30 Disember 2009

Doa Ummi dan Abi Sumber Inspirasi Kejayaan

Fidak Result

Menjaga hubungan dengan Allah Taala dan ibu bapa adalah sangat penting dalam memastikan kesinambungan kejayaan kita berpaksikan keredhaan Allah Taala. Pencapaian cemerlang Ahmad Fidak bin Mohd Rusdi mendapat 8 A 1B ketika keputusan PMR diumum Khamis lalu menjadikan beliau antara pelajar lelaki terbaik di kalangan ahli Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam & Klang yang lain.

Menurut bapanya, Mohd Rusdi, Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pusat, keutamaan di dalam pendidikan ruhaniah dijadikan sebagai batu asas di dalam sistem pentarbiyyahan (latihan/ pendidikan) keluarga beliau. Dengan asas itu, beliau mahu anak-anaknya berjaya tidak kira apa jua bidang yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Ini adalah amat penting dalam misi membina insan yang ‘rabbani’ dan ‘kamil’ apetah lagi senario semasa sekarang amat mendesak dan membimbangkan.

Ikuti wawancara penuh saudara Ahmad Fida’ bersama wartawan ISMA Shah Alam, Azril Hanafi, yang berkesempatan mendengar sendiri rahsia dan tips di sebalik kejayaan beliau.
[W]wartawan
[F]Ahmad Fidak

[W] – Boleh saudara ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang peribadi, keluarga dan pendidikan ?
[F] – Alhamdulillah, kini usia saya mencecah 15 tahun. Berasal daripada keluarga yang sederhana dan merupakan anak sulung daripada 8 adik-beradik . Ibu dan bapa saya bekerja sebagai guru.Setelah tamat Peperiksaan Menengah Rendah yang lepas, saya sudah memulakan pembelajaran di Maahad Tahfiz al-Munawwarah di Seksyen 13. InsyaAllah fokus untuk hafiz al-Quran dalam masa setahun ini.

[W] – Bagaimana rutin harian saudara ketika hari persekolahan ?
[F] – Tiada apa yang istimewa dengan rutin harian saya. Cumanya, saya berusaha untuk tidur lebih awal dan bangun awal di pagi hari berqiamullail sementara menunggu solat Subuh. Seusai solat Subuh, dengan suasana pagi yang cukup segar ini saya mengambil peluang untuk menelaah sebelum ke sekolah dan dengan rutin sebegini memastikan saya senantiasa dalam keadaan bersedia dan bukan tergopoh-gapah di akhir waktu.
Di samping itu, saya dan rakan-rakan sekolah akan membaca surah Yasin setiap hari pada waktu malam selepas solat.

Saya sangat menitik-beratkan soal hubungan dengan Allah Taala di mana dengan amalan-amalan Sunnah seperti berqiamullail, membaca al-Quran dan ber’iktikaf di Masjid menjadi amalan kebiasaan bagi saya. Ini adalah sangat penting untuk memastikan setiap apa yang kita lakukan senantiasa mendapat redha Allah Taala.

Saya juga selalu menjaga hubungan dengan kawan-kawan tidak kira di sekolah mahupun di rumah. Adalah amat penting menjaga hati kawan daripada berasa hati supaya kita akan selalu disenangi. Jika ada mana-mana subjek yang saya boleh bantu, saya akan usaha membantu sebaik mungkin manakala jika ada mana-mana subjek yang saya lemah saya akan merujuk kepada mereka yang lebih menguasai bidang tersebut. Dengan kaedah berkongsi ini akan menjadikan ilmu yang kita timba diberkati Allah Taala.

DSC_0844

[W] – Selama saya mengenali saudara, anda sangat aktif dengan bidang kokurikulum selain aktiviti akademik. Boleh saudara perincikan ?
[F] - Benar, saya sangat aktif selain urusan akademik. Beriadah di waktu petang sudah menjadi kewajiban kepada saya. Apetah lagi saya amat meminati sukan ping-pong. Saya juga merupakan Ketua Umum di sekolah bagi seisi 2009 selain Pengerusi kepada Kelab Nasyid Sekolah. Terlibat aktif dengan program dan kem anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) juga menjadi sebahagian daripada penggerak program anjuran mereka.

