29 April 2009

Jambori Remaja Muslim 2009



Kelab Remaja ISMA (KRIM) akan mengadakan
Jambori Remaja Muslim
yang mana akan disertai oleh peserta dari seluruh negara.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik seperti mendaki gunung,
war game dan sebagainya.

Lokasi : Ulu Bendul, Negeri Sembilan

Tarikh : 6-9 Jun 2009 (Cuti Persekolahan)

Yuran : RM 70

Tempat adalah terhad bagi kawasan

Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam Klang

untuk pengetahuan lanjut, sila hubungi :-


Cikgu Hardi : 0192039390
Abu Aiman: 0192392274
Danial: 0139992032

DAFTAR SEGERA!!!
[Ayuh kita gegarkan Negeri Sembilan]

19 April 2009

SKIL membentuk Kepimpinan dan Intelektual


Bertempat di Dewan Seminar SAMTTAJ Shah Alam, 18 April 2009, Pembina Shah Alam telah menganjurkan program Jom Bina SKIL siri 1 yang mana telah disertai kebanyakan dari golongan belia dan beliawanis. Mereka kebanyakan terdiri daripada penuntut universiti sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur. Kelab Remaja ISMA Shah Alam juga telah menghantar beberapa wakilnya yang terdiri daripada lepasan SPM dan pelajar sekolah untuk menghadiri program ini.

Program tersebut telah bermula pada pukul 9 pagi dengan dirasmikan oleh pengarah program iaitu Saudara Shahrizan yang mana beliau telah merungkai persoalan siapakah belia yang sebenarnya dan tujuan program ini diadakan. Setelah itu, forum berkenaan "Apakah Peranan Belia Dalam Masyarakat" yang dikelolakan oleh Saudara Hakim Bahaman merangkap sebagai moderator bagi forum tersebut.


Saudara Alwi dengan keyakinannya yang tiada tandingan


YDP ISMA Shah Alam Klang sedang menggegarkan dewan

Kemudian, program SKIL dimeriahkan lagi dengan penampilan Saudara Zul Alwi sebagai pemangkin kepada peserta dalam bagaimanakah untuk kita mengenali potensi diri.

Pada penghujung program, Panduan Kerja Dalam Organisasi juga telah dibentangkan oleh Dr Amiruddin Wahab dalam usaha memantapkan lagi gerak kerja ahli dan sukarelawan KRIM dan PEMBINA dalam berorganisasi secara lebih mantap dan lebih licin.

Untuk SKIL yang akan datang, pihak PEMBINA akan mengadakan lagi siri-siri lain khusus untuk melatih dalam bidang-bidang tertentu seperti public speaking, pidato, menulis, fotografi dan sebagainya. yang dapat melatih peserta untuk pertingkatkan lagi kemahiran dan bakat terpendam yang dalam diri-diri peserta. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://pembinaselangor.com/

15 April 2009

Kita Pemuda Kahfi Itu


Ketika alam mula gersang dari pancaran Nur Ilahi yang di bawa oleh para Rasul dan anbiya, peradaban manusia pula semakin jatuh ke darjah kebinatangan, dibangkitkan lagi buat kali terakhirnya seorang Utusan yang membawa rahmat untuk semua. Di celah keributan akhlak dan budaya jahiliyah di sekitar pusat graviti bumi bernama Mekah lahirnya Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam Rasul Agung. Proses tarbiyah yang berasaskan tauhid ini akhirnya telah berjaya mengubah sebuah masyarakat Arab yang jahil kepada sebuah bangsa yang mampu menguasai Rom dan Parsi. Ini semua tidak akan dapat berlaku melainkan dengan usaha para pendakwah Islam yang telah berusaha menyampaikan cahaya Islam yang memberi ketenangan kepada seluruh umat Islam.

Tidak kurang hebatnya pada zaman mereka pemuda kahfi sepertimana yang telah diceritakan Allah dalam kitabnya berbunyi:-

"Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.Dan Kami telah meneguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.Kaum kami telah menjadikan selain Dia tuhan-tuhan (untuk disembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?[ Al-Kahf:13-15]

Diselebungi kesesatan nyata, kegelapan jahiliyah, keterpesongan akidah dikalangan masyarakat pemuda-pemuda tersebut amatlah hebat. Akan tetapi, mereka sedar fitrah kemanusiaan yang terdapat dalam jiwa sanubari mereka itu hanya dapat menolak akan tipu helah dunia yang seolah-olah tidak menepati dengan fitrah kejiwaan seseorang manusia.


