30 Disember 2009

Doa Ummi dan Abi Sumber Inspirasi Kejayaan

Fidak Result

Menjaga hubungan dengan Allah Taala dan ibu bapa adalah sangat penting dalam memastikan kesinambungan kejayaan kita berpaksikan keredhaan Allah Taala. Pencapaian cemerlang Ahmad Fidak bin Mohd Rusdi mendapat 8 A 1B ketika keputusan PMR diumum Khamis lalu menjadikan beliau antara pelajar lelaki terbaik di kalangan ahli Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam & Klang yang lain.

Menurut bapanya, Mohd Rusdi, Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pusat, keutamaan di dalam pendidikan ruhaniah dijadikan sebagai batu asas di dalam sistem pentarbiyyahan (latihan/ pendidikan) keluarga beliau. Dengan asas itu, beliau mahu anak-anaknya berjaya tidak kira apa jua bidang yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Ini adalah amat penting dalam misi membina insan yang ‘rabbani’ dan ‘kamil’ apetah lagi senario semasa sekarang amat mendesak dan membimbangkan.

Ikuti wawancara penuh saudara Ahmad Fida’ bersama wartawan ISMA Shah Alam, Azril Hanafi, yang berkesempatan mendengar sendiri rahsia dan tips di sebalik kejayaan beliau.
[W]wartawan
[F]Ahmad Fidak

[W] – Boleh saudara ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang peribadi, keluarga dan pendidikan ?
[F] – Alhamdulillah, kini usia saya mencecah 15 tahun. Berasal daripada keluarga yang sederhana dan merupakan anak sulung daripada 8 adik-beradik . Ibu dan bapa saya bekerja sebagai guru.Setelah tamat Peperiksaan Menengah Rendah yang lepas, saya sudah memulakan pembelajaran di Maahad Tahfiz al-Munawwarah di Seksyen 13. InsyaAllah fokus untuk hafiz al-Quran dalam masa setahun ini.

[W] – Bagaimana rutin harian saudara ketika hari persekolahan ?
[F] – Tiada apa yang istimewa dengan rutin harian saya. Cumanya, saya berusaha untuk tidur lebih awal dan bangun awal di pagi hari berqiamullail sementara menunggu solat Subuh. Seusai solat Subuh, dengan suasana pagi yang cukup segar ini saya mengambil peluang untuk menelaah sebelum ke sekolah dan dengan rutin sebegini memastikan saya senantiasa dalam keadaan bersedia dan bukan tergopoh-gapah di akhir waktu.
Di samping itu, saya dan rakan-rakan sekolah akan membaca surah Yasin setiap hari pada waktu malam selepas solat.

Saya sangat menitik-beratkan soal hubungan dengan Allah Taala di mana dengan amalan-amalan Sunnah seperti berqiamullail, membaca al-Quran dan ber’iktikaf di Masjid menjadi amalan kebiasaan bagi saya. Ini adalah sangat penting untuk memastikan setiap apa yang kita lakukan senantiasa mendapat redha Allah Taala.

Saya juga selalu menjaga hubungan dengan kawan-kawan tidak kira di sekolah mahupun di rumah. Adalah amat penting menjaga hati kawan daripada berasa hati supaya kita akan selalu disenangi. Jika ada mana-mana subjek yang saya boleh bantu, saya akan usaha membantu sebaik mungkin manakala jika ada mana-mana subjek yang saya lemah saya akan merujuk kepada mereka yang lebih menguasai bidang tersebut. Dengan kaedah berkongsi ini akan menjadikan ilmu yang kita timba diberkati Allah Taala.

DSC_0844

[W] – Selama saya mengenali saudara, anda sangat aktif dengan bidang kokurikulum selain aktiviti akademik. Boleh saudara perincikan ?
[F] - Benar, saya sangat aktif selain urusan akademik. Beriadah di waktu petang sudah menjadi kewajiban kepada saya. Apetah lagi saya amat meminati sukan ping-pong. Saya juga merupakan Ketua Umum di sekolah bagi seisi 2009 selain Pengerusi kepada Kelab Nasyid Sekolah. Terlibat aktif dengan program dan kem anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) juga menjadi sebahagian daripada penggerak program anjuran mereka.

[W] - Siapakah pendorong utama dan motivasi terbesar disebalik kejayaan saudara ini ?
[F] – Tidak kira di mana-mana pun, bapa selalu memberikan kata-kata motivasi yang menyemarakkan semangat saya untuk berjaya dalam apa jua bidang sekalipun. Kasih sayang ibu menjadikan saya mampu untuk mengharungi arus tekanan dalam menyiapkan diri menghadapi peperiksaan. Ibu dan bapa juga selalu mendoakan kejayaan saya dan saya rasa inilah resepi utama kejayaan di mana restu ibu dan bapa itu diletakkan di hadapan, tanpa mereka siapalah saya. Selain itu, sepanjang hari peperiksaan, hampir setiap hari nenek saya akan mendoakan ketenangan hati dan dipermudahkan menjawab soalan-soalan peperiksaan.

[W] Cukup mengujakan, pada umur seperti saudara telah disibukkan dengan pelbagai aktiviti selain urusan pembelajaran berbanding dengan rakan-rakan yang lain. Jadi, apakah rahsia saudara dalam mengimbangkan masa antara belajar dan kokurikulum ?
[F] – Saya merasakan, ‘bertangguh itu lenguh’. Setiap tugasan yang diberi, tidak kira akademik mahupun kokurikulum, saya akan langsaikan secepat mungkin. Dengan tidak menangguhkan urusan sebegini, saya dapat fokus kepada urusan lain yang lebih penting untuk memastikan penggunaan masa saya adalah sebaik mungkin. Kebiasaannya, siang saya dipenuhi dengan aktiviti persekolahan dan kokurikulum manakala, malamnya saya akan fokus kepada mengulang-kaji pelajaran.
[W] – Masyarakat sering melihat bahawa kebanyakan pelajar beraliran agama tidak mampu cemerlang seperti pelajar di sekolah kebangsaan. Adakah anda bersetuju dengan penyataan ini ?
[F] – Saya tidak merasakan begitu. Soalan kecemerlangan jugak berkait rapat dengan individu itu sendiri. Ramai juga tidak kira sekolah beraliran mana sekalipun yang tidak serius dalam soal pembelajaran dan ada juga yang hanya fokus dalam satu-satu bidang sahaja. Sepatutnya kita haruslah mempunyai impian yang besar dan bukan hanya melakukan sesuatu perkara itu sekadarnya sahaja.

[W] – Apakah impian atau cita-cita saudara ?
[F] – Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ulama’ dan pendakwah yang serba boleh. Selain itu, saya juga amat meminati untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

[W] - Sebagai akhir kata, apakah pesanan atau nasihat yang ingin saudara sampaikan kepada pembaca dan yang bakal menduduki peperiksaan tahun mendatang?
[F] - Saya ingin berpesan kepada diri saya dan pembaca terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan nanti, selain ’study hard’ dan ’study smart’ kita juga mestilah menjaga hubungan dengan Allah Taala, ibadah-ibadah khusus dan tidak dilupakan qiamullail di sepertiga malam. Eratkan hubungan kita dengan ibu bapa dan perkukuhkan lagi hubungan kita dengan rakan taulan kerana mereka, insyaAllah kita akan mencipta kejayaan.

DSC_0846

Oleh,

Azril Hanafi b Abdullah Sharwani
Wartawan
ISMA Shah Alam & Klang
www.ismashahalam.net

0 komentar:

Catat Ulasan

 
Powered by Blogger