20 Jun 2011

Program Kembara Ilmu SAMTTAJ bangkitkan motivasi pelajar

Para pelajar SAMTTAJ yang penuh semangat

Shah Alam, 18 JUN - Pihak Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam sekali lagi bersama para remaja di Shah Alam untuk membina motivasi, iltizam dan jatidiri. Bertempat di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), seramai 130 orang peserta dari pelajar tingkatan 1 sekolah ini telah bersama dalam program Kembara Ilmu SAMTTAJ 2011.


Dengan lagu 'Menuju Wawasan' sebagai tema, program ini bertujuan untuk para pelajar terus bermotivasi dalam mengejar kecemerlangan di samping membina sahsiah diri yang mantap. Bermula pada hari Sabtu, 17 Jun, pebagai aktiviti telah dijalankan. Dimulakan dengan sesi 'ice breaking' pada petang Sabtu para pelajar didedahkan dengan cara kreatif untuk lebih mengenali kawan. Pada sesi malam berlangsungnya ceramah motivasi yang disampaikan oleh Ustaz Azhari yang menerangkan tujuan hidup dan bagaimana untuk menguruskannya dengan baik. Disusuli dengan sesi LDK yang menitikberatkan kerjasama yang baik untuk mencapai kejayaan.


Seterusnya pada pagi Ahad selepas para peserta membaca mathurat tazkirah berbentuk tayangan diadakan, disertai dengan ulasan oleh para fasi. Para peserta kemudiannya dihidangkan dengan 'talk show' oleh Cikgu Asmadi yang memberi perkongsian untuk pelajar terus cemerlang dan mumtaz untuk ummah. Acara diteruskan dengan 'treasure hunt' oleh pelajar lelaki dan LDK2 oleh pelajar perempuan. Usai solat Zohor, majlis penutup telah diadakan dengan dirasmikan oleh PK Pentadbiran SAMTTAJ, Puan Nor Azuin. Para peserta dan fasi juga telah menerima hadiah sebagai tanda penghargaan dari pihak sekolah.


Pihak KRIM sangat berharap akan dapat meneruskan usahasama bersama SAMTTAJ dan juga mana-mana sekolah yang berminat dalam misi kami untuk membimbing para remaja.


MediaKRIM Shah Alam


Sejenak bersama pelajar terbaik STAM 2010 – Umar Farouq

Umar Farouq bin Morhalim sewaktu menerima Anugerah Pelajar Cemerlang STAM 2010 Seluruh Malaysia

Tanggal 2 Jun yang lepas menyaksikan detik yang bersejarah bagi anak muda ini. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga dengan kehadiran YB Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang bertempat di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Anugerah ini disampaikan khas kepada 10 pelajar terbaik dalam STAM. Pihak Media ISMA Shah Alam telah menemuramah saudara Umar Farouq, salah seorang pelajar cemerlang yang mendapat keputusan Mumtaz untuk setiap subjek dalam STAM 2010. Beliau juga seorang tokoh remaja yang bergiat aktif dalam aktiviti Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Shah Alam.

LATAR BELAKANG

Berasal dari Shah Alam, Selangor, pelajar bernama Umar Farouq Bin Morhalim ini merupakan anak ketujuh kepada pasangan Morhalim bin Hj Osman dan Wan Rosniati binti Wan Ibrahim dan mempunyai lapan orang adik beradik. Berumur 20 tahun, beliau tinggal di Seksyen 4, Shah Alam. Sejarah pendidikan beliau bermula di SRI Hira’ Klang kemudian menyambung pelajaran ke Maahad Tahfiz Hira Jeram. Kemudian beliau meneruskan lagi pembelajaran di SMI Hira’ Jeram sehingga PMR dan SPM. Seterusnya,beliau melanjutkan pengajian beliau di peringkat STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) di Akademi Ikatan Muslimin Malaysia di Ipoh.


Bersama Pengetua AIM

TEKNIK PEMBELAJARAN DAN PENCETUS KEJAYAAN

Bagi Umar, beliau tidak menetapkan satu teknik khusus dalam pembelajaran beliau. Apabila ditanyakan kepada saudara Umar, beliau mengatakan bahawa suasana semangat berlumba-lumba dalam pembelajaran merupakan faktor yang utama kejayaan beliau. Dikatakan hampir semua pelajar AIM (Akademi Ikatan Muslimin) mempunyai semangat yang tinggi untuk belajar dan ingin berjaya dalam STAM.