Bagaimana dengan kita sebagai pemuda zaman kini?Ini zaman yang dipenuhi dengan cabaran dan penuh tipu helah. Bahkan,ia lebih hebat daripada yang terdapat pada zaman Rasullulah dan orang-orang soleh yang terdahulu.Tidak dapat disangkal,mereka telah melalui rintangan yang lebih perit daripada kita secara fizikal dan mental.Akan tetapi zaman ini telah mengubah dunia yang luas ini menjadi sempit,yang baik itu buruk dan sebaliknya.Kita hidup dalam gerigi besi penjara yang dibina dari kepulauan Jepun sehingga merentasi berbagai-bagai benua dan sampai ke negara Uncle Sam.Pemuda-pemuda seperti kita dirobek akal pemikiran menjadikan kita seperti anjing yang tidak membawa manfaat sekalipun di pandangan musuh-musuh ISLAM.Alangkah hinanya.

Formulanya terletak pada diri kita sendiri kerana Allah tidak mengubah sesuatu perkara melainkan kita yang mengusahakannya bukan?Pemuda hari ini perlu tulus dalam mencari kebenaran Islam yang syumul.Untuk itu,tarbiyah Islam seperti usrah dapat membimbing kita di samping perlunya pada keberanian bersikap optimistik dan harus berani menghadapi risiko dalam mencari kebenaran.Dengan kebenaran yang agung ini,kita bakal menyinari dunia ini khususnya tanah air Malaysia ini dengan cahaya yang lebih terang dari matahari sepertimana yang dilakukan pada era Sahabat dan ashabul Kahfi dalam mempertahankan iman mereka.

Bersama-samalah kita menjadi pemuda-pemudi kahfi alaf ini.

Disediakan oleh: JK Media KRIM Shah Alam Klang

05 April 2009

Kami Membina Kekuatan




Bertempat di Seksyen 7 Shah Alam pada tarikh 3 Mei bersamaan hari Ahad, telah diadakan program riadah bolasepak. Program ini yang telah disertai ikhwah dari pihak ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia), PEMBINA (Persatuan Belia Islam Nasional) dan KRIM (Kelab Remaja ISMA) adalah amat menggalakkan. Untuk pengetahuan pembaca, program riadah merupakan antara program mingguan yang diadakan oleh pihak ISMA, PEMBINA serta KRIM bertujuan untuk mengeratkan ahli serta merapatkan lagi ukhuwah dengan masyarakat setempat. Dalam program riadah ini juga, sedikit santapan rohani juga dibekalkan kepada peserta agar sentiasa terisi hati-hati ini dikala apa jua masa sekalipun termasuk ketika beriadah ataupun sebagainya


Dalam pada masa yang sama, program riadah ini bertujuan meningkatkan lagi tahap kecergasan fizikal kerana dek kesibukan pekerjaan serta pembelajaran persekolahan. Ini kerana kekuatan jasmani (qowiyyul jismi) merupakan salah satu sisi peribadi muslim yang harus ada. Kekuatan jasmani berarti seorang muslim memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara optimal dengan fisiknya yang kuat. Selain dari permainan dan sukan,solat,puasa, zakat dan haji merupakan amalan di dalam Islam yang harus dilaksanakan dengan fizik yang sehat atau kuat, apalagi perang di jalan Allah dan bentuk-bentuk perjuangan lainnya. Oleh kerana itu, kesihatan jasmani harus mendapat perhatian seorang muslim dan pencegahan dari penyakit jauh lebih utama daripada pengubatan. Meskipun demikian, sakit tetap kita anggap sebagai sesuatu yang wajar bila hal itu kadang-kadang terjadi, dan jangan sampai seorang muslim sakit-sakitan. Kerana kekuatan jasmani juga termasuk yang penting.


maka Rasulullah Saw bersabda yang ertinya:

'Mu'min yang kuat lebih aku cintai daripada mu'min yang lemah' (HR. Muslim).


warming up

menguyah sedikit santapan daripada Ust Sulaiman


03 April 2009

Al-Quran Sumber Hiburan Remaja Daie


Wahyu Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan kepada Rasulullah saw. Kalam al-Quran adalah kalam yang lembut menyentuh sanubari, keras meragut kesedaran dan mantap memberi panduan dan galakan semangat. Rasulullah mendapat bimbingan terus daripada Allah swt.

Sepanjang perjalanan dakwah baginda, hanya satu sumber ketenangan yang sentiasa bertiup ke dalam hati baginda. Itulah bimbingan motivasi dari Pengutus Rasul-rasul ke muka bumi, Allah Azza wa Jalla. Lupakah kita tadabbur surah yang seringkali kita lafazkan diwaktu solat fardhu? Seakan-akan kita lupa pada lembutnya sapaan Tuhan pada rasulNya ketika turunya wahyu ini.

Demi waktu Dhuha. dan demi malam apabila telah sunyi (gelap),Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu. Dan Sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan).Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu , lalu (hati) kamu menjadi puas.
Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu? Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan. Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu Berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya. Dan terhadap nikmat Tuhanmu, Maka hendaklah kamu siarkan (ad-Dhuha).


Maha Tinggi Allah yang sentiasa memberikan ketenangan kepada baginda saw dalam kehidupannya. Akan tetapi bagi kita yang menyahut seruan dakwah dan menggelari diri sendiri dengan gelaran daie, apakah wahyu Allah ini menjadi sumber ketenangan kita. Adakah sumber lain yang menjadi mainan halwa telinga kita untuk menghiburkan jiwa rona dan lampias perasaan?