[W] - Siapakah pendorong utama dan motivasi terbesar disebalik kejayaan saudara ini ?
[F] – Tidak kira di mana-mana pun, bapa selalu memberikan kata-kata motivasi yang menyemarakkan semangat saya untuk berjaya dalam apa jua bidang sekalipun. Kasih sayang ibu menjadikan saya mampu untuk mengharungi arus tekanan dalam menyiapkan diri menghadapi peperiksaan. Ibu dan bapa juga selalu mendoakan kejayaan saya dan saya rasa inilah resepi utama kejayaan di mana restu ibu dan bapa itu diletakkan di hadapan, tanpa mereka siapalah saya. Selain itu, sepanjang hari peperiksaan, hampir setiap hari nenek saya akan mendoakan ketenangan hati dan dipermudahkan menjawab soalan-soalan peperiksaan.

[W] Cukup mengujakan, pada umur seperti saudara telah disibukkan dengan pelbagai aktiviti selain urusan pembelajaran berbanding dengan rakan-rakan yang lain. Jadi, apakah rahsia saudara dalam mengimbangkan masa antara belajar dan kokurikulum ?
[F] – Saya merasakan, ‘bertangguh itu lenguh’. Setiap tugasan yang diberi, tidak kira akademik mahupun kokurikulum, saya akan langsaikan secepat mungkin. Dengan tidak menangguhkan urusan sebegini, saya dapat fokus kepada urusan lain yang lebih penting untuk memastikan penggunaan masa saya adalah sebaik mungkin. Kebiasaannya, siang saya dipenuhi dengan aktiviti persekolahan dan kokurikulum manakala, malamnya saya akan fokus kepada mengulang-kaji pelajaran.
[W] – Masyarakat sering melihat bahawa kebanyakan pelajar beraliran agama tidak mampu cemerlang seperti pelajar di sekolah kebangsaan. Adakah anda bersetuju dengan penyataan ini ?
[F] – Saya tidak merasakan begitu. Soalan kecemerlangan jugak berkait rapat dengan individu itu sendiri. Ramai juga tidak kira sekolah beraliran mana sekalipun yang tidak serius dalam soal pembelajaran dan ada juga yang hanya fokus dalam satu-satu bidang sahaja. Sepatutnya kita haruslah mempunyai impian yang besar dan bukan hanya melakukan sesuatu perkara itu sekadarnya sahaja.

[W] – Apakah impian atau cita-cita saudara ?
[F] – Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ulama’ dan pendakwah yang serba boleh. Selain itu, saya juga amat meminati untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

[W] - Sebagai akhir kata, apakah pesanan atau nasihat yang ingin saudara sampaikan kepada pembaca dan yang bakal menduduki peperiksaan tahun mendatang?
[F] - Saya ingin berpesan kepada diri saya dan pembaca terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan nanti, selain ’study hard’ dan ’study smart’ kita juga mestilah menjaga hubungan dengan Allah Taala, ibadah-ibadah khusus dan tidak dilupakan qiamullail di sepertiga malam. Eratkan hubungan kita dengan ibu bapa dan perkukuhkan lagi hubungan kita dengan rakan taulan kerana mereka, insyaAllah kita akan mencipta kejayaan.

DSC_0846

Oleh,

Azril Hanafi b Abdullah Sharwani
Wartawan
ISMA Shah Alam & Klang
www.ismashahalam.net

25 Disember 2009

"Saya Kenal, Saya Faham, Saya Kuasai"


20-21 Disember 2009 - Bertemakan slogan "Saya Kenal, Saya Faham, Saya Kuasai" KRIM Shah Alam Klang telah berjaya mengadakan Kem Jati Diri 3 yang disertai oleh 32 orang peserta lelaki dan 56 peserta perempuan.