Beliau juga telah berkata, “Antara faktor yang membantu saya ialah rakan belajar saya Izzat Husman (10 Mumtaz) kerana kami selalu membuat perbincangan dan saling soal menyoal. Dia juga sering mengejut saya belajar pada pukul 2 pagi ketika bulan Ramadhan.”

“Antara faktor terpenting lain juga buat saya ialah didikan para asatizah yang bukan sahaja mengajar tetapi juga mentarbiah dan sering mendorong kami untuk ke Mesir. Bayangan ke Mesir sangat mendorong saya untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Tidak lupa juga pengorbanan yang telah dicurahkan oleh ibubapa saya. Pengorbanan mereka tidak boleh dilupakan kerana sanggup menghantar saya ke AIM walaupun dengan yuran yang agak tinggi berbanding sekolah lain dan tidak lupa juga sokongan daripada ikhwah seluruh Malaysia terutama ikhwah Perak dan Selangor.

Bersama keluarga yang kuat memberi sokongan

HARAPAN DAN PESANAN

“Kecemerlangan adalah salah satu ciri muslim secara umum dan daie secara khususnya. Pernah seorang Murabbi berkata: Orang yang berdakwah perlu cemerlang. Cemerlang perlu untuk kita mengembalikan fahaman yang sebenar tentang Islam. Manusia secara amnya telah melihat Islam dengan kemunduran dan kegagalan seperti apa yang telah berlaku kepada umat Melayu yang majoriti Muslim. Saya berpesan kepada semua ikhwah untuk kita kembali bangkit dan mengejar kecemerlangan kerana kecemerlang itu hak milik semua. Ayuh kita Mumtaz untuk Ummah.”

Akhir kata pihak ISMA Shah Alam mengucapkan tahniah kepada Umar atas kejayaannya dan kami mendoakan agar beliau terus cemerlang di masa hadapan dan sentiasa berada dalam landasan perjuangan Islam.

Untuk maklumat lanjut,sila layari http://www.islam.gov.my/en/node/35820

Disediakan oleh:
Mohammad Danial Bin Mohammad Asri
Wartawan ISMA Shah Alam

Siri Futsal Reunion mengisi cuti remaja

Futsal Reunion 1

Futsal Reunion 2

Alhamdulillah cuti sekolah yang lalu pihak KRIM Shah Alam telah berjaya mengadakan siri Futsal Reunion di Sports Planet Shah Alam. Tujuan utamanya adalah untuk merapatkan lagi ikatan antara ahli-ahli KRIM dan remaja-remaja sekitar Shah Alam. Selain dari menunaikan hak jasadi pihak KRIM juga mengambil inisiatif ini untuk mengumpulkan remaja supaya tidak terlibat dengan aktiviti yang kurang berfaedah. Dalam pengisian yang diberikan abang Muntaziri dan Amar Ismat juga ditekankan supaya para remaja bijak merancang agenda terutama sewaktu cuti sekolah.

16 Jun 2011

Hebahan : Program Isra' Mi'raj


Jom sertai Program Mengingati Peristiwa Isra' dan Mi'raj : "Selamatkan Aqsa Bebaskan Palestin" di Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24, Shah Alam pada 19 Jun 2011 (Ahad). Pelbagai aktiviti indoor dan outdoor menarik disediakan serta Forum Khas selepas Maghrib. Semua remaja dijemput hadir!!

29 Mei 2011

KJD4 mendidik remaja menjadi hebat dengan hidup bersyariat


Hulu Langat, 28 Mei
- Cara hidup bersyariat bukanlah konservatif. Itulah kata-kata yang sesuai dalam mencerminkan program baru-baru ini. Pada tarikh 28 Mei 2011, telah berlangsung perkhemahan yang dinamakan Kem Jati Diri 4 bertempat di Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, Selangor. Kem anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam ini telah berjaya mengumpulkan hampir seramai 58 orang peserta yang berumur antara 13 hingga 17 tahun.


