30 Disember 2009

Doa Ummi dan Abi Sumber Inspirasi Kejayaan

Fidak Result

Menjaga hubungan dengan Allah Taala dan ibu bapa adalah sangat penting dalam memastikan kesinambungan kejayaan kita berpaksikan keredhaan Allah Taala. Pencapaian cemerlang Ahmad Fidak bin Mohd Rusdi mendapat 8 A 1B ketika keputusan PMR diumum Khamis lalu menjadikan beliau antara pelajar lelaki terbaik di kalangan ahli Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam & Klang yang lain.

Menurut bapanya, Mohd Rusdi, Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pusat, keutamaan di dalam pendidikan ruhaniah dijadikan sebagai batu asas di dalam sistem pentarbiyyahan (latihan/ pendidikan) keluarga beliau. Dengan asas itu, beliau mahu anak-anaknya berjaya tidak kira apa jua bidang yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Ini adalah amat penting dalam misi membina insan yang ‘rabbani’ dan ‘kamil’ apetah lagi senario semasa sekarang amat mendesak dan membimbangkan.

Ikuti wawancara penuh saudara Ahmad Fida’ bersama wartawan ISMA Shah Alam, Azril Hanafi, yang berkesempatan mendengar sendiri rahsia dan tips di sebalik kejayaan beliau.
[W]wartawan
[F]Ahmad Fidak

[W] – Boleh saudara ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang peribadi, keluarga dan pendidikan ?
[F] – Alhamdulillah, kini usia saya mencecah 15 tahun. Berasal daripada keluarga yang sederhana dan merupakan anak sulung daripada 8 adik-beradik . Ibu dan bapa saya bekerja sebagai guru.Setelah tamat Peperiksaan Menengah Rendah yang lepas, saya sudah memulakan pembelajaran di Maahad Tahfiz al-Munawwarah di Seksyen 13. InsyaAllah fokus untuk hafiz al-Quran dalam masa setahun ini.

[W] – Bagaimana rutin harian saudara ketika hari persekolahan ?
[F] – Tiada apa yang istimewa dengan rutin harian saya. Cumanya, saya berusaha untuk tidur lebih awal dan bangun awal di pagi hari berqiamullail sementara menunggu solat Subuh. Seusai solat Subuh, dengan suasana pagi yang cukup segar ini saya mengambil peluang untuk menelaah sebelum ke sekolah dan dengan rutin sebegini memastikan saya senantiasa dalam keadaan bersedia dan bukan tergopoh-gapah di akhir waktu.
Di samping itu, saya dan rakan-rakan sekolah akan membaca surah Yasin setiap hari pada waktu malam selepas solat.

Saya sangat menitik-beratkan soal hubungan dengan Allah Taala di mana dengan amalan-amalan Sunnah seperti berqiamullail, membaca al-Quran dan ber’iktikaf di Masjid menjadi amalan kebiasaan bagi saya. Ini adalah sangat penting untuk memastikan setiap apa yang kita lakukan senantiasa mendapat redha Allah Taala.

Saya juga selalu menjaga hubungan dengan kawan-kawan tidak kira di sekolah mahupun di rumah. Adalah amat penting menjaga hati kawan daripada berasa hati supaya kita akan selalu disenangi. Jika ada mana-mana subjek yang saya boleh bantu, saya akan usaha membantu sebaik mungkin manakala jika ada mana-mana subjek yang saya lemah saya akan merujuk kepada mereka yang lebih menguasai bidang tersebut. Dengan kaedah berkongsi ini akan menjadikan ilmu yang kita timba diberkati Allah Taala.

DSC_0844

[W] – Selama saya mengenali saudara, anda sangat aktif dengan bidang kokurikulum selain aktiviti akademik. Boleh saudara perincikan ?
[F] - Benar, saya sangat aktif selain urusan akademik. Beriadah di waktu petang sudah menjadi kewajiban kepada saya. Apetah lagi saya amat meminati sukan ping-pong. Saya juga merupakan Ketua Umum di sekolah bagi seisi 2009 selain Pengerusi kepada Kelab Nasyid Sekolah. Terlibat aktif dengan program dan kem anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) juga menjadi sebahagian daripada penggerak program anjuran mereka.

[W] - Siapakah pendorong utama dan motivasi terbesar disebalik kejayaan saudara ini ?
[F] – Tidak kira di mana-mana pun, bapa selalu memberikan kata-kata motivasi yang menyemarakkan semangat saya untuk berjaya dalam apa jua bidang sekalipun. Kasih sayang ibu menjadikan saya mampu untuk mengharungi arus tekanan dalam menyiapkan diri menghadapi peperiksaan. Ibu dan bapa juga selalu mendoakan kejayaan saya dan saya rasa inilah resepi utama kejayaan di mana restu ibu dan bapa itu diletakkan di hadapan, tanpa mereka siapalah saya. Selain itu, sepanjang hari peperiksaan, hampir setiap hari nenek saya akan mendoakan ketenangan hati dan dipermudahkan menjawab soalan-soalan peperiksaan.

