18 Februari 2010

Karnival Sukan Remaja Islam 2010 (KASRIM 2010)


Assalamualaikum w.b.t

Satu lagi projek besar Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) Cawangan Shah Alam Klang. Sekadar promosi kepada semua remaja yang melawati laman ini untuk diwar-warkan kepada rakan-rakan sekolah lain... Hadiah lumayan!! RM500 bagi johan kategori bawah 18 tahun dan RM300 bagi johan bawah 15 tahun bagi pertandingan Futsal!

Manakala Bola Jaring hanya dibuka kategori bawah 18 tahun dengan johan akan membawa pulang wang tunai RM200....hebat bukan?...CEPAT!!! tempat terhad bagi 48 buah pasukan pertama (16 pasukan setiap kategori)


Tarikh
13 Mac 2010 (Sabtu)

Masa
8 pagi hingga 2 petang

Tempat
Real Sport Arena, Klang (Futsal)
Dewan Sukan Klang, Sri Andalas, Klang (Bola Jaring)

Yuran
RM 100

Kategori
Futsal – Bawah 15 tahun (16 pasukan) dan bawah 18 tahun (16 pasukan)
Bola Jaring – Bawah 18 tahun (16 pasukan)

Hadiah
Futsal – Johan (bawah 18) – RM 500 !!
Johan (bawah 15) – RM 300 !!

Bola Jaring – Johan (bawah 18) – RM 200 !!


Untuk sebarang maklumat, sila hubungi :

Futsal
- Anas : 017 6609062
- Ust Rizal : 019 3079306
Bola Jaring
- Cikgu Hafizah : 019 3640504
- Cikgu Hardi : 019203930


Atau kepada saya terus.. Cikgu Hardi 019 2039390.....

Oleh yang demikian kami, KRIM SAK menjemput mana2 pasukan remaja dari KRIM kawasan yg terdekat utk mengambil bahagian….
Tarikh tutup 9 Mac 2010 (siapa cepat dia dapat main!!)…

ADA BERANI!!... JADILAH REMAJA ISLAM YANG BANGGA DGN AGAMANYA....


klik pada gambar untuk mengetahui maklumat tentang karnival

16 Februari 2010

Anugerah Saidina Ali r.a. untuk tokoh remaja Selangor

Sambutan Maulidur Rasul 1431H Peringkat Negeri Selangor di Stadium Malawati, Shah Alam.


26 Februari 2010 -
Sambutan Maulidur Rasul 1431H Peringkat Negeri Selangor telah diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam bertemakan "Memantap Ukhuwwah Memperkasa Ummah".

Acara dimulakan dengan perarakan kontinjen-kontinjen yang terdiri dari pelbagai NGO, badan-badan kerajaan, wakil-wakil masjid dan surau, mahasiswa universiti dan juga pelajar-pelajar sekolah menengah. Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan seterusnya dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.


Persembahan oleh kumpulan Rabbani dan Amy Search.


Persembahan istimewa juga telah dipersembahkan oleh kumpulan Hijjaz, Rabbani dan artis undangan Amy Search. Apa yang menariknya pada sambutan ini adalah ia bukan sekadar untuk menyambut ulang tahun kelahiran Junjungan Agung Rasulullah namun segala persembahan nasyid dan juga multimedia menunjukkan realiti umat yang menderita dan umat Islam perlukan kepada kesatuan ukhuwwah dan kembali untuk bangkit sepertimana yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad s.a.w..


Penyampaian Anugerah Saidina Ali r.a.


Sebuah anugerah khas bagi tokoh remaja telah disampaikan dalam majlis ini iaitu Anugerah Saidina Ali r.a. yang merupakan anugerah bagi pelajar sekolah menengah yang telah menunjukkan ketokohan dari segi akademik, kokurikulum dan juga sahsiah. Anugerah ini telah dimenangi oleh saudara Muhd Mu'az bin Mohd Abdul Azis dari Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Jalan Kota Raja, Klang. Para remaja sepatutnya menjadikan anugerah ini sebagai pemangkin dan berusaha untuk meningkatkan diri dari setiap aspek.

