13 Februari 2011

Remaja Harapan Bangsa


Generasi yang kita kasihi

Saban hari di dada akhbar, berita tentang salah laku dan jenayah adalah suatu hal yang tidak asing lagi bagi kita. Apabila tidak mendengar berita-berita ini, mungkin dunia akan berasa pelik kerana seolah-olah ia menjadi aman dari hal-hal yang jelik seperti itu. Melihatkan situasi ini, yang digusarkan kita adalah generasi yang kita impikan sebagai pemimpin di masa hadapan. Tanpa sebarang tindakan, mereka ini pasti akan hanyut dibawa arus deras globalisasi yang tidak mengenal sesiapapun.

Kalaulah generasi remaja dan anak muda kita hari ini asyik leka dan sibuk dengan hal-hal yang tidak mematangkan pemikiran mereka, menjauhkan mereka daripada Islam, dan memperbudakkan akal mereka, maka jenis pemimpin apakah yang negara dan bangsa ini akan dapatkan? Alasan untuk memberi mereka ruang dan nanti akan berubah apabila dewasa saya kira tidak relevan lagi. Kerana generasi-generasi ini yang saya perhatikan sedari remaja kini telah dewasa tidak menunjukkan bibit-bibit kedewasaan dan kematangan, bahkan menjadi lebih teruk hari ke hari.

Ibrah dari sirah

Siapa lagi yang akan membantu generasi ini? Siapa lagi yang mahu menumpukan fokusnya kepada pembaikan generasi-generasi ini? Janji kemenangan yang disebut dalam hadith baginda nabi SAW tidak akan terjadi secara tiba-tiba. Tidak pula ia berlaku dengan penuh keajaiban, semena-mena dari langit turunnya. Bahkan, Muhammad al-Fateh ketika berumur 18 tahun sudah menaiki takhta kerajaan Uthmaniyyah, tetap melakukan perancangan demi perancangan, strategi demi strategi untuk memastikan kejatuhan Konstantinopel kepada Islam. Iya, realisasi dengan usaha, Islam bukan agama pari-pari yang percaya kepada magis dan sihir. Bantuan Allah adalah kerana kemurahan dan kehendak-Nya, sesuai dengan usaha yang dilakukan oleh hamba-Nya.

Mungkin kita perlu disentak dan diingat kembali tentang peristiwa Khandaq di mana ummat Islam ketika itu berada di suatu peperangan yang menyebabkan mereka tersekat dan disekat dari segala penjuru sehingga kemungkinan untuk kemenangan itu tidak jelas pada pandangan waras akal manusia ketika itu.

“Ketika mereka datang kepada kamu dari atas dan dari bawah, dan ketika pandangan telah suram, dan hati telah naik sampai kekerongkongan. Dan ketika itu kamu berprasangka kepada Allah dengan prasangka yang salah. Di kala itu orang-orang beriman mendapat ujian dan perasaan mereka digoncang dengan goncangan yang hebat”. (QS:Al-Ahzab:10-11)

setelah keadaan sebegini teruk, sebegitu dahsyat, barulah Allah turunkan bantuannya kepada ummat Islam. Itupun setelah mereka berusaha dengan penuh gigih, ditekan-tekan musuh dari dalam dan luar, ketika itulah Allah berkenan untuk permudahkan hamba-Nya. Tidak lain hanya menguji kebergantungan mereka kepada Allah.

Bererti, keadaan ummat dan generasi remaja kita hari ini tidak mungkin akan berubah secara automatik, tidak mungkin akan membaik secara tiba-tiba, melainkan ada usaha kepadanya, melainkan ada golongan yang bekerja untuk memperbaiki keadaan mereka. Dalam membawa dakwah ini kepada fasa infitah, maka remaja tidak dapat tidak turut termasuk dalam golongan sasaran pembaikan. Maka pemfokusan khusus kepada golongan ini adalah perlu dan ianya perlu juga kepada susunan yang teratur.