[W] Cukup mengujakan, pada umur seperti saudara telah disibukkan dengan pelbagai aktiviti selain urusan pembelajaran berbanding dengan rakan-rakan yang lain. Jadi, apakah rahsia saudara dalam mengimbangkan masa antara belajar dan kokurikulum ?
[F] – Saya merasakan, ‘bertangguh itu lenguh’. Setiap tugasan yang diberi, tidak kira akademik mahupun kokurikulum, saya akan langsaikan secepat mungkin. Dengan tidak menangguhkan urusan sebegini, saya dapat fokus kepada urusan lain yang lebih penting untuk memastikan penggunaan masa saya adalah sebaik mungkin. Kebiasaannya, siang saya dipenuhi dengan aktiviti persekolahan dan kokurikulum manakala, malamnya saya akan fokus kepada mengulang-kaji pelajaran.
[W] – Masyarakat sering melihat bahawa kebanyakan pelajar beraliran agama tidak mampu cemerlang seperti pelajar di sekolah kebangsaan. Adakah anda bersetuju dengan penyataan ini ?
[F] – Saya tidak merasakan begitu. Soalan kecemerlangan jugak berkait rapat dengan individu itu sendiri. Ramai juga tidak kira sekolah beraliran mana sekalipun yang tidak serius dalam soal pembelajaran dan ada juga yang hanya fokus dalam satu-satu bidang sahaja. Sepatutnya kita haruslah mempunyai impian yang besar dan bukan hanya melakukan sesuatu perkara itu sekadarnya sahaja.

[W] – Apakah impian atau cita-cita saudara ?
[F] – Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ulama’ dan pendakwah yang serba boleh. Selain itu, saya juga amat meminati untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

[W] - Sebagai akhir kata, apakah pesanan atau nasihat yang ingin saudara sampaikan kepada pembaca dan yang bakal menduduki peperiksaan tahun mendatang?
[F] - Saya ingin berpesan kepada diri saya dan pembaca terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan nanti, selain ’study hard’ dan ’study smart’ kita juga mestilah menjaga hubungan dengan Allah Taala, ibadah-ibadah khusus dan tidak dilupakan qiamullail di sepertiga malam. Eratkan hubungan kita dengan ibu bapa dan perkukuhkan lagi hubungan kita dengan rakan taulan kerana mereka, insyaAllah kita akan mencipta kejayaan.

DSC_0846

Oleh,

Azril Hanafi b Abdullah Sharwani
Wartawan
ISMA Shah Alam & Klang
www.ismashahalam.net

25 Disember 2009

"Saya Kenal, Saya Faham, Saya Kuasai"


20-21 Disember 2009 - Bertemakan slogan "Saya Kenal, Saya Faham, Saya Kuasai" KRIM Shah Alam Klang telah berjaya mengadakan Kem Jati Diri 3 yang disertai oleh 32 orang peserta lelaki dan 56 peserta perempuan.

Para peserta telah berkumpul di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah seawal jam 9.00 pagi sebelum bersama-sama menaiki bas menuju lokasi kem iaitu di Kem Mega Kristal, Kuala Selangor. Selepas selesai pendaftaran maka bermulalah pelbagai aktiviti menarik bagi membina jati diri para peserta.

Kehadiran Cikgu Asmadi sebagai ketua fasilitator telah menggamatkan suasana sambil menghibur para peserta dengan pelbagai aktiviti kreatif yang disusun para fasilitator dan urusetia. Dengan menggunakan segala ciptaan tuhan di sekeliling Cikgu Asmadi telah membuka minda para peserta untuk memahami hakikat kehidupan khususnya bagi seorang remaja.

Di waktu malam para peserta bersama-sama membaca al-Mathurat seterusnya mendengar tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Rizal. Pada sesi malam para peserta disedarkan mengenai betapa luasnya kasih sayang Allah yang disampaikan melalui ibu bapa terutamanya. Amat penting untuk kita hargai mereka sebelum terlambat.


Hari kedua menyaksikan aktiviti-aktiviti yang lebih lasak seperti "Serigala dan Kambing Yang Malang" di mana para peserta mengharungi rintangan-rintangan sambil menutup mata. Tujuan utama bukanlah sekadar melalui rintangan tetapi menyedarkan peserta bahawa kebenaran hanya akan dapat dilihat dengan membuka mata hati sepenuhnya.

Majlis penutup telah diadakan pada pukul 4.00 petang dengan perasmian penutup oleh En. Sharizan bin Sumuui, Setiausaha ISMA Shah Alam Klang.

