkannya di bawah meja “Assalamualaikum, boleh berkenalan?” Ataupun masihkah anda ingat saat pertama melihat gula-gula di bawah meja setiap pagi daripada pemberi ‘misteri’ yang baik hati?
Nota, lirikan, senyuman, hadiah ini membuatkan jiwa remaja yang sedang rancak dan giat memberanakkan hormon-hormon remaja melonjak-lonjak. Tak dibalas, rugi. Nak dibalas serba salah kerana belum pernah berbuat begitu.
Akhirnya terbitlah lintasan yang mengatakan; apa salahnya sekali sahaja? Bukan nak buat apa pun? Apalah sangat nak menyambung silaturahim yang suci begini? Kawan-kawan semua berbuat begitu. Di otak terbayang babak-babak filem melayu tatkala hati watak heroin berjaya ditawan jejaka idaman. Indah bukan?
Mungkin itu yang terbayang di kepala adik-adik. Segalanya indah, polos, cantik penuh warna-warni kehidupan. This is life!
Malangnya, dan sayang seribu kali sayang kerana adik-adik sedang ditipu oleh istilah cinta rekaan manusia juga syaitan yang sentiasa menjadikan indah setiap perbuatan yang membelakangi Allah.
Perihal Cinta Syaitan
Di saat saya  melihat Adli saya kasihan, dia seperti ketagihan dan separuh gila terhadap Zana. Apabila dihalang oleh ibu bapa masing-masing daripada bertemu satu sama lain di luar sekolah akibat terbongkarnya aktiviti ‘kotor’ mereka, dia jadi tak tentu arah. Dia merayu-rayu melutut kepada guru-guru agar dibenarkan mereka bertemu, tak tahan rindu katanya. Perasaan malunya hilang entah ke mana. Adli bukan pelajar nakal, bahkan bekas pelajar sekolah agama. Komen adiknya, “Cikgu abang saya baik. Dia bukan begitu dulu”.
Di saat saya melihat ke anak mata Farida dan Faizul, saya bertambah sedih namun perasaan yang lebih besar adalah gagal. Saya rasa gagal dalam mendidik pelajar saya menjadi manusia tatkala berita kelahiran bayi mereka tersebar sedangkan mereka masih hingusan dan keanak-anakkan. Namun, pada mereka ianya begitu mudah, “Kami akan berkahwin selepas ini”. Ya setelah anak luar nikah kalian boleh menyaksikan sendiri perkahwinan ibu bapanya?
Syafiz pula sudah bosan di rumah. Dia mahu ke sekolah bertemu rakan-rakan setelah isteri yang dikahwininya secara paksa akibat tertangkapnya mereka tempoh hari di samping perihal isterinya yang kian memboyot sebelum ‘waktu’ mula menyesakkan jiwa mudanya. Di sekolah dia rancak bercerita itu ini seakan-akan tidak mahu pulang ke rumah menanggung satu tanggungjawab yang tidak layakpun manusia seumurnya menanggungnya. Cintanya pada si isteri, dia tidak pasti. Ya inilah perempuan yang dipujuk rayu setiap hari di sekolah tapi entah mengapa perasaan itu hilang entah ke mana?
Apa yang sedang terjadi?
 Sebenarnya yang sedang terjadi, kenyataan yang mereka benci ini adalah realiti. Dan yang telah remaja-remaja tadi lalui, perasaan yang mereka sangka paling indah yang pernah mereka kecapi adalah ilusi. Ya seperti yang saya katakana tadi, ilusi rekaan manusia-manusia yang tersalah memberi makna kepada cinta dan ilusi syaitan yang mahu menyesatkan manusia.
Cinta itu apa? Ketagihan menggila? Perasaan meronta-ronta mahu bertemu tak kira masa laksana Romeo dan Juliet, sanggup meredah segala, hancurkan hati ahli keluarga, guru-guru dan teman seperjuangan, lupakan tanggungjawab menuntut ilmu dan persetankan semua? Apa atas nama cinta juga remaja-remaja ini bertindak menyerahkan segala-galnya? Itu semua syarat cinta?
Saya teringat kata-kata seorang lelaki kepada seorang wanita yang berjaya diselamatkannya daripada membunuh diri akibat kecewa kerana cinta,
“Sayang sekali, kerana cinta kau memilih neraka”.
Adik-adik, itu bukanlah cinta tetapi nafsu kerana Islam tidak pernah menggariskan kesemua yang adik-adik sangkakan cinta itu sebagai definisinya. Di dalam Islam cinta itu yang dapat memberi kita ketenangan bukan kekalutan kecelaruan! Bahkan kekalutan dan perasaan menggila sebegitulah yang membawa kecelakaan menghalang manusia daripada berfikir secara waras dan hanya mengikut telunjuk nafsu.
Di dalam surah  Allah berfirman yang artinya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (QS.Ar-Ruum [30]:21)
Ayat ini secara jelas membuktikan kasih-sayang yang dijanjikan Allah dengan cara yang diberkati hanyalah kepada satu bentuk hubungan suami isteri secara sah yang mana dijanjikan perasaan tenteram di dalamnya dan bukanlah ‘cinta agung’ yang adik-adik laungkan di alam remaja sekarang. Bukan juga ‘cinta monyet’ yang adik-adik pandang sebagai tiada membawa apa-apa kesan walhal boleh merubah seluruh hidup adik-adik kepada ke kancah kehinaan. 
Matlamat Zaman Remaja
Zaman remaja merupakan zaman yang mana jiwa muda sedang mula ‘terbakar’ dalam menancap erti kehidupan. Dengan kekuatan semangat yang ada, salurlah kekuatan jiwa dan kegilaan yang merenggut segala kapilari darah di dalam diri kita kepada ilmu. Ilmu itu fitrahnya bersih dan jiwa yang kotor ternoda oleh nafsu tak dapat ditakungi ilmu.
Cinta manusia yang kamu cari, adik-adikku sayang akan datang, bila tiba masanya, dan ketika itu ia akan datang dalam bentuk ketenteraman persis janjian Tuhan jika sekarang kamu memusatkan kejernihan hatimu kepada ilmu dan tarbiahNya. Wallahu’alam.

0 komentar:

Catat Ulasan

 
Powered by Blogger