Ke mana dengan generasi remaja?

Dakwah kepada remaja merupakan suatu usaha yang sangat penting dan berimpak tinggi kerana remaja pada usia ini berada pada fasa ia mencari identitinya. Maka kita akan melihat remaja dengan pelbagai ragam dan bentuk pemakaian. Mereka ini umpama singa lapar yang menerkam apa sahaja yang bergerak dan boleh diratah. Mereka mencuba sehinggakan mereka lupa di mana had dan limitasi percubaan mereka. Maka, mereka memerlukan kepada suatu ikutan atau qudwah daripada mereka yang mampu untuk memimpin dan menjinakkan mereka.

Mereka perlu difahamkan mengapa kita perlu kembali kepada Islam. Mereka perlu disedarkan bahawa kemuliaan yang sebenar hanya dengan Islam. Mereka perlu difahamkan bahawa masa depan ummah akan dipikul mereka tidak lain hanya dengan membawa nama Islam. Mereka perlu diberitahu dan difahamkan bahawa di luar sana, musuh Allah telah berpakat untuk merosakkan wacana dan citra ummat Islam dengan pelbagai mehnah dan anasir. Usaha membersih jahiliyyah dari jiwa bukan suatu hal yang mudah dan singkat, namun tidak mustahil.

Setelah jahiliyyah itu dirobohkan, maka tiada berlengah lagilah para du’at melainkan dengan membangunkan Islam di dalam jiwa mereka. Seterusnya membentuk peribadi dan pemikiran yang berpaksikan Islam semata. Di sini, bimbingan dan tunjuk ajar untuk mendidik para remaja melihat sesuatu dengan kaca mata Islam adalah suatu kebutuhan yang penting.

Pada fasa-fasa ini, syaitan akan menyerang dan cuba menyelit jarum-jarumnya agar mereka kembali semula kepada jalan gelap yang mereka sedang tinggalkan. Akan terdengarlah panggilan-panggilan sumbang, suara-suara nyaring yang mengilukan menyeru kepada kembalinya ke jalan yang kotor itu. Maka mu’ayasyah para du’at dalam bentuk ukhwah, jaulah, rehlah, perkongsian, riadhah dan lain-lain akan membantu generasi remaja ini untuk terus dan tetap tsabat di jalan tarbiyyah.

Al-akh itu dikenali daripada fikrah yang dibawanya, seterusnya terjemahan tarbiyyah dalam kehidupannya, dan kemudian kata-katanya sebagai dakwah kepada Allah SWT. Di sebalik sifat-sifat yang menghiasi peribadi al-akh ini, dia adalah orang biasa, bukan maksum dan tidak pula terkecuali daripada melakukan kesilapan. Namun, peribadi-peribadi ini sudah cukup untuk membezakan mereka daripada orang lain. Maka, kenalilah dan raikanlah tabi’e mad’u anda ataupun para remaja ini. Pastinya mereka bukan jenis yang duduk sahaja mendengar dengan khusyuk.

siapa lagi kalau bukan kita?

Di akhirnya, kita fahami dan jelas bahawa generasi remaja inilah pewaris dakwah kita. Maka mereka bukanlah generasi yang kita perlu tunggu dewasa untuk dibentuk dan dididik dengan tarbiyyah Islamiyyah, tetapi dari sekaranglah mereka perlu dicelup dengan sibghatullah. Ianya bermula sekarang, generasi remaja bukan generasi yang tidak tahu apa-apa, mereka tidak perlu dilayan seolah-olah mereka tidak erti akan apa yang berlaku di dunia sekarang, tetapi mereka memerlukan murabbi yang memahami dan mahu mendidik mereka.

Siapa lagi yang mahu diharapkan melainkan kita yang memanggil diri ikhwan dan akhwat, para penyongsong dakwah?!

Oleh: Mohd Azmir Mohd Razli

www.ismashahalam.net


0 komentar:

Catat Ulasan

 
Powered by Blogger