30 September 2011

Apabila Golongan Baik Dibinasakan

Oleh: Madihah Ahmad, Tahun 4, Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah.
via Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir by ISMAMESIR on 9/29/11

Menyelusuri kehidupan sebagai seorang hamba Allah SWT sentiasa dihiasi dengan pelbagai cabaran yang berpanjangan. Arus kemajuan dan pembangunan yang semakin pesat seolah-olah mengaburi pandangan fitrah kemanusiaan yang suci.

Majukah kita apabila melihat stastistik kelahiran bayi luar nikah semakin meningkat?
Modenkah kita apabila lahirnya aliran pemikiran yang membawa masyarakat  hanyut dengan ideologi yang menggila?

Fenomena keruntuhan tamadun yang merudum seiring kemajuan ilmiah dan kepesatan sesebuah negara adalah fenomena yang  menjadi tanda tanya dan sering dipertikaikan. Kemunduran ini berlaku secara beransur-ansur sehingga boleh membawa kepada kemusnahan total yang mengejutkan dengan kekuatan yang luar biasa.

Golongan kuffar akan berasa sangsi dengan fenomena ini. Tetapi Muslim yang meletakkan Islam sebagai neraca pertimbangan mempunyai satu kata putus terhadap fenomena itu. Saidina Umar Al-Khattab meringkaskan segala tafsiran daripada Al-Quran dan sunnah apabila satu soalan dilontarkan kepadanya:

“Adakah sebuah negeri itu hampir musnah padahal ia makmur?”

Beliau lantas menjawab: “Ya, apabila orang-orang jahat menguasai orang-orang baik.”
Dan inilah punca utama segala kemusnahan dan menularnya penyakit yang paling merbahaya ini. Terjadi apabila orang zalim atau orang fasiq berkuasa dan menjadi pemimpin, lantas melantik mereka yang sama-sama menjadi tawanan hawa nafu sepertinya untuk menguasai negara dan menguruskan beberapa urusan.

Kebisuan mereka yang layak

Kepentingan peribadi menyebabkan mereka semakin rakus meratah dan mendominasi arus modenisasi sesebuah negara dan lebih menyedihkan pihak-pihak yang mampu membuat kebaikan bersembunyi mencari perlindungan untuk melindungi kehormatan mereka daripada diceroboh dan diseksa.

Maha Suci Allah yang memberi penangguhan kepada umat Islam tatkala mereka dikuasai oleh orang jahat untuk memberi peluang kepada mereka melakukan proses pemulihan. Andai mereka yang baik terus membisu juga, maka murka Allah SWT akan meliputi seluruh mustawa (peringkat) umat. Sama ada mereka yang zalim dengan kekejaman mereka mahupun golongan baik yang berdiam diri dan redha dengan kehinaan.

Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:
“Sesungguhnya manusia apabila mereka melihat kemungkaran sedangkan mereka tidak mengubahnya, hampirlah Allah meliputi mereka dengan azab daripada-Nya.”

Nyalakan pelita Islam dengan sumbu dakwah itu

Allah SWT yang Maha Penyayang sangat suka sekumpulan hambanya yang baik segera memulihkan keadaan dan menentang golongan yang jahat lalu memandu manusia ke jalan keamanan dan keredhaan. Malah, apabila kumpulan itu segera melakukan proses pemulihan itu, Allah menyuruh para malaikat untuk menolong mereka dan menganugerahkan berkat dan taufik daripada-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 165:
“Tatkala mereka melupakan apa-apa yang diperingatkan kepada mereka, kami selamatkan orang-orang yang melarang kejahatan dan kami seksa orang-orang yang zalim dengan azab yang keras, disebabkan mereka fasiq.”

Kita yang mempunyai hati yang sedar dan hidup pasti mempunyai deria sensitiviti yang tinggi untuk berfikir dan menganalisa bahawa kegagalan, kemunduran yang menimpa kita di zaman ini hanyalah suatu permulaan dan amaran terhadap azab yang lebih keras di hadapannya.

Sedar mahupun tidak, perjuangan nafas panjang yang kita yakini, apabila bekalannya adalah tarbiyah yang sempurna dalam segenap aspek ditambah dengan semangat jihad di jalan Allah yang membara sebenarnya mampu menjadi kuasa pembakar menentang kezaliman.

Momentum tarbiyah dalam nadi individu Muslim inilah yang akhirnya melahirkan satu jemaah qudwah yang hidup dalam naungan Islam yang agung. Realiti kehidupan membawa kita untuk cuba menanam benih-benih dakwah yang hasilnya akan melahirkan pohon kukuh bertunjangkan akar akidah yang jitu.

‘Kanun persamaan’  sebagai panduan duat

Ketahuilah, Al-Quran melakar dengan jelas kanun persamaan tersebut. Kanun persamaan yang dimaksudkan di sini adalah sesuatu perbuatan mengambil hukum perbuatan yang serupa dengannya.

Abu Ammar menjelaskan lagi definisi tersebut dengan mengatakan:

Sesuatu perkara perbandingan itu mengambil hukum perbandingan yang seumpama dengannya dan apa yang terjadi kepada sesuatu, terjadi juga pada perkara yang seumpama dengannya.’
Perhatikan ayat-ayat suci Al-Quran berikut:
  1. “Tidakkah mereka berjalan di atas muka bumi, lalu memperhatikan bagaimana akibatnya golongan sebelum mereka? Allah telah membinasakan mereka; dan untuk golongan kafir (kebinasaan) yang sama seperti itu.” (Muhammad: 10)
  2. “Bukanlah semata-mata angan–angan kamu sahaja dan bukan semata-mata angan-angan ahli kitab. Barangsiapa mengerjakan kejahatan, nescaya akan dibalas dengan kejahatan pula.” (An-Nisa’: 123)
Sekiranya seorang Muslim memahami ayat-ayat di atas, fahamlah kita bahawa Allah mencela dan memusnahkan golongan kuffar. Perkara tersebut pasti akan berlaku lagi buat mereka yang melampaui batas termasuk umat Islam yang hanya menjadikan Islam sebagai topeng menyembunyikan kejahilan tanpa amal soleh dan pembentukan diri mengikut acuan Islam.

Kanun persamaan ini tidak mampu difahami oleh mereka yang mengambil sebahagian manfaat daripada Islam sahaja. Hanya pendakwah di jalan Allah SWT sahaja yang mampu melaksanakan tugas untuk meninggikan agama Allah dengan seruan dan larangan tanpa mengenal erti putus asa semata-mata  niat yang ikhlas kerana Allah SWT juga haruman Firdausi yang hanya mampu membuat duat tersenyum apabila menghadapi mehnah (ujian) yang panjang.

0 komentar:

Catat Ulasan

 
Powered by Blogger