Sambutan Maulidur Rasul sepatutnya menjadi pemangkin terutamanya kepada para remaja untuk lebih mencintai Rasulullah dan menjadikan role model utama serta berusaha mengikuti segala sunnahnya bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup.


Para remaja perlu didedah dan ditanamkan dengan sifat cintakan Rasul serta mencontohi peribadi baginda (Gambar Hiasan).

Media KRIMSAK

15 Februari 2010

Futsal KASRIM 2010 berjaya!!

Sabtu, 13 mac 2010 - Sekalung tahniah kepada JUARA (Edisi ke 2) Futsal bawah 18 dan 15 tahun pada tahun ini iaitu KRIM DHL dan FU FC. Sejumlah 24 pasukan, 16 pasukan bawah 18 tahun dan 8 pasukan bawah 15 tahun menyertai KARNIVAL SUKAN REMAJA ISLAM (KASRIM 2010) bagi acara Futsal telah dilangsungkan di Arena Sport, Klang baru-baru ini. Diaggarkan sejumlah 200 peserta memeriahkan karnival pada tahun ini.


KASRIM pada tahun ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah sehingga RM 500 kepada juara. Perasmian dilakukan oleh YDP ISMA Shah Alam Klang, Dr Amiruddin bin Wahab pada jam 9 pagi. Seterusnya peserta diberikan taklimat permainan dan berlangsunglah permainan tepat jam 9.30 pagi dengan menggunakan 4 buah gelanggang dan pusingan pertama tamat pada jam 12.30 tengah hari. Pengadil-pengadil yang mengadili perlawanan-perlawanan adalah yang terdiri daripada mereka yang profesional dan mempunyai lesen FAM.



KASRIM juga dimeriahkan dengan kehadiran anggota AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) cawangan Klang dengan pameran mereka. Kehadiran mereka sangat kami hargai. Perlawanan suku akhir dan separuh akhir berlangsung dengan penuh semangat berpasukan dan agresif. Akhirnya, bagi kategori bawah 18 tahun, 4 pasukan yang mara ke separuh akhir berentap, iaitu KRIM DHL lawan Meor Bistro (B) dan Boyz FC lawan Meor Bistro (A) dengan berkesudahan, KRIM DHL mara ke akhir dan berentap dengan Meor Bistro (A). KRIM DHL yang dibawa oleh pengurusya, saudara Yusri (Pengerusi KRIM DHL) pulang dengan kemenangan dan kejayaan 2-1 ke atas Meor Bistro (A). Manakala bawah 15 tahun, pasukan FU FC berjaya menewaskan pasukan NAWAWI dengan 6-0.

Tahniah kepada para pemenang. Semoga KASRIM pada tahun hadapan akan lebih berjaya dan menarik lebih banyak pasukan lagi.



Oleh Wartawan KRIM SAK

29 Januari 2010

TIPS-TIPS CEMERLANG DALAM PELAJARAN (SIRI 1)

Di awal tahun

1.Jangan segan silu untuk study awal. Sebilangan besar pelajar yang saya perhatikan di sekolah-sekolah, sangat suka untuk mengamalkan study last minute. Ini bukanlah dari sikap mereka yang cemerlang dalam pelajaran. Mungkin kita akan terpengaruh dengan segelintir rakan kita study lewat, namun score dalam matapelajaran. Anda mesti ingat, semua orang berbeza-beza kemampuan. Yang terbaik adalah menganggap kita berkemampuan rendah supaya kita tidak kelam-kabut menjelang peperiksaan.

Mungkin kita juga akan terpengaruh dengan sindiran-sindiran rakan kita yang berkata: “Wah, semangatnye orang tu”, “ Rileksla, exam lama lagi”, ataupun “ Nak tunjuk rajinlah tu”. Apa yang kita perlu buat adalah pekakkan telinga dan terus lakukan tugas anda, kerana memang menjadi lumrah, perkara yang baik sering didengki oleh orang lain

2.Buat nota. Ini adalah khusus untuk subjek yang bersifat penuh dengan fakta seperti Sejarah. Fenomena yang berlaku ketika exam adalah, pelajar sering membuang masa dengan membaca buku teks semula dari A-Z, dan mengambil masa dalam 2-3 minit untuk membaca 1 mukasurat.