Alangkah ajaib, apabila mereka yang mengakui mengikuti dakwah Islamiah, mengutamakan hiburan duniawi lebih dari kalam Allah yang agung. Bukan sedikit hiburan dan irama nasyid yang berkumandang di corong computer yang mengalunkan lagu yang tidak jelas mesejnya, hanya sahaja ia digelari nasyid. Ungkapan ini adalah nasyid seolah-olah alasan tangkap-muat untuk justifikasi hiburan yang tidak melihat pada mesejnya, tapi sejauh mana munshidin mengalunkan suara pada vocal-vokal tertentu, sehebat mana paduan harmoni latar dan sebagainya.

Bukanlah Islam itu datang untuk mengharamkan perkara yang halal, cumanya mereka yang inginkan ketinggian di mata Allah swt pasti menghadkan perkara-perkara harus yang boleh menjerumuskan kepada kelalaian. Tidak terfikirkan kita pada kata-kata;
“Sesiapa yang inginkan darjat tertinggi di syurga, dia hendaklah berada di darjat yang tinggi dalam kehidupan dunia” (al-Muntalaq)

Lupakah kita pada al-Quran, kalam Allah yang sentiasa dijaga tahun demi tahun? Yang mana pencipta liriknya tidak pernah futur, susunan bahasanya indah mengkagumkan hatta mereka yang tidak memahaminya?

Ingatkan kita pada hadith dari al-Mustafa tentang kalamullah ini;
“Bacalah Quran dan menangislah. Jika kalian tidak boleh menangis, maka usahakanlah untuk menangis” (dr Saad ibn Waqqash , hadith dalam al-Lulu wal Marjan)

Khusuk ketika membaca al-Quran adalah cita-cita bagi setiap daie. Memang sukar untuk melaksanakannya, akan tetapi pengalaman berdakwahlah resepi utama kejayaan untuk khusu’ dalam sembahyang dan juga dalam mentadabbur al-Quran. Al-Quran ini jika diturunkan pada makhluk Allah yang lain, pasti akan leburlah ia kerana khusu’ dan takut pada Allah. Wahai daie serata dunia, renungkanlah ayat surah al-Hasyr ini! Jadilah gunung-gunung itu, kuat dan pasak pada bumi, tapi ,lebur tika takut pada PenciptaNya! Alangkah indah menjadi gunung!

Lihatlah pada ahli kitab yang beriman ketika mana mereka menghayati al-Quran;

(83) dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu Lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Quran) yang telah mereka ketahui (dari Kitab-Kitab mereka sendiri); seraya berkata: "Ya Tuhan Kami, Kami telah beriman, Maka catatlah Kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Quran dan kenabian Muhammad s.a.w.).
(84) mengapa Kami tidak akan beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada Kami, Padahal Kami sangat ingin agar Tuhan Kami memasukkan Kami ke dalam golongan orang-orang yang saleh ?".

Al-Imam al-Ghazali berkata; Cara memaksakan diri untuk menangis ialah menghadirkan kesedihan ke dalam hati, kerana dari kesedihan inilah akan munculnya tangis. Rasulullah saw bersabda;
“Sesungguhnya al-Quran itu turun dengan kesedihan. Jika kalian membacanya, maka paksakanlah untuk bersedih” (dr Abu Nuaim)

Adakah lagi sebarang keraguan untuk menjadikan al-Quran sebagai peneman kita di mana sahaja kita berada? Adakah ada hiburan lain yang lebih hebat dari hiburan yang diturunkan untuk menenteramkan manusia dari Allah swt. Apakah ada yang bergelar daie masih berasa bosan mendengar bacaan al-Quran dan menyukai hiburan-hiburan lain sedang mereka berbaiah “al-Quran itu penunjuk kami”.

Apakah masih ada yang mahu beralasan
“kami tidak faham bahasa arab lantas ia tidak meresap dalam jiwa kami, dan kami lebih suka hiburan yang lain”.

Maka oleh itu usahalah untuk mendengar ayat-ayatNya selalu. Latihlah setiap ketika, untuk selalu mendengar ayat-ayatNya. Bagaimana kita harapkan mampu khusu’ mendengarkan al-Quran apabila yang tercurah di telinga saban ketika hanyalah lagu-lagu lain. Mana mungkin mampu penghayatan jika hati-hati kita dibuai hiburan-hiburan lain?
Al-Quran adalah sumber asli untuk para daie. Biasakanlah hidup bersama al-Quran, nescaya jika anda hidup bersamanya, nikmat manisnya tidak terucap biar dengan ribuan kata-kata dan metafora.
Wallahu ‘alam.

Rujukan :
Al-Quran Al-Karim
Bagaimana Berinteraksi dengan Al-Quran (Dr Yusuf al-Qaradawi)
http://ismashahalam.blogspot.com

 
Powered by Blogger