28 Mac 2011

Jelas Matlamat Rahsia Kejayaan Aiman


Tanggal 23 Mac 2011 menyaksikan keluarnya keputusan SPM 2010 yang ditunggu-tunggu oleh semua calon dan ibu bapa seluruh Malaysia. Media perdana sendiri telah mengumumkan peningkatan kecemerlangan yang tinggi berbanding tahun sebelumnya. Seramai 403 calon memperoleh gred cemerlang tertinggi (semua A+) bagi semua mata pelajaran berbanding 255 calon pada 2009. Kami pihak KRIM Shah Alam telah membuat wawancara bersama Aiman Uslim, salah seorang pelajar bertuah mendapat keputusan 11A+ dalam SPM 2010 yang juga seorang yang aktif dalam aktiviti KRIM Shah Alam.


LATAR BELAKANG

Berasal dari Shah Alam, Selangor, pelajar bernama Aiman bin Md Uslim ini merupakan anak sulung kepada pasangan Md Uslim bin Hamidon dan Nor Akmar binti Shah Minan dan mempunyai empat orang adik-beradik. Berumur 18 tahun, beliau tinggal di Seksyen 13, Shah Alam. Sejarah pendidikan beliau bermula di SRI Hira' Shah Alam kemudian menyambung pelajaran ke SMI Hira' Shah Alam sehingga PMR. Memandang SMI Hira' Shah Alam hanya menawarkan pembelajaran hingga tingkatan 3 beliau telah memasuki SMK Seksyen 18 dan setelah mendapat tawaran beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) sehingga habis SPM. Kini beliau sedang mengambil persijilan tahfiz di Darul Quran.



TEKNIK PEMBELAJARAN

Bagi Aiman seseorang pelajar itu bukanlah memerlukan teknik istimewa untuk berjaya tetapi sebenarnya kesungguhan dan keikhlasan dalam menuntut ilmu yang merupakan teknik utama. Beliau seperti pelajar lain, menghadiri prep pagi, petang dan malam. Bersukan di waktu petang supaya badan sihat dan minda cergas. Beliau juga banyak menghadiri kelas tambahan dan paling penting adalah mujahadah dan rajin dalam kelas-kelas tersebut.


KO-KURIKULUM

Aiman juga tidak ketinggalan untuk aktif dalam ko-kurikulum. Beliau merupakan seorang pengawas sekolah dan juga ketua biro asrama. Aktif dalam bidang nasyid, beliau juga merupakan Presiden Pusat Akses. Kecemerlangan dalam akademik tidak membataskan beliau dari aktif dalam kepimpinan.


MOTIVASI DAN MATLAMAT

Bila ditanyakan apakah motivasi utama dalam pelajaran beliau memberikan jawapan ISLAM. Aiman mengharapkan segala kejayaan yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk Islam dan juga menaikkan semangat dan nama pelajar Muslim terutamanya dikalangan pelajar Melayu. Bagi beliau, pelajar sekolah agama perlu berjiwa besar, kena faham konsep menuntut ilmu dalam Islam yang sebenar agar pelajar Melayu Muslim pun mampu jadi hebat dan bersaing dengan bangsa-bangsa lain. Aiman juga menyeru supaya dalam belajar kita bermatlamat. Tujuan kita cemerlang dalam pelajaran adalah sebahagian dari memperjuangkan Islam. "Tidak boleh tidak kita kena cemerlang" ujar beliau. Nak berjaya kena tahu cara belajar, paling penting bagi beliau kena discover your own way of learning. Setiap orang berbeza cara belajar.



CITA-CITA DAN ISLAM

Aiman berhasrat untuk menyambung pelajarannya dalam bidang kejuruteraan. Beliau ingin menjadi seorang jurutera profesional yang mampu mencipta sebuah teknologi yang akan menjadi kebanggaan umat Islam. Beliau berharap secara tidak langsung juga akan membantu menaikkan ekonomi umat Islam seterusnya menaikkan kepercayaan orang ramai kepada Islam dan membantu supaya mereka lebih mudah menerima dakwah Islam.


PESANAN

"Kita kena tahu keutamaan. Setiap benda ada haknya daripada kita, jadi kita kena bagi hak mereka yang sepatutnya. Hak Allah, ibubapa, guru-guru, kawan-kawan. Masa untuk persatuan dan belajar juga perlu diurus dengan baik". [ Aiman Uslim ]


Akhir kata pihak KRIM Shah Alam mengucapkan tahniah kepada Aiman atas kejayaannya dan kami mendoakan agar beliau terus cemerlang di masa hadapan dan sentiasa berada dalam landasan perjuangan Islam. Beliau juga mempunyai blog sendiri yang boleh dilawati iaitu iniakupunyablogku.blogspot.com. Sekian.



Disediakan oleh,
UNIT MEDIA KRIM SHAH ALAM

2 komentar:

Mukmin bin Mohd Khairi berkata...

mabrouk ya akhi... moga jadi pencetus dan semnagt buat adik2 yg lain..

juga ana doakan ikhwah lebih cemerlang lagi dan menjadi Pejuang Islam yg hakiki, bawa sinar harapan bumi Malaysia tercinta..

ibrahimsharkawi berkata...

Mabrouk!! aiman

Catat Ulasan

 
Powered by Blogger