Walhal, jika anda mengeluarkan isi-isinya dalam bentuk nota, anda dapat ketahui isi kandungan 1 mukasurat penuh hanya dalam masa 2-3 saat sahaja!

Dari segi psikology pula, bila pelajar terlihat senarai buku teks yang belum dibaca bertimbun-timbun, pastilah semangat akan luntur. SItuasi berbeza jika anda mempunyai nota ringkas, yang hanya 3-4 helai merangkumi 1 buku, pastilah anda akan merasa kemenangan itu tidak jauh.

3.Ini mungkin tips yang terpenting dalam tulisan kali ini, dan saya rasa tips yang pakar-pakar motivasi melabelnya sebagai ‘Tips Induk’. Kerana tanpanya, semua tips lain adalah sia-sia, iaitu member tumpuan 200% ketika proses P&P.

Guru-guru kita adalah guru yang berpengalaman. Mereka mahir benar dengan selok-belok soalan dan fakta-fakta terpenting, yang saban tahun keluar dalam peperiksaan. Oleh itu, ketika mereka mengajar, banyak mutiara-mutiara yang akan keluar samada kita sedar ataupun tidak. Perkara ini anda tidak akan mengetahuinya jika anda tertidur dalam kelas, dan meminta rakan anda mengajar subjek tersebut di malam hari. Kerana rakan anda hanya akan menceritakan 60% sahaja dari isi-isi syarahan guru anda.

Oleh itu, anda mesti lakukan apa sahaja untuk kekal fokus di dalam kelas. Samada duduk di barisan hadapan sekali, ataupun membawa botol minuman, mengumam gula-gula dan sebagainya. Sila gunakan kreativiti anda dalam hal ini, kerana hanya anda yang mengenal diri anda.

Bersambung….

Oleh " Muhd Assiddiq (SPM 2008 - 10 A)

17 Januari 2010

TOT 1 (Training of Trainers)

Alhamdulillah pada 16 Januari 2010, KRIM PUSAT berjaya melaksanakan sesi TOT 1 bagi kawasan lembah klang yang meliputi KRIM Shah Alam Klang, Gombak dan DHL. Seramai 27 orang penggerak ikhwah dan akhawat berjaya menghadiri sesi TOT 1 ini dengan jayanya.

Program bermula seawal jam9 pagi selepas sesi pedaftaran yang diuruskan oleh akh Farhan Selamat. TOT 1 ini dijalankan sepenuhnya oleh Tuan Hj Dr Arif (motivator) yang menurunkan ilmu dan pengalamannya bagi menyampaikan modul yang akan digunakan oleh remaja2 di seluruh negara.



TOT 1 kali ini,Ustaz Arif (panggilan yang lebih mesra) menyampaikan modul BELAJAR POWER kepada kami. Namun begitu Ust Arif memulakan separuh hari dengan sesi mukadimah terhadap penggerak2 krim (selepas ini dipanggil sebagai peserta) agar memahami tugas dan tanggungjawab seorang daie terhadap kerja2 dakwah kepada remaja.

BERITA SEELANJUTNYA SILA LAYARI www.temansejatimu.blogspot.com

10 Januari 2010

KEM REMAJA ISLAH 2009

P1010224

SHAH ALAM 21 Dis ‘09 – Sebuah kem sehari telah dianjurkan oleh ISMA Shah Alam-Klang dengan kerjasama Surau Al-Islah, Seksyen 7. Program ini tidaklah semata-mata sebagai aktiviti untuk mengisi lapang remaja dan belia tetapi lebih kepada untuk merapatkan remaja dan belia ke arah satu kefahaman Islam yang syumul. Program ini juga dapat membuka ruang kepada ISMA bukan sahaja membina hubungan dengan remaja di sekitar Shah Alam bahkan diharapkan nama ISMA di kenali oleh masyarakat sekitar.

Pendaftaran peserta dimulakan seawal 8 pagi, dimana para peserta telah mendaftar dan diberikan tanda nama setiap seorang. Turut mendaftar di dalam kem ini ialah pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Al-Islah dimana pelajarnya sahaja sudah mencecah 30 orang. Bilangan keseluruhan pula mencecah 60 orang.

