21 Februari 2011

Rasulullah Di Alam Remaja


Terpelihara dari Keseronokan Dunia

Rasulullah telah dipelihara oleh Allah daripada segala perlakuan muda mudi yang menyeleweng dan tidak berfaedah. Nabi pernah bersabda mengisahkan tentang dirinya dalam riwayat Ibn al-Athir:

"Aku tidak pernah berkeinginan kepada sesuatu yang dilakukan oleh orang jahiliyyah kecuali dua kali. Semuanya itu dihalang oleh Allah antaraku dan keinginanku itu. Setelah itu aku tidak lagi berkeinginan kepadanya sehinggalah Allah memuliakan aku dengan melantik sebagai rasul-Nya. Pada suatu malam aku berkata kepada seorang budak yang sama-sama mengembala kambing denganku di tempat tinggi di Mekah: Bolehkah kamu tolong tengok-tengokkan kambingku supaya dapat aku pergi ke Mekah dan berhibur di situ sebagaimana anak-anak muda yang lain? Budak itu menjawab: Baiklah, aku akan lakukan. Lalu aku pun keluar sehingga apabila sampai ke rumah pertama di Mekah, aku mendengar bunyi-bunyian. Aku pun bertanya: Apakah ini? Mereka menjawab: Inilah perkahwinan si fulan dengan si fulanah. Lalu aku pun tumpang mendengar. Tiba-tiba Allah menutup pendengaranku sehingga membuat aku tertidur. Aku hanya terjaga apabila dikejutkan oleh panas matahari. Lalu aku kembali kepada sahabatku. Dia pun bertanya kepadaku dan aku memberitahu apa yang terjadi. Pada malam yang lain aku berkata seumpama itu juga kepada sahabatku. Lalu aku masuk ke Mekah dan berlakulah kepadaku seperti yang berlaku pada malam pertama. Setelah itu aku langsung tidak berkeinginan terhadap perkara buruk."



Bersungguh-sungguh Mencari Rezeki

Diriwayatkan secara sahih bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah bekerja pada awal hidupnya sebagai pengembala kambing. Dalam hadith sahih riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a., Baginda pernah bersabda:

"Aku pernah mengembala kambing untuk penduduk Mekah dengan upah beberapa qirath."



Pergantungan Hanya kepada Allah Taala

Sejak permulaan lagi kehidupan Rasulullah dipenuhi dengan ujian yang banyak. Sesungguhnya Allah ingin agar hati Nabi s.a.w. tidak bergantung selain hanya kepada-Nya. Tidak kepada bonda, ayahanda, datuk bapa saudara mahupun tidak kepada harta, kekuasaaan dan kepada selainNya. Lantaran pergantungan sebegini merupakan antara elemen penting dalam pembinaan jatidiri Rasulullah. Sehingga Baginda tidak akan berkata: "Ayah... ayah." Namun baginda berkata: "Tuhanku... Tuhanku."



Peperangan Fijar

Rasulullah telah menunjukkan keperibadianan yang berani sejak remaja lagi. Semasa umur Baginda s.a.w. 15 tahun terjadi Peperangan Fijar iaitu peperangan antara orang Quraish dan sekutu-sekutu mereka dengan Qays bn 'Aylan. Dalam peperangan ini, Rasulullah s.a.w. turut serta dan berperanan membekalkan anak panah kepada bapa-bapa saudaranya, iaitu mempersiapkan untuk mereka anak-anak panah untuk dipanah. [ Ibn Hisham ]



Rujukan:
1. Asas-Asas Islam, Dr. Ali Laban, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
2. Raheeq Makhtum, Safiyyu Ar-Rahman Al-Mubarakfuri, YADIM.
3. Fiqh Sirah, Muhammad al-Ghazali, Pustaka Salam.

0 komentar:

Catat Ulasan

 
Powered by Blogger