Media KRIMSAK
www.krimsak.blogspot.com

20 Disember 2009

Kem Jati Diri Satu Kejayaan


Alhamdulillah, semasa artikel ini ditulis, peserta sedang menjamu makan tengah hari. Seramai 88 orang peserta menyertai kem anjuran KRIM Shah Alam Klang tahun ini. Dengan 32 orang peserta lelaki dan 56 orang peserta perempuan, menggamatkan suasana program pada kali ini.

Tidak dinafikan tanpa aktiviti air@sungai, program mungkin akan kurang ceria. Namun kehadiran koordinator yang kreatif dan inovatif, satu gaya aktiviti baru dipersembahkan oleh Cikgu Asmadi (penggerak KRIM Shah Alam Klang ).

Satu video program juga berjaya disiapkan untuk tatapan umum. Nantikan laporan yang lebih lengkap..


Salam dari kami, urusetia dan fasilitator di
KEM MEGA KRISTAL, KUALA SELANGOR.

Cikgu Hardi
Pengarah KRIM Shah Alam Klang

13 Disember 2009

Muzakarah Penggerak KRIM 2009



5 Disember 2009 - Alhamdulillah, selesai satu program Muzakarah Pengerak KRIM 2009 untuk seluruh negara. Banyak info dan perkongsian ilmu diperolehi bagi memantapkan kerja2 dakwah terhadap remaja ni.

Beberapa Pakar Motivasi telah membentangkan kertas kerja mereka bagi membantu KRIM kawasan dan negeri merancang program tahun depan bagi merealisasikan Projek GEREM 2010/2011.

Antaranya Tn Hj Arif, akh Bukhari, Ust Rusdi Alias, Cikgu Ismail (Johor), Akh Helmi (N9) dan Ukh Rasyidah (DHL).

Namun sebelum itu akh Aminuddin Yahya@Chief of da mission@Penasihat Projek GEREM telah membentangkan kertas kerja mengenai Projek GEREM...

Kita mesti dan harus 'down'kan level pemikiran kita setaraf dengan remaja, barulah boleh mengikat hati2 mereka. Harus dekat dan sentiasa bersama mereka....

Pengorbanan?? Itu wajib!! Duit, masa, tenaga dan idea.... sudah pasti...

Apa pun ironinya...tiada Dakwah tanpa Pengorbanan... ini urusan 'jual beli' dgn Allah swt...

Cikgu Hardi
Pengarah KRIM Shah Alam Klang
Blog : Sampaikan Salam Maniskan Senyuman

03 Disember 2009

Kenapa Dibiarkan Merokok?


Oleh: Prof Madya Dr Zainurrashid Zainuddin
http://imedik.wordpress.com

  • Berapa billion USD dibelanjakan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk rokok?
  • Berapa juta umat Islam yang mati tiba-tiba di serang penyakit jantung akibat rokok?
  • Berapa juta umat Islam yang mati tersiksa dari kanser yang berpunca dari rokok?
  • Berapa ramai di kalangan remaja dan pemuda Melayu Islam yang ketagihan dadah yang bermula dari rokok?
  • Berapa ramai remaja yang digantung persekolahan disebabkan rokok?
  • Berapa ramai imam-imam dan bilal yang nafasnya berbau disebabkan amalan merokok?
  • Berapa juta di kalangan umat Islam yang gagal menunaikan fardhu haji kerana pendapatan hariannya kering dek ketagihan rokok?
  • Berapa dan kenapa?

Pada bulan Mac 2009 yang lalu, genaplah empat belas tahun sejak mula-mula fatwa pengharaman merokok dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke-37 pada 23 Mac 1995 lalu. Tetapi ulang tahun ke 14 ini terus disambut dengan begitu dingin sekali kerana rata-rata masih ramai orang Islam khasnya tidak mengetahui atau sengaja tidak mahu tahu tentang wujudnya fatwa tersebut. Oleh yang demikian tabiat merokok semakin berleluasa walaupun kerajaan berusaha untuk membasmi tabiat yang tidak baik di kalangan warga negara ini. Kedinginan hebahan fatwa ini perlu diperbaiki segera sekiranya orang-orang Islam khasnya perihatin tentang kedudukan ummah terutama sekali di kalangan kaum remaja.

Seorang ulama Fiqh Hanafi, Sheikh Muhammad al-Aini yang menyatakan pengharaman merokok adalah berdasarkan kepada empat perkara.