P1010267

Seterusnya program dimulakan dengan ucapan dari pengerusi majlis merangkap fasilitator program Saudara Adnin dan seterusnya ucapan perasmian dari Timbalan Pengarah Program, Saudara Amir Zuhri. Program dilanjutkan dengan pembahagian kumpulan dan diteruskan lagi dengan slot pertama iaitu ‘ice breaking’. Program ini telah dikendalikan oleh saudara Syed Salahuddin. Para peserta sungguh terhibur dengan slot ice breaking ini. Antara permainan yang menarik di dalam ice breaking ini ialah ‘masuk dalam kertas’, ‘penerbangan terbalik’, ‘taaruf tisu’, dan ‘genggaman tangan’. Setelah selesai slot pertama, para peserta minum pagi di kantin surau. Aktiviti diteruskan lagi dengan

pembentangan dari Saudara Amir Zuhri tetntang “ Penting dan Bestnya solat! ”. Para peserta telah didedahkan tentang kekuatan umat islam terdahulu yang berjaya menakluki 2/3 dunia adalah kerana mereka menjaga solat mereka. Tayangan video Islamic juga telah membangkitkan semangat para peserta untuk terus istiqamah melakukan solat 5 waktu.

Seterusnya peserta diberikan rehat dan makan tengah hari. Acara disambung selepas solat zohor berjemaah. Aktiviti seterusnya ialah aktiviti “explorace solat”. Di sini peserta telah diberikan empat checkpoint di kawasan seksyen 7 dan mereka perlu mengharungi ujian dan cabaran di setiap checkpoint tersebut. Permainan ini telah mendedahkan kepada para peserta tentang pentingnya solat di dalam kehidupan seseorang. Banyak gelagat lucu yang terdapat di dalam permainan explorace ini.

Setelah solat Asar berjemaah, aktiviti diteruskan lagi dengan acara penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang. Penyampaian ini telah disampaikan oleh Pengerusi Surau Al-Islah, Encik Zaini diiringi oleh Encik Fuad, Timbalan Pengerusi Surau Al-Islah.

P1010239

Sebelum ucapan penutup dijalankan, sebuah montaj mengenai KRIM ( Kelab Remaja Isma ) telah ditayangkan oleh Pengarah Program Kem Remaja Islah, Saudara Siddiq seterusnya merasmikan majlis penutup Kem remaja Islah 2009. Program berakhir dengan jayanya dan para peserta pulang ke rumah pada pukul 5.30 petang peserta pulang ke rumah pada pukul 5.30 petang.

Laporan disediakan oleh,

Syed Salahuddin
Setiausaha
Program Kem Remaja Islah 2009

30 Disember 2009

Doa Ummi dan Abi Sumber Inspirasi Kejayaan

Fidak Result

Menjaga hubungan dengan Allah Taala dan ibu bapa adalah sangat penting dalam memastikan kesinambungan kejayaan kita berpaksikan keredhaan Allah Taala. Pencapaian cemerlang Ahmad Fidak bin Mohd Rusdi mendapat 8 A 1B ketika keputusan PMR diumum Khamis lalu menjadikan beliau antara pelajar lelaki terbaik di kalangan ahli Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam & Klang yang lain.

Menurut bapanya, Mohd Rusdi, Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pusat, keutamaan di dalam pendidikan ruhaniah dijadikan sebagai batu asas di dalam sistem pentarbiyyahan (latihan/ pendidikan) keluarga beliau. Dengan asas itu, beliau mahu anak-anaknya berjaya tidak kira apa jua bidang yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Ini adalah amat penting dalam misi membina insan yang ‘rabbani’ dan ‘kamil’ apetah lagi senario semasa sekarang amat mendesak dan membimbangkan.

