20 Jun 2011

Program Kembara Ilmu SAMTTAJ bangkitkan motivasi pelajar

Para pelajar SAMTTAJ yang penuh semangat

Shah Alam, 18 JUN - Pihak Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam sekali lagi bersama para remaja di Shah Alam untuk membina motivasi, iltizam dan jatidiri. Bertempat di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), seramai 130 orang peserta dari pelajar tingkatan 1 sekolah ini telah bersama dalam program Kembara Ilmu SAMTTAJ 2011.


Dengan lagu 'Menuju Wawasan' sebagai tema, program ini bertujuan untuk para pelajar terus bermotivasi dalam mengejar kecemerlangan di samping membina sahsiah diri yang mantap. Bermula pada hari Sabtu, 17 Jun, pebagai aktiviti telah dijalankan. Dimulakan dengan sesi 'ice breaking' pada petang Sabtu para pelajar didedahkan dengan cara kreatif untuk lebih mengenali kawan. Pada sesi malam berlangsungnya ceramah motivasi yang disampaikan oleh Ustaz Azhari yang menerangkan tujuan hidup dan bagaimana untuk menguruskannya dengan baik. Disusuli dengan sesi LDK yang menitikberatkan kerjasama yang baik untuk mencapai kejayaan.


Seterusnya pada pagi Ahad selepas para peserta membaca mathurat tazkirah berbentuk tayangan diadakan, disertai dengan ulasan oleh para fasi. Para peserta kemudiannya dihidangkan dengan 'talk show' oleh Cikgu Asmadi yang memberi perkongsian untuk pelajar terus cemerlang dan mumtaz untuk ummah. Acara diteruskan dengan 'treasure hunt' oleh pelajar lelaki dan LDK2 oleh pelajar perempuan. Usai solat Zohor, majlis penutup telah diadakan dengan dirasmikan oleh PK Pentadbiran SAMTTAJ, Puan Nor Azuin. Para peserta dan fasi juga telah menerima hadiah sebagai tanda penghargaan dari pihak sekolah.


Pihak KRIM sangat berharap akan dapat meneruskan usahasama bersama SAMTTAJ dan juga mana-mana sekolah yang berminat dalam misi kami untuk membimbing para remaja.


MediaKRIM Shah Alam


Sejenak bersama pelajar terbaik STAM 2010 – Umar Farouq

Umar Farouq bin Morhalim sewaktu menerima Anugerah Pelajar Cemerlang STAM 2010 Seluruh Malaysia

Tanggal 2 Jun yang lepas menyaksikan detik yang bersejarah bagi anak muda ini. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga dengan kehadiran YB Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang bertempat di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Anugerah ini disampaikan khas kepada 10 pelajar terbaik dalam STAM. Pihak Media ISMA Shah Alam telah menemuramah saudara Umar Farouq, salah seorang pelajar cemerlang yang mendapat keputusan Mumtaz untuk setiap subjek dalam STAM 2010. Beliau juga seorang tokoh remaja yang bergiat aktif dalam aktiviti Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Shah Alam.

LATAR BELAKANG

Berasal dari Shah Alam, Selangor, pelajar bernama Umar Farouq Bin Morhalim ini merupakan anak ketujuh kepada pasangan Morhalim bin Hj Osman dan Wan Rosniati binti Wan Ibrahim dan mempunyai lapan orang adik beradik. Berumur 20 tahun, beliau tinggal di Seksyen 4, Shah Alam. Sejarah pendidikan beliau bermula di SRI Hira’ Klang kemudian menyambung pelajaran ke Maahad Tahfiz Hira Jeram. Kemudian beliau meneruskan lagi pembelajaran di SMI Hira’ Jeram sehingga PMR dan SPM. Seterusnya,beliau melanjutkan pengajian beliau di peringkat STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) di Akademi Ikatan Muslimin Malaysia di Ipoh.