  1. Merokok membahayakan kesihatan (membunuh) seperti yang dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan.
  2. Rokok mengandungi bahan dadah yang ditegah seperti yang diberikan oleh hadith Nabi Muhammad SAW.
  3. Asap rokok bukan sahaja menyakiti diri perokok bahkan menganggu orang-orang tidak merokok terutamanya di tempat-tempat awam seperti di tempat-tempat solat di samping menyakiti para malaikat. Kajian perubatan juga mendapati bahawa bayi yang ada dalam kandungan ibu yang menjadi teman hidup perokok juga terkesan dengan kesalahan ini.
  4. Merokok menyebabkan pembaziran yang sangat-sangat dilarang oleh Allah swt dan juga Rasulullah SAW. (Sesungguhnya membazir adalah saudara syaitan)

Fatwa yang memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram merupakan langkah permulaan yang amat baik. Malangnya usaha murni ini seolah-olah tidak berkecapaian. Perlaksanaannya terbengkalai sebegitu lama dan tidak menampakkan apa-apa tindak tanduk yang sistematik dalam memperkenalkannya kepada masyarakat Islam khasnya. Suara-suara sumbang telah mula kedengaran agar fatwa ini ditimbang semula.

Kalau kita selalu diperingatkan tentang jangan membazir makanan semasa berbuka puasa dan pembaziran itu adalah amalan syaitan; tetapi pembaziran akibat tabiat merokok tidak dititikberatkan langsung. Apa lagi pembaziran merokok diiringi dengan ribuan kemudaratan. Dalam hal ini ramai di antara kita rasanya telah bersubahat tanpa disedari atau tidak. Ini adalah satu konflik paling besar yang mesti kita selesaikan bersama.

Soalnya berapa lama lagi kita sanggup bersubahat untuk ‘membunuh’ adik beradik kita, keluarga dan masyarakat kita secara halus?

Prof Madya Dr Zainurrashid Zainuddin
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi,
International Medical University, Seremban

15 November 2009

Riadhah di Bangi

22 November 2009 - Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam Klang telah bersama-sama menyertai Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Shah Alam dalam mengadakan perlawanan persahabatan bersama KRIM dan PEMBINA DHL dan Gombak dalam acara bola sepak dan bola tampar di kawasan riadhah Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI) di Bangi.

Semoga pertemuan ini dapat bersama-sama mengukuhkan ukhuwwah imaniyah di samping memenuhi tuntutan jasmani dalam membina tubuh badan yang kuat sepertimana yang terdapat dalam 10 Peribadi Muslim.

PEMBINA Shah Alam


Media KRIMSAK
www.krimsak.blogspot.com

KEM JATI DIRI 3


KEM JATI DIRI (3) 2009
"Saya Kenal, Saya Faham, Saya Kuasai"

BILANGAN PESERTA TERKINI : 60 ORANG (2 Dis 2009)
Cepat sebelum penuh!!


Tarikh : 19-20 Disember 2009
Hari : Sabtu & Ahad

Tempat : Kem Mega Kristal, Kuala Selangor
Yuran : RM80

Terbuka untuk remaja 13-18 tahun lelaki dan perempuan
Tempat terhad untuk 80 orang peserta pertama!

Berminat?? maklumat lanjut hubungi :-

Cikgu Asmadi : 019-3395459
Ustaz Rizal : 019-3079306
Abu Aiman : 019-2392274
Ustazah Zaleha : 013-2220620
Cikgu Hafizah : 019-3640504
Email : krimsak2009@yahoo.com

*Insurans dan pengangkutan disediakan.
*Tertakluk kepada perubahan dan syarat penyertaan.


TENTATIF PROGRAM

Sabtu (19/12/09)

9.00 pagi : Bertolak (Berkumpul di Masjid Negeri, Shah Alam)
11.00 pagi : Pendaftaran
11.30 pagi : Taklimat Program
1.30 ptg : Makan & Solat
2.30 ptg : Aktiviti 1 - (Taaruf)
3.30 ptg : Slot 1 - "Apa Yang Kau Tahu"
4.30 ptg : Aktiviti 2 - "Mahu Tapi Tak Perlu, Perlu Tapi Tak Mahu"
6.30 ptg : Khidmat Diri / Makan
7.30 ptg : Solat Maghrib / Mathurat / Tazkirah
9.00 mlm : Slot 2 - "Luasnya Kasih Sayang Allah"
10.30 mlm : Aktiviti 3 - "Jangan Nak Tak Nak"
12.00 mlm : Tidur & Hirasah

Ahad (20/12/09)

4.30 pagi : Jalanan Berduri
6.00 pagi : Solat Subuh / Mathurat / Tazkirah
7.00 pagi : Senamrobik
8.00 pagi : Sarapan
8.30 pagi : Aktiviti 4 - "Negatif To Positif"
10.00 pagi : Khidmat Diri
10.30 pagi : Minum Pagi
11.00 pagi : Slot 3 - "Serigala dan Kambing Yang Malang"
12.00 tghr : Penyediaan Makanan
1.30 ptg : Solat / Makan
2.30 ptg : Slot 4 - "Berikan Aku Cahaya"
3.30 ptg : Majlis Penutup
4.30 ptg : Bertolak Pulang


"Barangsiapa tidak menjaga dirinya, maka tidak bergunalah ilmunya" [ Imam Syafi'i ]

30 Oktober 2009

Azimat Menempuh Peperiksaan

BACKDROP-PMR

“Bolehkah kamu berjaya dalam hidup jika tidak lulus SPM?” saya melontarkan soalan kepada peserta.