Ikuti wawancara penuh saudara Ahmad Fida’ bersama wartawan ISMA Shah Alam, Azril Hanafi, yang berkesempatan mendengar sendiri rahsia dan tips di sebalik kejayaan beliau.
[W] – wartawan
[F] – Ahmad Fidak

[W] – Boleh saudara ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang peribadi, keluarga dan pendidikan ?
[F] – Alhamdulillah, kini usia saya mencecah 15 tahun. Berasal daripada keluarga yang sederhana dan merupakan anak sulung daripada 8 adik-beradik . Ibu dan bapa saya bekerja sebagai guru.Setelah tamat Peperiksaan Menengah Rendah yang lepas, saya sudah memulakan pembelajaran di Maahad Tahfiz al-Munawwarah di Seksyen 13. InsyaAllah fokus untuk hafiz al-Quran dalam masa setahun ini.

[W] – Bagaimana rutin harian saudara ketika hari persekolahan ?
[F] – Tiada apa yang istimewa dengan rutin harian saya. Cumanya, saya berusaha untuk tidur lebih awal dan bangun awal di pagi hari berqiamullail sementara menunggu solat Subuh. Seusai solat Subuh, dengan suasana pagi yang cukup segar ini saya mengambil peluang untuk menelaah sebelum ke sekolah dan dengan rutin sebegini memastikan saya senantiasa dalam keadaan bersedia dan bukan tergopoh-gapah di akhir waktu.
Di samping itu, saya dan rakan-rakan sekolah akan membaca surah Yasin setiap hari pada waktu malam selepas solat.

Saya sangat menitik-beratkan soal hubungan dengan Allah Taala di mana dengan amalan-amalan Sunnah seperti berqiamullail, membaca al-Quran dan ber’iktikaf di Masjid menjadi amalan kebiasaan bagi saya. Ini adalah sangat penting untuk memastikan setiap apa yang kita lakukan senantiasa mendapat redha Allah Taala.

Saya juga selalu menjaga hubungan dengan kawan-kawan tidak kira di sekolah mahupun di rumah. Adalah amat penting menjaga hati kawan daripada berasa hati supaya kita akan selalu disenangi. Jika ada mana-mana subjek yang saya boleh bantu, saya akan usaha membantu sebaik mungkin manakala jika ada mana-mana subjek yang saya lemah saya akan merujuk kepada mereka yang lebih menguasai bidang tersebut. Dengan kaedah berkongsi ini akan menjadikan ilmu yang kita timba diberkati Allah Taala.

DSC_0844

[W] – Selama saya mengenali saudara, anda sangat aktif dengan bidang kokurikulum selain aktiviti akademik. Boleh saudara perincikan ?
[F] - Benar, saya sangat aktif selain urusan akademik. Beriadah di waktu petang sudah menjadi kewajiban kepada saya. Apetah lagi saya amat meminati sukan ping-pong. Saya juga merupakan Ketua Umum di sekolah bagi seisi 2009 selain Pengerusi kepada Kelab Nasyid Sekolah. Terlibat aktif dengan program dan kem anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) juga menjadi sebahagian daripada penggerak program anjuran mereka.

[W] - Siapakah pendorong utama dan motivasi terbesar disebalik kejayaan saudara ini ?
[F] – Tidak kira di mana-mana pun, bapa selalu memberikan kata-kata motivasi yang menyemarakkan semangat saya untuk berjaya dalam apa jua bidang sekalipun. Kasih sayang ibu menjadikan saya mampu untuk mengharungi arus tekanan dalam menyiapkan diri menghadapi peperiksaan. Ibu dan bapa juga selalu mendoakan kejayaan saya dan saya rasa inilah resepi utama kejayaan di mana restu ibu dan bapa itu diletakkan di hadapan, tanpa mereka siapalah saya. Selain itu, sepanjang hari peperiksaan, hampir setiap hari nenek saya akan mendoakan ketenangan hati dan dipermudahkan menjawab soalan-soalan peperiksaan.

