Salam.
Saya mempunyai satu kemusykilan. Jika mempercayai horoskop adalah dilarang, bagaimana pula dengan karakter seseorang individu yang diulas berdasarkan tarikh lahirnya atau bulan kelahirannya (berpandukan kalendar masihi dan/atau hijri)?
Berdasarkan pemahaman saya, horoskop adalah ramalan yg dibuat on daily/monthly basis. Mungkin di sinilah titik perbezaan antara horoskop dan ulasan karakter yang saya nyatakan seperti di atas (kerana ulasan mengikut bulan kelahiran tidak berubah-ubah).
Saya berminat untuk mengutarakan persoalan ini kerana semasa di sekolah dahulu, badan agama ada menerbitkan majalah yang mana antara isi kandungannya adalah ulasan karakter mengikut bulan kelahiran (masihi).
Akhir-akhir ini pula, saya bertemu kes di mana terdapat individu yang menghukum /mengiyakan apa yang berlaku terhadap individu tertentu (pada masa sekarang) berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan dalam ulasan karakter mengikut bulan hijri.
Misalnya, dinyatakan A lahir dalam bulan beta adalah seorang yang jika jahat, adalah terlalu jahat dan jika baik, adalah terlalu baik. Maka individu B menjustifikasikan sikap A pada masa sekarang yang teramat baik adalah bertepatan dengan ulasan yang dibacanya itu.
Jazakumullahu khair.
Mengetahui karakter seseorang melalui tarikh lahir adalah bercanggah dengan ajaran al-Quran dan hadis nabi saw seperti yang telah dijelaskan oleh para ulama. Antara hujah yang digunakan ialah:
1) Maksud firman Allah swt: Katakanlah: “Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah”, dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan. Al-Naml – 65
2) Maksud firman Allah swt: Katakanlah: “Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. dan sekiranya Aku mengetahui yang ghaib, tentulah Aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan Aku tidak akan ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”. Al-A`raf-188
3) Sabda Nabi saw:
Maksudnya: Sesiapa yang berjumpa dengan tukang tilik lalu bertanya tentang sesuatu tidak diterima solatnya 40 hari (Riwayat Muslim)4) Sabda Nabi saw:
Maksudnya: Sesiapa yang berjumpa dengan tukang tilik atau ahli sihir atau ahli agama bukan Islam lalu beriman dengan tilikannya sesungguhnya ia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w. (Riwayat at-Tabarani daripada Ibnu Mas’ud dan perawinya adalah thiqah).Pemikiran mengaitkan nasib manusia mengikut tarikh lahir mereka adalah pemikiran jahiliyyah tidak disokong oleh nas dan aqal, tidak diasaskan oleh agama dan ilmu pengetahuan. Satu persoalan yang amat basic dalam pemikiran kita ialah: Kita tidak boleh memilih tarikh lahir kita sendiri.
Kenapa fenomena ini tersebar:
1- kekosongan akal dan jiwa manusia yang tidak dipenuhi. Kekosongan ini diambil alih oleh kebatilan seperti kata hikmah: sesiapa yang tidak memenuhi jiwanya dengan kebenaran ia akan dipenuhi oleh kebatilan.
2- Keresahan jiwa dan ketiadaan rasa ketenangan dalaman. Penyakit yang melanda dunia hari ini. Padahal umat Islam memiliki keimanan, kerana Ketenangan bersama dengan keimanan dan zikir.
3- Kelemahan kesedaran beragama yang sebenar.
Rujukan: Islam Online
Sekian
Ust Razali Musa
Ahli Panel MUIS
Sumber: Majlis Ulama ISMA
Ahli Panel MUIS
0 komentar:
Catat Ulasan