Boleh tahan juga bilangannya yang mengangkat tangan untuk jawapan YA.

“Maknanya ramailah yang merancang untuk gagal SPM ni ya? Senang kerja saya” saya membuat kesimpulan.

Guru-guru pun ada yang kelihatan resah dengan idea yang saya sampaikan. Memberikan cadangan bahawa hidup boleh diteruskan dengan kejayaan tanpa kelulusan SPM?

“Baiklah, bagi yang kata kita boleh berjaya dalam hidup walaupun gagal SPM, bolehkah kongsikan hujah anda?” saya menyambung provokasi.

Seperti biasa, ramai yang tertunduk-tunduk, memandang dinding dan bumbung dewan, melarikan mata daripada memandang saya kerana tidak mahu disuruh menjawab soalan. Itu ‘penyakit’ yang sering melanda pelajar-pelajar kita. Bising bila ramai, kecut bila diminta bersuara atas kapasiti peribadi.

“Sebab SPM bukan segala-galanya. Ada ujian yang lebih besar di Akhirat!” jawab seorang pelajar.

Wah, jawapannya disambut dengan tepuk tangan oleh rakan-rakan. Saya juga mengucapkan syabas kepadanya kerana berani bersuara. Senaskhah buku Persediaan Minda Pelajar Cemerlang tulisan rakan saya, Osman bin Affan, dijadikan hadiah buat pelajar yang berani ini.

SPM URUSAN AKHIRAT

“Maksud kamu, SPM tiada kena mengena dengan Akhirat?” saya menyambung soalan.

“Err… err…” pelajar itu tidak pasti, asyik menggaru kepala.

“Ada ke benda di dunia ini yang tiada kena mengena dengan Akhirat?” saya meneruskan soalan.

“Sekular!” jawab seorang pelajar.

Hebat falsafahnya. Senaskhah lagi buku Motivasi Alihan Pelajar tulisan Dr. Tengku Asmadi, saya jadikan hadiah buat pelajar yang memberikan kata kunci berharga dalam sampuk beliau itu tadi.

Hakikatnya, sama ada kita boleh berjaya atau tidak dalam hidup ini tanpa lulus SPM, jawapannya ialah YA dan TIDAK.

JIKA MAHU JAWAPANNYA YA

Anda berusaha gigih.

Pergi ke sekolah dan menghadiri kelas dengan penuh tumpuan. Tidak ponteng kelas tambahan. Bertanya jika tidak faham. Membuat kerja latihan yang diberi, berlatih menjawab soalan-soalan tahun lepas, mencipta mnemonic untuk membantu anda menghafal fakta… anda berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Tiba-tiba menjelang peperiksaan, berlaku sesuatu yang tidak dijangka.

Anda demam campak.

Seperti semasa saya menduduki kertas pertama SPM, kertas Bahasa Melayu.

Disebabkan oleh perkara-perkara yang tidak dijangka itu, anda mendapat keputusan peperiksaan yang tidak seperti apa yang diharapkan, malah mungkin gagal terus… ketahuilah, anda adalah calon manusia berjaya dalam hidup ini di dunia dan di Akhirat.

Mengapa?

UPSR, PMR dan SPM walaupun kejayaannya diukur pada keputusan yang tercatat di atas kertas keputusan peperiksaan, namun itu bukanlah inti pati utamanya. Tanyalah seorang jurutera, semasa beliau menghadiri temuduga kerja, apakah majikannya bertanya tentang keputusan UPSR dan PMR beliau?

Tiada.

Sudah tidak penting lagi.

srp

Di usia ini, gred berapa dan agregat berapa sudah tidak penting, tetapi SIKAP yang terbentuk daripadanya berguna sepanjang hayat

Tetapi apa yang diajar oleh UPSR, PMR dan SPM ialah latihan mencipta kejayaan iaitu pada SIKAP yang dibentuk di sepanjang perjalanan menuju dewan peperiksaan. Jika anda telah berusaha gigih, memberikan sepenuh komitmen, berdisiplin untuk mengutamakan apa yang utama, bersabar dengan apa yang kita tidak suka untuk nantinya dapat apa yang kita suka, maka kita sudah pun berjaya, sebelum keluar keputusan peperiksaan!.