Para peserta telah berkumpul di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah seawal jam 9.00 pagi sebelum bersama-sama menaiki bas menuju lokasi kem iaitu di Kem Mega Kristal, Kuala Selangor. Selepas selesai pendaftaran maka bermulalah pelbagai aktiviti menarik bagi membina jati diri para peserta.

Kehadiran Cikgu Asmadi sebagai ketua fasilitator telah menggamatkan suasana sambil menghibur para peserta dengan pelbagai aktiviti kreatif yang disusun para fasilitator dan urusetia. Dengan menggunakan segala ciptaan tuhan di sekeliling Cikgu Asmadi telah membuka minda para peserta untuk memahami hakikat kehidupan khususnya bagi seorang remaja.

Di waktu malam para peserta bersama-sama membaca al-Mathurat seterusnya mendengar tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Rizal. Pada sesi malam para peserta disedarkan mengenai betapa luasnya kasih sayang Allah yang disampaikan melalui ibu bapa terutamanya. Amat penting untuk kita hargai mereka sebelum terlambat.


Hari kedua menyaksikan aktiviti-aktiviti yang lebih lasak seperti "Serigala dan Kambing Yang Malang" di mana para peserta mengharungi rintangan-rintangan sambil menutup mata. Tujuan utama bukanlah sekadar melalui rintangan tetapi menyedarkan peserta bahawa kebenaran hanya akan dapat dilihat dengan membuka mata hati sepenuhnya.

Majlis penutup telah diadakan pada pukul 4.00 petang dengan perasmian penutup oleh En. Sharizan bin Sumuui, Setiausaha ISMA Shah Alam Klang.

Media KRIMSAK
www.krimsak.blogspot.com

20 Disember 2009

Kem Jati Diri Satu Kejayaan


Alhamdulillah, semasa artikel ini ditulis, peserta sedang menjamu makan tengah hari. Seramai 88 orang peserta menyertai kem anjuran KRIM Shah Alam Klang tahun ini. Dengan 32 orang peserta lelaki dan 56 orang peserta perempuan, menggamatkan suasana program pada kali ini.

Tidak dinafikan tanpa aktiviti air@sungai, program mungkin akan kurang ceria. Namun kehadiran koordinator yang kreatif dan inovatif, satu gaya aktiviti baru dipersembahkan oleh Cikgu Asmadi (penggerak KRIM Shah Alam Klang ).

Satu video program juga berjaya disiapkan untuk tatapan umum. Nantikan laporan yang lebih lengkap..


Salam dari kami, urusetia dan fasilitator di
KEM MEGA KRISTAL, KUALA SELANGOR.

Cikgu Hardi
Pengarah KRIM Shah Alam Klang

13 Disember 2009

Muzakarah Penggerak KRIM 2009



5 Disember 2009 - Alhamdulillah, selesai satu program Muzakarah Pengerak KRIM 2009 untuk seluruh negara. Banyak info dan perkongsian ilmu diperolehi bagi memantapkan kerja2 dakwah terhadap remaja ni.

Beberapa Pakar Motivasi telah membentangkan kertas kerja mereka bagi membantu KRIM kawasan dan negeri merancang program tahun depan bagi merealisasikan Projek GEREM 2010/2011.

Antaranya Tn Hj Arif, akh Bukhari, Ust Rusdi Alias, Cikgu Ismail (Johor), Akh Helmi (N9) dan Ukh Rasyidah (DHL).

Namun sebelum itu akh Aminuddin Yahya@Chief of da mission@Penasihat Projek GEREM telah membentangkan kertas kerja mengenai Projek GEREM...

Kita mesti dan harus 'down'kan level pemikiran kita setaraf dengan remaja, barulah boleh mengikat hati2 mereka. Harus dekat dan sentiasa bersama mereka....

Pengorbanan?? Itu wajib!! Duit, masa, tenaga dan idea.... sudah pasti...

Apa pun ironinya...tiada Dakwah tanpa Pengorbanan... ini urusan 'jual beli' dgn Allah swt...

