02 Jun 2009

Belia Remaja Berwawasan Penggerak Kejayaan

Mereka belia harapan ummah

“Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan”, begitulah tema Hari Belia tahun ini. Belia seperti yang ditakrifkan oleh Kementerian Belia dan Sukan ialah golongan yang berusia antara 15 hingga 40 tahun. Definisi ini selaras dengan dengan takrif yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Di dalam Islam, belia ditakrifkan ketika mencapai umur baligh. Al-Quran mengungkapkan belia sebagai ‘fityah’ merujuk generasi al-Kahfi. Manakala di dalam hadis disebut sebagai ‘syabbun’ atau ‘syabab’ yang diinterpretasikan sebagai pemuda.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia hingga akhir tahun 2008, didapati jumlah belia Malaysia ialah 16 juta orang. Angka ini memberikan maksud dan makna bahawa belia merupakan aset berharga bagi negara dan umat. Kepedulian negara terhadap pembangunan belia menunjukkan keseriusan kita melihat bakal pewaris kepimpinan negara pada masa depan. Apatah lagi gerakan Islam dan NGO dakwah harus menyediakan pelan induk pembangunan belia atau modul-modul peningkatan diri samada bersifat soft skills atau hard skills bagi mengisi ruang-ruang menyiapkan mereka untuk mengepalai tampuk pemerintahan negara dan umat.

Hari ini para belia diberikan satu tasawwur dan imej negatif. Belia seringkali dikaitkan dengan isu-isu keruntuhan moral, budaya hedonistik, kecelaruan identiti, pengangguran dan penyimpangan hidup. Ditambah pula dengan pengaruh serangan siber terhadap identiti dan pemikiran para belia sehingga mereka hilang dan rapuh daya ketahanan diri. Pelbagai gelaran diberikan sepert “Mat Rempit”, “Mat Gian”, “Samseng Jalanan”, “bohsia”, “bohjan”, “kaki lepak” dan sebagainya. Ini memberikan gambaran buruk terhadap masa depan negara dan umat. Ia juga sekaligus menyaksikan kegagalan kita dalam mengangkat martabat dan harakat generasi belia.

Sebenarnya para belia di sepanjang perjalanan sejarah telah merakamkan pelbagai sumbangan dan kejayaan apabila ia memiliki hamasah syabab (semangat kepemudaan) disulami dengan keimanan dan keilmuan. Merekalah perwira dan tokoh yang memimpin pelbagai perubahan samada dari sejarah Islam mahupun sejarah barat.

Tokoh-tokoh besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Uthman bin Affan, Usamah bin Zaid, Umar bin Abd. Aziz, Uqbah bin Nafi’, dan Qutaibah al-Baakhily adalah sebahagian daripada generasi belia silam. Semangat dan ruh mereka meresap ke dalam jiwa Salahuddin al-Ayyubi, Muhammad al-Fateh yang membuka kota Konstantinople dan Sang Mujaddid abad ke-21 Al-Imam Hasan Al-Banna serta para pemuda lain selepasnya.

Belia juga telah membuktikan merekalah di barisan hadapan dalam setiap pertempuran perang dan di perbatasan perajurit di medan-medan jihad. Medan Badar, Uhud dan Khandak menjadi saksi sejarah keperwiraan mereka. Dalam abad kini, para belia dari Ikhwan telah terlibat dalam perang menentang Israel, meruntuh rejim tirani di Indonesia, bangkit menolak normalisasi dengan Yahudi di Jordan dan terkini mempertahankan bumi Ghazzah dari penjajah Israel.

Tidak lupa juga sekalung tahniah kepada para belia di Malaysia yang menjayakan himpunan 10,000 orang di Rapat Umum “Save Gaza” dan 3000 orang lagi di Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis. Sesungguhnya belia mempunyai masa depan cemerlang bagi menggerakkan kejayaan dengan syarat mereka memiliki thinking capability (keupayaan berfikir), self-development (pembangunan kendiri) dan keupayaan melakukan inovasi dan kreativiti. Di samping itu para belia juga perlu disuntik dengan kekuatan iman, penguasaan ilmu serta latihan kepemimpinan.

Imam Hasan Al-Banna menyebut rahsia kekuatan belia sebagai pelopor kebangkitan umat pada ciri-ciri berikut:

1. Kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat sebarang kelemahan.

2. Kesetian sejati yang tidak mengenal erti kompromi dan pembelotan.

3. Pengorbanan agung yang tidak mengenal erti tamak dan kedekut.

4. Memahami prinsip, menyakininya dan menghormatinya.



Antara pemuda-pemuda ulung dalam sejarah:-

Sultan Muhammad Al-Fateh yang membuka Konstantinopel pada umur 20an

Hassan Al Banna pada umur 22 tahun telah menubuhkan Ikhwanul Muslimin yang kini menjadi satu role model kepada gerakan-gerakan Islam seluruh dunia


Semoga kita dapat meneladani dan menyelusuri ibrah kisah pemuda al-Kahfi berdepan sang raja zalim bernama Daqyanus, menggali sejarah keperwiraan dan kepahlawanan pemuda generasi al-Quran, menyanjung ketabahan generasi Ghazzah. Semunya bermula dengan belia dan pemuda kerana mereka tunggak kepada sesebuah negara.Hanya dengan menyediakan metodologi pendidikan berkesan dan perancangan pembangunan belia, kita mampu memunculkan mereka di pentas dunia sebagaimana kita membaca kisah pemuda al-Kahfi biarpun ditelan zaman, di sepanjang sejarah dan di seantero dunia, dulu, kini dan selama-lamanya.

0 komentar:

Catat Ulasan

 
Powered by Blogger