Kejayaan ialah perjalanan, bukan destinasi!

Jika anda sudah menyertai perjalanan itu, anda sudah pun berjaya.

JAWAPANNYA PASTI TIDAK

Namun, jika anda gagal di dalam peperiksaan kerana tidak berusaha, malas, menyakiti hati ibu bapa dan guru, maka ketahuilah anda adalah calon manusia gagal di dunia dan di Akhirat.

“Tapi ustaz, Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew jadi jutawan walaupun tak sekolah!” kata seorang pelajar merujuk kepada Honda Man, tokoh perniagaan negara yang amat terkenal itu.

“Dia jadi jutawan bukan dengan menggagalkan diri di dalam peperiksaan. Kamu tahu, Mendiang Boon Siew bekerja mengutip tahi babi semasa di usia kamu untuk menyara hidupnya. Ia lebih hebat daripada kesanggupan kamu berjalan kaki ke kelas tambahan di sekolah pada tengah hari yang panas terik di bulan puasa! Itulah SIKAP!” saya menambah.

Nampaknya pelajar-pelajar ini sudah panas. Sudah berani menjawab. Sebuah lagi buku MAGNET DIRI tulisan Amin Idris saya hadiahkan kepadanya.

“Macam mana boleh gagal SPM membawa kepada kegagalan di Akhirat, ustaz?” tanya seorang pelajar.

“Dunia ladang Akhirat. Macam yang ustaz sebut tadi, kalau kegagalan peperiksaan itu berpunca daripada sikap atau akhlaq yang buruk, menyakiti hati guru-guru dan ibu bapa yang bersusah payah mahukan kejayaan untuk kamu, itulah dosa yang menjadi saham untuk membeli kerusi di lubuk Neraka!” saya menambah.

Ceramah berlangsung lagi hingga selesai satu jam setengah masa yang diberikan.

Tiada apa-apa resepi kejayaan rahsia yang saya berikan.

Bak kata bapa kepada hero pujaan filem kegemaran saya yang wajahnya mirip-mirip saya:

kungfupanda-rahsia

“There is no secret ingredient, you just have to believe! – Abu Panda”

Selamat menempuh peperiksaan SPM untuk adik-adik yang bakal menduduki kertas pertama mereka pada 18 November nanti.

Jika ada soalan yang tidak diketahui jawapannya, tuliskan sahaja WALLAHU A’LAM (Allah lebih mengetahui), pasti betul. Jangan ada pegawai pemeriksa yang memangkahnya. Rosak Aqidah!

Cuma, tiada markahlah… itu sahaja.

Ingat, kejayaan adalah perjalanan, bukan destinasi!

Seeru ‘alaa barakatiLlaah!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

18 September 2009

Kun Rabbaniyyan


"Kun Rabbaniyyan Wa Laa Takun Ramadhaniyyan
"
- Hukama' -

Selamat Hari Raya AidilFitri
Maaf Zahir & Batin


16 September 2009

Iktikaf Semarak Ramadhan

Nantikan laporan penuh di ismashahalam.blogspot.com
Gambar : Galeri ISMA SAK


Mashi Badar al-Kubro 1430H

07 September 2009

Forum Kemerdekaan ISMA bincang nasib bangsa


Shah Alam, 5 Sept. - ISMA Cawangan Shah Alam & Klang telah mengadakan Forum Kemerdekaan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) di mana sekitar 150 orang hadir untuk menyaksikan 3 orang panel jemputan iaitu Ustaz Abdullah Zaik (Presiden ISMA), En. Aminuddin Yahaya (Setiausaha Agung ISMA) & Ir. Ahmad Jais (Pengarah Radio IKIM.fm) menghuraikan tema "Memartabatkan Kesetiaan Bangsa, Mengimbau Sejarah Silam".

Ketiga-tiga orang panel memberi ulasan yang padat tentang permasalahan bangsa Melayu terkini dan jalan penyelesaiannya. Penonton juga turut mengambil kesempatan untuk bertanyakan pelbagai soalan, antaranya ialah soalan tentang peranan Radio sebagai media pembangun bangsa yang ditujukan kepada Ir Ahmad Jais.

Turut hadir ke majlis ini ialah Dr Kamil Azmi Tohiran, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).

Presiden ISMA bersama NGO-NGO jemputan

Para panelis Forum Kemerdekaan ISMA

Semasa Forum sedang berlangsung, KRIM Shah Alam Klang telah membuka gerai menjual pelbagai barangan menarik manakala anak-anak yang hadir turut disibukkan dengan pertandingan mewarna anjuran Kelab Kanak-kanak ISMA (NAZIM) yang diadakan di tingkat 1.