[W] Cukup mengujakan, pada umur seperti saudara telah disibukkan dengan pelbagai aktiviti selain urusan pembelajaran berbanding dengan rakan-rakan yang lain. Jadi, apakah rahsia saudara dalam mengimbangkan masa antara belajar dan kokurikulum ?
[F] – Saya merasakan, ‘bertangguh itu lenguh’. Setiap tugasan yang diberi, tidak kira akademik mahupun kokurikulum, saya akan langsaikan secepat mungkin. Dengan tidak menangguhkan urusan sebegini, saya dapat fokus kepada urusan lain yang lebih penting untuk memastikan penggunaan masa saya adalah sebaik mungkin. Kebiasaannya, siang saya dipenuhi dengan aktiviti persekolahan dan kokurikulum manakala, malamnya saya akan fokus kepada mengulang-kaji pelajaran.
[W] – Masyarakat sering melihat bahawa kebanyakan pelajar beraliran agama tidak mampu cemerlang seperti pelajar di sekolah kebangsaan. Adakah anda bersetuju dengan penyataan ini ?
[F] – Saya tidak merasakan begitu. Soalan kecemerlangan jugak berkait rapat dengan individu itu sendiri. Ramai juga tidak kira sekolah beraliran mana sekalipun yang tidak serius dalam soal pembelajaran dan ada juga yang hanya fokus dalam satu-satu bidang sahaja. Sepatutnya kita haruslah mempunyai impian yang besar dan bukan hanya melakukan sesuatu perkara itu sekadarnya sahaja.

[W] – Apakah impian atau cita-cita saudara ?
[F] – Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ulama’ dan pendakwah yang serba boleh. Selain itu, saya juga amat meminati untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

[W] - Sebagai akhir kata, apakah pesanan atau nasihat yang ingin saudara sampaikan kepada pembaca dan yang bakal menduduki peperiksaan tahun mendatang?
[F] - Saya ingin berpesan kepada diri saya dan pembaca terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan nanti, selain ’study hard’ dan ’study smart’ kita juga mestilah menjaga hubungan dengan Allah Taala, ibadah-ibadah khusus dan tidak dilupakan qiamullail di sepertiga malam. Eratkan hubungan kita dengan ibu bapa dan perkukuhkan lagi hubungan kita dengan rakan taulan kerana mereka, insyaAllah kita akan mencipta kejayaan.

DSC_0846

Oleh,

Azril Hanafi b Abdullah Sharwani
Wartawan
ISMA Shah Alam & Klang
www.ismashahalam.net

25 Disember 2009

"Saya Kenal, Saya Faham, Saya Kuasai"


20-21 Disember 2009 - Bertemakan slogan "Saya Kenal, Saya Faham, Saya Kuasai" KRIM Shah Alam Klang telah berjaya mengadakan Kem Jati Diri 3 yang disertai oleh 32 orang peserta lelaki dan 56 peserta perempuan.

Para peserta telah berkumpul di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah seawal jam 9.00 pagi sebelum bersama-sama menaiki bas menuju lokasi kem iaitu di Kem Mega Kristal, Kuala Selangor. Selepas selesai pendaftaran maka bermulalah pelbagai aktiviti menarik bagi membina jati diri para peserta.

Kehadiran Cikgu Asmadi sebagai ketua fasilitator telah menggamatkan suasana sambil menghibur para peserta dengan pelbagai aktiviti kreatif yang disusun para fasilitator dan urusetia. Dengan menggunakan segala ciptaan tuhan di sekeliling Cikgu Asmadi telah membuka minda para peserta untuk memahami hakikat kehidupan khususnya bagi seorang remaja.

Di waktu malam para peserta bersama-sama membaca al-Mathurat seterusnya mendengar tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Rizal. Pada sesi malam para peserta disedarkan mengenai betapa luasnya kasih sayang Allah yang disampaikan melalui ibu bapa terutamanya. Amat penting untuk kita hargai mereka sebelum terlambat.


Hari kedua menyaksikan aktiviti-aktiviti yang lebih lasak seperti "Serigala dan Kambing Yang Malang" di mana para peserta mengharungi rintangan-rintangan sambil menutup mata. Tujuan utama bukanlah sekadar melalui rintangan tetapi menyedarkan peserta bahawa kebenaran hanya akan dapat dilihat dengan membuka mata hati sepenuhnya.

Majlis penutup telah diadakan pada pukul 4.00 petang dengan perasmian penutup oleh En. Sharizan bin Sumuui, Setiausaha ISMA Shah Alam Klang.

Media KRIMSAK
www.krimsak.blogspot.com

 
Powered by Blogger