Bersama Pengetua AIM

TEKNIK PEMBELAJARAN DAN PENCETUS KEJAYAAN

Bagi Umar, beliau tidak menetapkan satu teknik khusus dalam pembelajaran beliau. Apabila ditanyakan kepada saudara Umar, beliau mengatakan bahawa suasana semangat berlumba-lumba dalam pembelajaran merupakan faktor yang utama kejayaan beliau. Dikatakan hampir semua pelajar AIM (Akademi Ikatan Muslimin) mempunyai semangat yang tinggi untuk belajar dan ingin berjaya dalam STAM.

Beliau juga telah berkata, “Antara faktor yang membantu saya ialah rakan belajar saya Izzat Husman (10 Mumtaz) kerana kami selalu membuat perbincangan dan saling soal menyoal. Dia juga sering mengejut saya belajar pada pukul 2 pagi ketika bulan Ramadhan.”

“Antara faktor terpenting lain juga buat saya ialah didikan para asatizah yang bukan sahaja mengajar tetapi juga mentarbiah dan sering mendorong kami untuk ke Mesir. Bayangan ke Mesir sangat mendorong saya untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Tidak lupa juga pengorbanan yang telah dicurahkan oleh ibubapa saya. Pengorbanan mereka tidak boleh dilupakan kerana sanggup menghantar saya ke AIM walaupun dengan yuran yang agak tinggi berbanding sekolah lain dan tidak lupa juga sokongan daripada ikhwah seluruh Malaysia terutama ikhwah Perak dan Selangor.

Bersama keluarga yang kuat memberi sokongan

HARAPAN DAN PESANAN

“Kecemerlangan adalah salah satu ciri muslim secara umum dan daie secara khususnya. Pernah seorang Murabbi berkata: Orang yang berdakwah perlu cemerlang. Cemerlang perlu untuk kita mengembalikan fahaman yang sebenar tentang Islam. Manusia secara amnya telah melihat Islam dengan kemunduran dan kegagalan seperti apa yang telah berlaku kepada umat Melayu yang majoriti Muslim. Saya berpesan kepada semua ikhwah untuk kita kembali bangkit dan mengejar kecemerlangan kerana kecemerlang itu hak milik semua. Ayuh kita Mumtaz untuk Ummah.”

Akhir kata pihak ISMA Shah Alam mengucapkan tahniah kepada Umar atas kejayaannya dan kami mendoakan agar beliau terus cemerlang di masa hadapan dan sentiasa berada dalam landasan perjuangan Islam.

Untuk maklumat lanjut,sila layari http://www.islam.gov.my/en/node/35820

Disediakan oleh:
Mohammad Danial Bin Mohammad Asri
Wartawan ISMA Shah Alam

Siri Futsal Reunion mengisi cuti remaja

Futsal Reunion 1

Futsal Reunion 2

Alhamdulillah cuti sekolah yang lalu pihak KRIM Shah Alam telah berjaya mengadakan siri Futsal Reunion di Sports Planet Shah Alam. Tujuan utamanya adalah untuk merapatkan lagi ikatan antara ahli-ahli KRIM dan remaja-remaja sekitar Shah Alam. Selain dari menunaikan hak jasadi pihak KRIM juga mengambil inisiatif ini untuk mengumpulkan remaja supaya tidak terlibat dengan aktiviti yang kurang berfaedah. Dalam pengisian yang diberikan abang Muntaziri dan Amar Ismat juga ditekankan supaya para remaja bijak merancang agenda terutama sewaktu cuti sekolah.

16 Jun 2011

Hebahan : Program Isra' Mi'raj


Jom sertai Program Mengingati Peristiwa Isra' dan Mi'raj : "Selamatkan Aqsa Bebaskan Palestin" di Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24, Shah Alam pada 19 Jun 2011 (Ahad). Pelbagai aktiviti indoor dan outdoor menarik disediakan serta Forum Khas selepas Maghrib. Semua remaja dijemput hadir!!

 
Powered by Blogger