Gerai jualan KRIM

Persembahan nasyid menyuntik semangat

Acara yang berakhir menjelang waktu Zuhur ini telah ditamatkan dengan persembahan nasyid yang terdiri dari pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

ISMA-SAK mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak MSSAAS yang telah memberi kerjasama penuh dalam menjayakan program ini.

Media ISMA
www.ismaweb.net

05 September 2009

Iftor Jam'ie 1430H

Tazkirah tarawih oleh Ustaz Rusydi

30 Ogos 2009, Shah Alam - Dalam usaha untuk menyuburkan ruh Ramadhan Al-Mubarak dan ukhuwwah Islamiyyah, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Shah Alam & Klang telah menganjurkan majlis berbuka puasa yang diberi nama "Iftor Jam'ie 1430H". Majlis yang dianjurkan oleh Biro Dakwah ISMA Shah Alam & Klang ini bertempat di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 13 dihadiri oleh 200 orang muslimin dan muslimat daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang. Walaupun ramai di kalangan ahli yang pulang ke kampung halaman masing-masing sempena meraikan cuti hari minggu yang lebih panjang, namun kehadiran iftor kali ini cukup memberangsangkan.

Pintu dewan dibuka seawal jam 6 petang untuk memberi ruang kepada jawatankuasa untuk membuat persiapan ringkas sementara menanti kehadiran ahli. Sekitar jam 7 petang dewan semakin dipenuhi orang dan waktu terluang ini diambil untuk bertegur sapa dan merapatkan ukhuwah di kalangan ahli. Jam 7.21 petang menandakan waktu berbuka puasa dan juadah ringan dijamu sebelum diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah. Seusai solat Maghrib, majlis diteruskan dengan jamuan makanan berat berkonsepkan "pot luck" yang dibawa oleh sendiri oleh ahli-ahli. Pelbagai juadah disajikan dari kurma, lauk pauk, kuih muih, aneka minuman dan pencuci mulut.

Azan Isya' berkumandang dan saf diatur untuk meneruskan solat berjemaah. Solat tarawih yang dilangsungkan selama 8 rakaat itu diselit seisi tazkirah oleh Ustaz Rusdi. Antara pengisian yang sempat digarap ialah :-

1) Betapa pentingnya menghargai rahmat dan nikmat bulan Ramadhan.
2) Dakwah itu tetap aula'. Aktiviti dakwah tidak berhenti di kala Ramadhan menyinggah malah sepatutnya kita lebih aktif dan progressif.
3) Membina dan memantapkan ruhiah di dalam madrasah Ramadhan ini perlu dijadikan sebagai satu platform yang terbaik dalam misi menghadapi 11 bulan mendatang.

Selesai solat witir, En Zainuddin Ghafar selaku Timbalan Yang Dipertua merangkap Pemangku Yang Dipertua memberikan ucapan penutup sementara ketiadaan Dr. Amiruddin yang sedang menunaikan umrah. En Zainuddin Ghafar berharap ukhuwwah ini dapat diteruskan dan disemai supaya dapat memupukkan semangat persaudaraan Islam yang mapan. Disamping itu beliau juga menggesa kita dapat memperkuatkan mujahadah terhadap nafsu kita sepanjang bulan Ramadhan ini.






Disediakan oleh,
Media ISMA Shah Alam & Klang

31 Ogos 2009

Forum Kemerdekaan ke-52


Mengapa kita gagal untuk bersatu atas satu akidah walaupun berbeza pendapat ?

Kenapa hari ini kita menjadi terumbang-ambing tanpa risalah dan tanpa haluan?

Mengapa kita terus menjadi habuan kepada pemangsa sekitar kita walaupun kita tahu kita adalah umat terpilih dan dimuliakan Allah Taala?

Menjelang ulang tahun kemerdekaan negara yang ke 52 pada 31 Ogos 2009 dan kemelut politik yang dihadapi oleh rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini, adalah sangat penting kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memahami hakikat kepentingan kemerdekaan kepada negara, menjiwainya, mengembalikan kesetiaan bangsa dan mengimbau sejarah silam untuk dijadikan panduan bernegara pada masa depan.

Oleh itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Shah Alam & Klang maju ke hadapan untuk mengadakan inisiatif menganjurkan Forum Kemerdekaan bertemakan "Memartabatkan Kesetiaan Bangsa, Mengimbau Sejarah Silam".

Tarikh
5 September 2009 / 15 Ramadhan 1430H

Masa
8.30 pagi - 12.30 tengahari

Lokasi
Dewan Serbaguna Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
(Masjid Negeri Selangor)


Aktiviti-aktiviti
Forum Kemerdekaan, Pertandingan Mewarna & Melukis (6-12 tahun), Pertandingan Membuat Kolum, Pameran, Teka Silang Kata & Gerai Jualan.