Cikgu Hardi
Pengarah KRIM Shah Alam Klang
Blog : Sampaikan Salam Maniskan Senyuman

03 Disember 2009

Kenapa Dibiarkan Merokok?


Oleh: Prof Madya Dr Zainurrashid Zainuddin
http://imedik.wordpress.com

  • Berapa billion USD dibelanjakan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk rokok?
  • Berapa juta umat Islam yang mati tiba-tiba di serang penyakit jantung akibat rokok?
  • Berapa juta umat Islam yang mati tersiksa dari kanser yang berpunca dari rokok?
  • Berapa ramai di kalangan remaja dan pemuda Melayu Islam yang ketagihan dadah yang bermula dari rokok?
  • Berapa ramai remaja yang digantung persekolahan disebabkan rokok?
  • Berapa ramai imam-imam dan bilal yang nafasnya berbau disebabkan amalan merokok?
  • Berapa juta di kalangan umat Islam yang gagal menunaikan fardhu haji kerana pendapatan hariannya kering dek ketagihan rokok?
  • Berapa dan kenapa?

Pada bulan Mac 2009 yang lalu, genaplah empat belas tahun sejak mula-mula fatwa pengharaman merokok dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke-37 pada 23 Mac 1995 lalu. Tetapi ulang tahun ke 14 ini terus disambut dengan begitu dingin sekali kerana rata-rata masih ramai orang Islam khasnya tidak mengetahui atau sengaja tidak mahu tahu tentang wujudnya fatwa tersebut. Oleh yang demikian tabiat merokok semakin berleluasa walaupun kerajaan berusaha untuk membasmi tabiat yang tidak baik di kalangan warga negara ini. Kedinginan hebahan fatwa ini perlu diperbaiki segera sekiranya orang-orang Islam khasnya perihatin tentang kedudukan ummah terutama sekali di kalangan kaum remaja.

Seorang ulama Fiqh Hanafi, Sheikh Muhammad al-Aini yang menyatakan pengharaman merokok adalah berdasarkan kepada empat perkara.

  1. Merokok membahayakan kesihatan (membunuh) seperti yang dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan.
  2. Rokok mengandungi bahan dadah yang ditegah seperti yang diberikan oleh hadith Nabi Muhammad SAW.
  3. Asap rokok bukan sahaja menyakiti diri perokok bahkan menganggu orang-orang tidak merokok terutamanya di tempat-tempat awam seperti di tempat-tempat solat di samping menyakiti para malaikat. Kajian perubatan juga mendapati bahawa bayi yang ada dalam kandungan ibu yang menjadi teman hidup perokok juga terkesan dengan kesalahan ini.
  4. Merokok menyebabkan pembaziran yang sangat-sangat dilarang oleh Allah swt dan juga Rasulullah SAW. (Sesungguhnya membazir adalah saudara syaitan)

Fatwa yang memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram merupakan langkah permulaan yang amat baik. Malangnya usaha murni ini seolah-olah tidak berkecapaian. Perlaksanaannya terbengkalai sebegitu lama dan tidak menampakkan apa-apa tindak tanduk yang sistematik dalam memperkenalkannya kepada masyarakat Islam khasnya. Suara-suara sumbang telah mula kedengaran agar fatwa ini ditimbang semula.

Kalau kita selalu diperingatkan tentang jangan membazir makanan semasa berbuka puasa dan pembaziran itu adalah amalan syaitan; tetapi pembaziran akibat tabiat merokok tidak dititikberatkan langsung. Apa lagi pembaziran merokok diiringi dengan ribuan kemudaratan. Dalam hal ini ramai di antara kita rasanya telah bersubahat tanpa disedari atau tidak. Ini adalah satu konflik paling besar yang mesti kita selesaikan bersama.

Soalnya berapa lama lagi kita sanggup bersubahat untuk ‘membunuh’ adik beradik kita, keluarga dan masyarakat kita secara halus?

Prof Madya Dr Zainurrashid Zainuddin
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi,
International Medical University, Seremban

 
Powered by Blogger