Objektif utama KJD 4 ialah untuk memartabatkan jati diri seorang muslim dalam individu remaja selari dengan tema “Remaja Hebat, Hidup Bersyariat”. Walaupun seorang remaja itu memegang nama muslim dalam dirinya, itu bukanlah menjadi penghalang untuk mereka berseronok, mencabar diri melakukan aktiviti lasak serta melontarkan idea-idea kritis dalam mengasah potensi mental dan fizikal. Malah, aktiviti-aktiviti yang dilakukan tidak melanggar syariat, tetapi masih mengujakan.

Ketibaan peserta pada pukul 11 pagi telah disambut dengan hidangan makan tengahari sebelum diteruskan dengan aktiviti-aktiviti yang lain. Khemah didirikan dalam setiap kumpulan selepas aktiviti berkenal-kenalan sesama peserta dijalankan. Pada jam 2.30 petang, peserta lelaki mengambil posisi masing-masing untuk aktiviti eksplorasi hutan. Perjalanan ke lokasi itu sendiri yang jaraknya hampir 2 km sudah cukup memberikan warm up kepada peserta. Peserta seterusnya meluangkan masa melakukan aktiviti air di sungai.


Dalam waktu yang sama, peserta perempuan pula tidak kurang hebatnya. Mereka melakukan aktiviti “wargame”. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan. Salah seorang dari setiap kumpulan, secara rahsia dilantik menjadi perisik. Mereka ditugaskan untuk mengintip strategi kumpulan mereka dan membocorkan informasi yag diperolehinya kepada pihak lawan. Dalam aktiviti ini, peserta bukan sahaja memerlukan operasi yang tersusun serta bijak, malah kerjasama yang mantap juga memainkan peranan. Sebagai senjata, beberapa biji bola digunakan.

Selepas makan malam dan solat berjemaah Maghrib dan Isyak, tibalah masa untuk peserta mengisi hati dan minda mereka dalam slot motivasi bertajuk “Selamat Tinggal Cintaku” oleh Ustaz Rizal Sabran. Slot ini bertujuan untuk membaiki mentaliti remaja yang hanya memandang keseronokan dalam hidup. Sedangkan usia muda yang hanya sementara ini, patut diisi dengan agenda yang bukan sekadar meghiburkan tetapi juga berfaedah. Kemudian, dengan bantuan fasilitator yang berkaliber, peserta diminta untuk membincangkan masalah remaja yang kini terjadi, kesannya kepada masyarakat dan negara, serta penyelesaian yang terbaik bagi masalah tersebut.

Malam itu, peserta diuji untuk merasai kekurangan yang terpaksa dihadapi sekiranya mereka tidak memiliki rumah. Walaupun tidur didalam khemah kelihatan penuh kekurangan, tetapi itulah yang perlu dihadapi oleh segelintir manusia, dan mereka melaluinya setiap hari. Tepat pukul 4.30 pagi, peserta diminta untuk bangun dan pergi ke dewan. Tujuannya ialah untuk melakukan solat malam secara berjemaah. Walaupun dalam kepenatan, peserta akur apabila rohani mereka diuji , setelah fizikal mereka dicabar pada siang hari.

Keesokan harinya, selepas sarapan, aktiviti diteruskan. Tidak adil jika peserta lelaki sahaja yang dapat merasa naik ke hutan dan melakukan aktiviti air. Maka pagi itu, peserta perempuan pula mengambil posisi melakukan jungle trekking, Mereka kelihatan begitu teruja sewaktu aktiviti air terjun tanpa mengabaikan aspek-aspek keselamatan. Peserta lelaki pula melakukan aktiviti di kem seperti permainan inovasi halangan dan “wargame”. Selepas itu, peserta di arah supaya mengemas barang-barang dan khemah, untuk sama-sama dalam aktiviti terakhir. Slot “Siapa Aku” mengajak peserta untuk mencari identiti mereka, untuk diteliti dan diperbaiki. Penyampaian yang menarik dari penceramah jemputan, Ustaz Pathan Hussin mendapat maklum balas positif daripada peserta.