Jom ! Kita ramaikan Forum Kemerdekaan ke-52 anjuran ISMA Shah Alam Klang kali ini.

27 Ogos 2009

Ramadhan Dihayati Dosa Dihindari

Ustaz Rizal Sabran menyampaikan Kuliah Subuh

SURAU MUNAWWARAH SEKSYEN 13

Selasa, 25 Ogos - Alhamdulillah sekali lagi Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam Klang telah berjaya mengadakan program dalam usaha membina generasi remaja. Program Penghayatan Ramadhan (PPR) telah selamat dijayakan dengan kehadiran lebih 30 orang peserta di Surau Munawwarah, Seksyen 13, Shah Alam.

Program dimulakan dengan Solat Tarawih bersama-sama dan kemudiannya para peserta berkumpul untuk sesi taaruf. Usai taaruf semua bersiap sedia khidmat diri untuk tidur. Ramai juga yang menyambung tilawah Al-Qur'an.

Pada pukul 3.30 pagi semua peserta telah dibangkitkan bagi menjalankan qiam jam'ie yang turut disertai penduduk tempatan. Selepas selesai berqiamullail, para jemaah menikmati sahur bersama-sama yang telah disediakan pihak surau.

"Sesungguhnya pada sahur itu keberkatan...."


Selesai solat Subuh, semua jemaah bersama-sama mendengar kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Rizal Sabran yang menekankan bertapa bahayanya dosa dan maksiat serta bagaimana Ramadhan ini sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi meninggalkan perkara-perkara tersebut.

“Barangsiapa puasa bulan Ramadhan karena iman dan mengharap pahala dari (Allah), niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." [ HR Bukhari & Muslim ]
Para jemaah khusyu' mendengar kuliah


Pada pukul 8.30 pagi, para peserta menunaikan Solat Dhuha dan kemudiannya berpecah dalam kumpulan untuk mengadakan sesi Taddarus Al-Qur'an bagi memantapkan bacaan dan penghayatan terhadap Al-Qur'an.

Aktiviti taddarus bagi memantapkan bacaan dan penghayatan


Sebelum tamat, peserta bersama-sama bermain kuiz Ramadhan bagi menambah pengetahuan berkaitan Ramadhan. Program tamat pada hari Rabu, jam 10.30 pagi.

Kuiz Ramadhan meningkatkan kefahaman

Aktiviti berjalan dengan penuh kegembiraan

Media KRIMSAK


11 Ogos 2009

Sempena Ramadhan Yang Bakal Tiba

Perhatian kepada pembaca.Terdapat sedikit perubahan pada program Jom Jalan-Jalan Mencari Iman.Ini kerana terdapat beberapa masalah teknikal dan situasi terkini yang bahaya seperti wabak H1N1 yang begitu kronik rebakannya.Semua ada hikmahnya.

Oleh itu,program ganti akan diadakan.



1)Program MABIT(Malam Bina Iman dan Taqwa)




Program ini akan bermula pada 9.30 malam(15 ogos) dan akan berakhir pada 10 pagi(16 ogos).Pada pagi tersebut peserta akan beriadah di Seksyen 7 Shah Alam di padang berdekatan Surau At-Taqwa

Hari : Sabtu Malam Ahad
Tarikh : 15 Ogos 2008.
Tempat :Surau Munawarah,Seksyen 13 Shah Alam
Sasaran :12 sehingga 18 tahun

Tiada YURAN dikenakan.





2) Sempena kedatangan Ramadhan Mubarak dan cuti sekolah
Kelab Remaja Shah Alam akan menganjurkan satu program istimewa untuk remaja-remaji sekitar Shah Alam iaitu
PROGRAM PENGHAYATAN RAMADHAN (PPR) kali pertama.Butirannya:-

Tarikh : 25 hingga 26 Ogos 2009
Masa : 6.30 petang(selasa) hingga 11 pagi (rabu)
tempat : Surau munawarah, seksyen 13 @ masjid munawarah, seksyen 27
Sasaran : 12 hingga 18 tahun (lelaki dan perempuan)
Aktiviti : Iftar jamaie, tazkirah, iktikaf, qiamullail, kuliah dhuha, talaqi al-Quran,Games dan Kuiz
(hadiah menarik disediakan)

Tiada YURAN dikenakan juga.

Tunggu apa lagi,menarik bukan tawaran yang disediakan.Moga apabila tibanya bulan Ramadhan yang diberkahi oleh Allah ini,marilah kita sama-sama mengambil peluang ini untuk meningkatkan lagi amal kita agar Ramadhan kita kali ini lebih bermakna.AYUH!!


sebarang pertanyaan@berminat hubungi:

Cikgu Hardi : 019-2039390
Cikgu Hafizah : 019-3640504

**tertakhluk kepada sebarang perubahan***

 
Powered by Blogger