Peserta terbaik lelaki, Muhammad Azwan bin ahmad Zaidi

Pada jam 4.30 petang, majlis perasmian dan penutup di laksanakan oleh pengarah KRIM Shah Alam, Cikgu Nuzhardinata dan diteruskan dengan penyampaian anugerah. Empat anugerah dipertandingkan sepanjang perkhemahan iaitu, peserta paling disiplin, inovatif, kreatif, dan terbaik keseluruhan. Bagi Peserta Lelaki Terbaik Keseluruhan disandang oleh Muhammad Azwan bin ahmad Zaidi dan Peserta Perempuan Terbaik Keseluruhan pula ialah Fathiah Solehah binti Ismail. Diharapkan mereka menjadi inspirasi kepada peserta-peserta lain.

Peserta terbaik perempuan, Fathiah Solehah binti Ismail

Selepas Solat Asar berjemaah, peserta dibawa pulang ke Shah Alam. Pesanan kami kepada pelajar-pelajar yag telah terlibat dalam KJD 4 ini agar dapat menggarap seberapa banyak pengajaran dan pengalaman daripada program ini dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kami dari KRIM megucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh setiap peserta. Semoga berjumpa lagi di aktiviti akan datang!!

Gambar penuh di Facebook KRIM Shah Alam

MediaKRIM Shah Alam



25 Mei 2011

Bersedia, KEM JATI DIRI 4!!


Debaran semakin hampir, KEM JATI DIRI 4 tinggal beberapa hari sahaja lagi!

Di sini disenaraikan barang-barang keperluan yang perlu dibawa oleh peserta :

1. Al-quran
2. Peralatan mandi
3. Pakaian sukan + kasut sukan
4. Pakaian 2 hari
5. Ubatan
6. TIDAK digalakkan bawa hp
7. Stokin panjang

Juga dilampirkan peta kem Nur Lembah Pangsun


JUMPA DI SANA!!


21 Mei 2011

Buat adik Nuruddin Al-Zinki


Tanggal 7 Mei 2011 yang lalu, genaplah setahun umur Nuruddin Al-Zinki. Sejak kelahirannya Allah telah memberi pelbagai dugaan dan cabaran kepada si kecil ini dan keluarga.

Anak kecil yang merupakan cahaya mata kepada Cikgu Hardi, Pengarah KRIM Shah Alam ini telah setahun menanggung pelbagai penyakit dan kerap kali dimasukkan ke dalam wad... dan hingga kini beliau masih berada di dalam wad dalam keadaan tidak stabil...


20 Mei 2011 - Awal pagi Nuruddin Al Zinki kembali tidak stabil. Sebelum tengahari darah terpaksa ditambah bagi membantu paras hemoglobin dalam darah pada bacaan 10 ke atas (sedangkan pada waktu itu bacaan hanya pada paras 8). Alhamdulillah petang, keadaan kembali stabil tetapi denyutan jantung masih laju hingga mencecah 180.....
[ temansejatimu.blogspot.com, blog Cikgu Hardi ]


Pihak KRIM sentiasa mendoakan dan berharap agar Cikgu Hardi dan sekeluarga terus tabah menghadapai ujian Illahi ini dan juga kami berharap urusan adik Nuruddin dipermudahkan oleh Allah dan semoga beliau cepat sembuh supaya dapat menjadi mujahid untuk ummah ini...


Para pembaca boleh terus mengikuti perkembangan terkini adik Nuruddin Al-Zinki di blog Cikgu Hardi, temansejatimu.blogspot.com.

Semoga Allah sentiasa kuatkan hati dan iman kita tatkala dia menurunkan ujianNya.

"Allah tidak akan membebani hambaNya melainkan sesuai dengan kemampuan hambaNya." [ Al-Baqarah : 286 ]


Semoga adik Nuruddin kembali tersenyum suatu hari nanti.


05 Mei 2011

Budaya Barat serang sekolah-sekolah Malaysia


Sumber : Ustaz Halim [www.inijalanku.wp.com]



Melalui Mickey Mouse, Astro dan berbagai saluran, institusi dan tokoh, Barat dan kuncu-kuncunya menyerang keperibadian dan jatidiri kanak-kanak dan remaja Islam di sekolah-sekolah mereka.

Disamping Budaya Barat menyerang golongan belia dan dewasa di Malaysia melalui penyebaran isu-isu lucah sejak akhir-akhir ini, golongan kanak-kanak dan remaja pula diserang melalui penganjuran tarian rock, pengadilnya celebriti dari Barat. Tarikh tutup pendaftaran “My School Rocks” pada 20 Mei 2011 ini adalah menggunakan promosi ala-Mickey Mouse yang mendapat tempat dalam minda ramai kanak-kanak sedunia.


Jika tidak kerajaan, Rakyat haris bangkit menentang serangan Budaya Barat yang merosakkan generasi.

Dari penganjuran ini dapat disimpulkan beberapa perkara :

  1. Golongan kanak-kanak dan remaja menjadi salah satu sasaran pihak Barat untuk merosakkan umat Islam dari dalam terutama melalui penghakisan identiti dan jatidiri mereka sebagai umat Islam.
  2. Penganjuran yang boleh merosakkan akhlak dan jatidiri kanak-kanak dan remaja Melayu Islam masih mendapat kelulusan dari pihak berkuasa. Dalam hal ini Kementerian Pelajaran sendiri terlibat secara langsung.
  3. Mickey Mouse dengan ini bukan sahaja satu entiti yanag mengeluarkan produk filem kartun, akan tetapi ia adalah satu badan yang berfungsi lebih dari itu iaitu menganjur dan mempromosikan program-program yang bertentangan dengan Islam kearah merubah keperibadian dan jatidiri salah satu golongan terpenting dalam masyarakat iaitu kenak-kanak dan remaja, generasi masa depan.


Majlis ulangtahun kelahiran atau Happy Birthday. (Foto Hiasan)


Generasi ala-Barat di Malaysia bukan lahir secara tiba-tiba. Ia dibina sejak dari alam kanak-kanak dan remaja, samada dari latarbelakang keluarga atau dari dokongan penguasa atau kedua-duanya sekali. Barat sentiasa mencari pintu-pintu masuk dari berbagai sudut, masa dan kesempatan.

Dengan ini kita mengajak semua pihak terutama pihak Kementerian Pelajaran, guru-guru besar, para pengetua, jabatan-jabatan agama dan para ibu bapa penjaga agar :

  1. Merasakan kepentingan pendidikan Islam yang sejati dan sebenar terhadap golongan kanak-kanak dan remaja, sentiasa menganjurkan program-program Islam didalam maupun di luar premis sekolah, kearah membina generasi harapan Islam yang gemilang, cemerlang dan terbilang dihari muka.
  2. Bangkit, membantah dan menentang pertandingan tarian rock antara sekolah-sekolah anjuran Mickey Mouse dan sekutu-sekutunya yang tarikh tutupnya ialah 20 Mei 2011 ini dan penganjuran-penganjuran sedemikian selama-lamanya. Bekerjasama dalam apa sahaja bentuknya adalah satu dosa, kesalahan dan jenayah terhadap agama dan generasi umat akan datang. Mengenalpasti pihak-pihak yang terbabit dan membawa mereka kemuka pengadilan dan tindakan disiplin.
  3. Menarik lesen syarikat Mickey Mouse, sekutu-sekutunya dan segala produknya dengan penganjuran di atas membuktikan bahawa ia adalah satu entiti yang bermatlamatkan menghakis keperibadian Melayu Islam yanag menjadi tunggak kekuatan umat di rantau ini, dan seterusnya ia cuba menerap dan membudayakan nilai-nilai Barat yang bertentangan sama sekali dengan Islam.



Jemaah Islam dituntut agar tidak berputus asa dan terus kental berhadapan dengan tsunami Budaya Barat yang mendapat dokongan moral dan material dari berbagai pihak yang berkepentingan duniawi. Jalan terbaik ialah dengan membina individu-individu disekolah-sekolah, membina keluarga-keluarga didalam masyarakat dan generasi Islam sejati didalam negara, lalu mereka menjadi teladan hidup bagi Al-Quran yang bergerak dan berperanan ditengah-tengah masyarakat dan sistem yang rosak, lalu mereka membetulkannya dengan petunjuk Al-Quran.

Kita berdoa kepada Allah swt agar Dia sentiasa menyelamatkan umat ini dari mara bahaya serangan ketenteraan, ideologi dan budaya musuh-musuhNya dari Timur dan Barat. Ameen.


 
Powered by Blogger